Sudah masuk 12 tahun majalah GEMPAK™ mewarnai persada Industri Komik Malaysia sejak ia mula diterbitkan pada tahun 1998 & hampir 10 tahun saya berkhidmat untuknya. Hari ini selepas lebih sebulan kita menjelalah ke tahun 2010, saya akhirnya berpeluang melihat mutu majalah tersebut dari kaca mata kipas-susah-mati sebagai pembaca melalui GEMPAK™ isu 246, keluaran khas Valentine (15hb. Februari 2010).
Hanya jauhari yang mengenal manikam kerana hanya yang pernah bertugas dalam Team Editorial di bawah seliaan saya sahaja yang tahu formula yang saya terapkan dalam gaya penulisan serta konsep penyuntingan. Ini termasuklah beberapa syarat-syarat asas wajib jurnalisme dalam menjaga hak subjek seperti tanda hakcipta, tanda dagang serta kawalan penggunaan bahasa pasar. Menjadikan penerapan ini gaya hidup penulis bukan mudah kerana masing-masing ingin tonjolkan kreativiti sendiri demi membuktikan mungkin cara mereka lebih baik daripada saya. Keyakinan yang bagus namun lazimnya ingin membuktikan sesuatu tidak berlangsung mudah di depan mata saya kerana apa yang telah saya buktikan hari ini tidak berlangsung mudah di depan mata majikan terutamanya Mr. Botak. Adakalanya sesuatu perkara itu memerlukan bertahun untuk dibuktikan dan selepas itu ada banyak lagi perkara yang perlu dibuktikan. Maka begitulah dilema yang dihadapi Team Editorial terkini GEMPAK™. Semestinya cabaran paling getir adalah buat editor barunya, Fey yang dulu selesa dengan gayanya tersendiri sebagai editor majalah STARZ™.
Prinsip saya tidak pernah berubah sejak kecil, insya-Allah setiap yang saya kerjakan perlu dengan rela hati dan berbaloi untuk jangka masa panjang. Justeru saya tidak pernah malu untuk belajar apatah lagi ditegur tidak kira apa pun pangkat mereka. Namun tatkala saya sudah membuktikan sesuatu, tegas saya katakan tiada siapa boleh menghapuskan bukti itu dan terpulang kepada mereka untuk menerima atau tidak.
Tahun 2009 jelas menguji kebolehan saya memanfaatkan amanat Mr. Botak memberi konsep baru kepada majalah UTOPIA™ melalui perspektif yang dia inginkan. Walhal ketika itu jadual kerja saya sudah berlapis dengan tugas menstabilkan Team Editorial baru majalah GEMPAK™ serta bahagian novel ringan.
Saya jenis positif dan melihat beban kerja ini sebagai tapak pengukuhan karier bagi merealisasikan matlamat saya selepas 10 tahun di sini. Biarpun matlamat itu rasanya tidak akan menjadi namun Alhamdulillah, saat Dia menurunkan bebanan ujian paling getir dalam hidup ini menghadapi hari-hari terakhir bonda tercinta, kedua-dua Team Editorial GEMPAK STARZ™ (UTOPIA™ & GEMPAK™) sudah saya yakini kemampuan masing-masing. Malah melihatkan cara kerja Ka-Mail (editor UTOPIA™) dan Fey (GEMPAK™), saya yakin mereka akan mengambil peluang untuk membuktikan kewibawaan masing-masing sepanjang ketiadaan saya.
Saya yang dulunya payah melepaskan kolum Games Waves kepada sesiapa, kini boleh tersenyum puas; isi kandungan GEMPAK™ isu 246 mengekalkan formula penulisan saya dengan kemas sekali. Sudah tentu ucapan tahniah harus diberi kepada Fey, editor majalah GEMPAK™ yang baru sah ditabalkan sekaligus meneruskan legasi 'tamparan wanita' selepas Toopai dan Kit. Namun segulung tahniah juga perlu di beri kepada para penulis yang memiliki bakat natural sebagai penulis GEMPAK™; Kero, Joi, Harry & Igniz. Biarpun setiap daripada seorang dengan perangai masing-masing, namun kualiti kerja mereka mengingatkan saya kepada diri sendiri masa mula-mula sertai GEMPAK™. Cuma yang berbeza, mampukah mereka terus bertahan dalam cabaran dunia penulisan di GEMPAK STARZ™? Saya sentiasa yakin kepada para penulis saya, namun datang dan perginya mereka dalam bimbingan saya bukan hak saya untuk dipaksa.
Walau bagaimanapun, syabas kepada Tema Editorial GEMPAK™ dan terus tingkatkan prestasi anda. Ingat! Hanya jiwa yang jujur, ikhlas dan kuat semangat berkhidmat mampu mendidik anda terus ingin membuktikan yang terbaik kerana dalam hidup berkarier, itulah yang paling sukar dilakukan tetapi saya sudah buktikan, maka anda juga boleh. Saya akan terus membimbing GEMPAK™ kerana keseronokan saya sebagai kipas-susah-mati di tahun 2010 baru sahaja bermula. Yok mara!
3 comments:
Cayalah GEMPAK!!
design pun semakin cool dan stylo
nak tanya skit lah... edit page untuk gempak guna software apa ar? Photoshop?
Ikram: trimas... ^_^
Win: yeap... adobe software.
Post a Comment