"It's only through writing that I've ever been able to suppress life's personal disappointments. When I can't write I feel anxious and out of sorts and am easily riled, though I'm usually able to control my emotions..."
- Pramoedya Ananta Toer (The Mute's Soliloquy: A Memoir)
["Hanya dengan menulis aku mampu menekan segala kekecewaan peribadi hidup. Bila aku tidak menulis, aku merasa cemas & tidak keruan serta mudah gusar, walau selalunya aku bisa mengawal emosiku..."]

Monday, May 11, 2026

NUKILAN MEMORI DI JEJAK USIA ITU

Sesekali apa salahnya saya bercerita walau ini hanya 1% daripada 99% cabaran hidup ini perlu saya lalui berbanding 1% pencapaian yang kalian nampak seolah sudah dibangga dilogistik atau komentar penggemar industri. Tidak kiralah kalian dari generasi apa yang pasti...

To set the record straight

Im a... GEN X
[The Nusantara ethnic mixed blood children of the Silent Generation (mother) & Greatest Generation (father)]

P/S: Not a baby boomer or its descendant

(Tak faham Bahasa Inggeris? Lantak kau! Untung la saya tak tulis dalam Mandarin, Hangul atau Arab!)

Tahun 2000 (usia: 25 tahun) bermulanya karier saya sebagai artis komik bebas (freelance comic artist) & pekerja tetap editorial majalah GEMPAK (sebagai sub-editor untuk dua tahun sebelum menjawat jawatan editor) di syarikat penerbitan komik BRG Art Square yang baru dua tahun dalam pasaran Industri Komik Malaysia ketika itu (selanjutnya maju sebagai Art Square Group) yang kini lebih maju sebagai Kadokawa Gempak Starz setelah rasmi bergabung dengan syarikat konglomerat media kreatif terbesar Asia di Jepun, Kadokawa Corporation. Di usia ini sebelum berkarya bersama majalah GEMPAK, saya menghadap bertubi-tubi kekecewaan apabila bakat melukis komik saya ditolak mentah² oleh penerbitan² komik yang lain kerana alasan yang pelbagai. Itu belum kira lagi karya² penulisan termasuk skrip drama/filem yang ditolak ketika saya masih dibangku sekolah menengah kerana tidak mencapai piawaian yang sesuai buat produksi mereka. Ya, untuk mencapai impian saya sekarang ini, tidak pernah saya sandarkan bantuan kabel orang dalam industri. Saya masuk ke industri ini tanpa kenal sesiapa orang dalam yang boleh rekomen supaya mudah diterima masuk. Usia 25 tahun baru dapat itupun dari sebuah syarikat penerbitan komik yang masih kecil, belum dikenali dan dua tahun pertamanya dimaklumkan banyak rugi dari untung. Takdir Allah atas impian sejak kecil yang tidak pernah pudar, tanpa saya memilih syarikat kecil atau sudah gah, dapat saya membangun bersama penerbitan ini yang kini lebih gah dari penerbitan yang dulunya gah namun kini diharapkan dapatlah bangkit semula untuk menjadi lebih baik dalam persaingan industri yang lebih sihat, Insha-Allah. Bagi saya, tidak kisah dipinggirkan atau disindir, tetap berterima kasih kerana diantara mereka punya bakat yang menjadi inspirasi saya untuk menjadi artis komik dan novelis sebaik mungkin.

Pada tahun 2009 (usia: 34 tahun) saya sebagai anak tunggal seorang ibu kandung, menghadapi ujian emosi hidup paling berat (yakni kurang 6 bulan terakhir tahun itu) memohon dilepaskan jawatan namun dengan ehsan majikan diberi cuti serta-merta (tanpa tempoh) demi menjaga perawatan ibu akibat kanser tahap 4 (bile-duct cancer) yang akhirnya sebulan kemudian meninggal dunia (2 minggu untuk dua kali operasi di Hospital Muar diikuti 2 minggu untuk dua kali lagi operasi di Hospital Selayang namun kesemua operasi gagal merawat kanser tersebut). Usai sehari dua pengkebumian arwah ibu setelah sebulan tidak masuk pejabat, saya tidak betah bercuti lagi dan terus kembali ke pejabat untuk bekerja seperti biasa dengan melangsaikan segala tanggungjawab karier yang ada (terutamanya sebagai editor majalah komik bi-monthly GEMPAK) bersama syarikat termasuk menjadi moderator Kre8tif Conference 2009 anjuran MDEC, menyiapkan konten (lukisan juga penulisan) dan menyunting karya (novel grafik) terkini saya ketika itu berjudul 'PENTAS REALITI: ASPIRASI SENI' diikuti naik podium berucap merasmikan pelancaran jenama GEMPAK STARZ ketika karnival komik 100% GEMPAK STARZ (sebelum itu dikenali sebagai Karnival Komik Malaysia) di Plaza Sungei Wang. Setelah itu saya menutup tirai tahun 2009 dengan menghantar surat perletakan jawatan sebagai editor majalah GEMPAK untuk disahkan dalam tempoh 6 bulan kemudian (yakni Jun 2010). Alasan berhenti? Itu hal peribadi dan bukan untuk diperbincangkan kepada umum yang boleh menjadi fitnah dan sekaligus andaian yang membawa kepada ulasan celaka mulut² puaka.

Pada tahun 2020 (45 tahun) ketika pandemik COVID-19 baru diisytihar, saya sudah mendapatkan penempatan baru setelah 11 tahun menetap di Gombak sejak menjadi pelajar MBA (UIA) hingga bergelar graduan (tahun 2014) masih terus tinggal di sana. Kerana tidak percaya hidup selamanya harus di zon nyaman atau selesa untuk kekal berjuang demi meningkatnya prestasi usaha hidup, maka saya berpindah bagi meraih suasana berimpak bangkit! Hampir sedikit kecewa di awal tahun itu namun sempat redha dimaklumkan ketika itu bahawa bakat saya sudah tidak diperlukan penerbit lagi, namun tidak lama kemudian penerbit memaklumkan salah satu karya novel grafik saya terbitannya dipilih untuk diterbitkan secara digital di sana. Langsung saya pertanyakan jika bakat melukis komik saya boleh dilanjutkan dan katanya ya! Alhamdulillah... Dalam tahun itu kerana pandemik dengan segala perintah kerajaan untuk vaksinasi serta PKP, cabaran pendapatan juga teruk terbatas termasuk tidak memperbaharui kontrak baru (walau ditawar melatih secara online) menjadi pelatih di sekolah swasta apatah lagi saya pula baru berpindah ke penempatan baru. Malah sempat juga di awal tahun itu proses berpindah ke penempatan baru juga terbantut selama tiga bulan lebih akibat perintah PKP. Banyak dugaannya namun bersyukur punya lingkungan kecil sahabat, saudara dan rakan industri walau jauh namun merapat cukup prihatin sesuai waktu. Semoga hidup mereka diberkati selalu... aamiin! Di penempatan baru itulah saya berusaha menyiapkan novel grafik saya berjudul 'PENGAGUM RAHSIA' (yang kedua karya komik saya bukan bersifat antologi selepas C.U.B.E:46) sehingga sesudah pandemik. 

Pada tahun 2025 (usia 50 tahun), setelah novel antologi 'MISTERI DALAM REMANG' sudah diterbitkan di pasaran, saya berpindah lagi dengan membawa karya komik baru dengan mengenengahkan konsep cinta pada kelompok sosial yang berbeza dibandingkan 'PENGAGUM RAHSIA' berjudul 'TENTANG KITA' demi kesedaran gangguan mental. Saya sempat tiga bulan menyewa sementara sebelum mendapatkan penempatan baru yang saya perlukan. Dalam tiga bulan tersebut sesuai menambah ilham untuk karya terbaru saya, kebetulan terlibat dalam kancah permasalahan sulit melibatkan mereka yang saya peduli angkara manusia narsistik (penggoda jahat jiwa² kalian yang tinggi simpati namun rendah empati). Narsistik itu tampak seolah mulia tapi sebenarnya berkepentingan durjana! Ia juga menjadi titik pengalaman serta pengajaran selanjutnya buat diri saya bahawa dewasa atau usia bukan ukuran kematangan manusia untuk membina kendiri yang ikhlas baiknya sebaliknya megah berpura-pura baik! Narsistik adalah pemangsa sosial yang menjajah jiwa² manusia dengan segala godaan simpati dan kata cintanya. Jika tidak dijerkah mangsanya semoga sedar diri maka bakal sesen pun tiada yang tinggal untuk si narsistik ini mencari mangsa lainnya. Namun kasihan ya, bekalan mangsa untuk para narsistik ini tidak pernah putus setiap tahunnya. Ya, insan² baik hati yakni tinggi simpati rendah empati yang terus mendesak jodoh buat dirinya agar terasa dihargai punya pasangan indah khabar dari rupa terus menjadi lowongan mudah untuk para narsistik. Pandangan saya, kalau sudah terjebak dengan narsistik, tinggikan empati anda lebih baik dari sekadar simpati untuk setiap saat punya strategi menyanggah muslihatnya. Namun disaat sudah terlepas dari cengkaman narsistik, siap siaga tingkatkan kadar empati lebih dari sekadar simpati agar tidak terjebak lagi manusia mental sebegini. Kerana penyakit mental narsistik ini tiada ubatnya, ketinggian muslihat mereka demi kepentingan diri semata-mata pun boleh membongokkan pakar psikiatri! Buat mangsa pula, "Bodoh kau!!!" bak kata Bunda Corla apabila mensahihkan nasihat saya itu sesuai dengan jawapan ChatGPT kerana awalnya kurang percaya kata² saya sehingga dibandingkan dengan keputusan chatbot buatan OpenAI. Patutlah wabak narsistik ini (termasuk penyondol dan biawak hidup) semakin meningkat kerana meningkatnya generasi pengguna Generative AI, mangsa menggunakan hak orang lain tanpa izin melalui aplikasi ciptaan pemangsa! Apapun sementara menyiapkan novel grafik terbaru berjudul 'TENTANG KITA', novel antologi saya berjudul 'MISTERI DALAM REMANG' diterbitkan diawal tahun itu selain saya melanjutkan kontrak sebagai tenaga pelatih dari industri kreatif kita (fokus kepada kartun dan komik) di dua buah sekolah swasta seperti biasanya. Dalam melatih mereka, saya akan menegaskan kepentingan AI dalam industri kreatif serta sentiasa mengingatkan mereka agar berwaspada pada nikmat kepenggunaannya kerana cabang AI seperti Generative AI perlu terdidik membezakan buruk baik hasilnya pada ekonomi industri serta kesannya pada kepakaran sumber manusia kreatif di masa akan datang. Semua pengalaman ini saya syukuri kerana banyak membantu untuk jalan cerita novel grafik saya selanjutnya berjudul 'TENTANG KITA' itu.

Pada tahun 2026 (usia 51 tahun), apa lagi mahu cerita? Saya akan terus memperbaiki diri, kekal berkarya, tabah menghadapi apapun cabaran serta dugaan mendatang dan berpegang kepada prinsip saya bila terlibat dalam mana² industri yang turut diterapkan sepanjang memimpin editorial majalah GEMPAK suatu ketika dahulu...

"Bukan pasaran yang membentuk kita tetapi kita yang membentuk pasaran. Seperti lembaran kosong akan kekal kosong jika tidak kita sendiri memanfaatkannya agar tidak terus kosong."

Seperti pengalaman hidup, kita ukirkan sendiri bukan mengharapkan orang lain mengukirkan buat kita. Selebihnya, Maha Pencipta punya rancangan yang lebih baik dalam setiap usaha untuk apa yang kita perlu bukan apa yang kita hendak.

Sunday, May 4, 2025

PENGAGUM RAHSIA... kekaguman dalam rahsia prejudis dan stigma masyarakat.

Ada ramai lagi manusia lain yang zahirnya kelihatan sihat, cergas bekerja dan tampil bersemangat mengejar impian kerjaya masing-masing. Tetapi hakikat batin mereka sebenarnya telah didiagnosis sebagai pesakit kronis yang memerlukan perhatian rawatan kesihatan seumur hidup. Selain itu ada diantara mereka kelihatan sempurna (tidak cacat) tetapi sebenarnya terlahir tidak sempurna (cacat) sejak lahir dan punya kekurangan yang tiada dimiliki oleh orang lain yang dibanggakan 'sempurna'. 

Dari Alam Cinta: Pengagum Rahsia

PENGAGUM RAHSIA adalah sebuah karya 'feels good' saya yang memilih kriteria watak dengan kondisi kesihatan batinnya yang dianggap cacat (tidak sempurna) atau berpenyakit kronis tetapi secara zahir mereka kelihatan sihat, cergas dan bersemangat dengan hidup. Tiada keluhan di antara mereka, hanya melalui perjalanan hidup dengan proses yang telah ditakdirkan untuk melanjutkan usaha berimpian tersendiri. Mereka adalah wakil bagi ramai lagi umat manusia yang didiagnosis sebagai cacat atau kronis tetapi jiwa mereka tidak dikuasai oleh PSIKOSOMATIK, bebanan mental yang sengaja terjadi kerana terlalu memikirkan kondisi dinilai cacat atau digelar kronis hingga menimbulkan penyakit yang lebih teruk kepada diri. Padahal secara zahirnya mereka dikira sihat seperti kebanyakan orang yang merasa diri terlalu sempurna seolah tiada sakit apatah lagi mati akan datang bila-bila masa dalam hidup mereka.

"Berhati-hati biarlah wajar pada ilmunya, jangan terlalu berhati-hati prejudis ilmu hingga terjadinya fitnah pada stigma dan diskriminasi." 

Sunday, October 2, 2022

LOVE IN THE FIRST PLACE... (TWISTED LUST!)



Wick asked "Why you love someone who has a cold heart upon you, when there are so many waiting to be loved by you with so much warmth?"

Then Jello answered "It has been so long I didn't know that to love someone is to feel your heart. Not about heating up your body by rubbing skins or deep pleasure of penetrations or wet your lips for each other. Now I really feel my heart with true love, you know. It heats my body without I have to do any of that sexual intercourse. I don't know what will really happens if we both jump to such intercourse. Without mutual understanding, having that is not a good move. It'll make me go crazy forever! Even a minor touch of our skins shivered me to scare. How's that? Isn't that lovely?"

With a smile so wide, Wick replied "O My God... you're back! The real you. I should thank this someone for bringing you back to life and turns you into an angel again!"

Jello said "I guess you better don't... we're not even talking to each other now, unless for work matters. He's blocking my way for an approach... I guess he's already moved on after I left him cold for quiet sometimes, just because I need to understand if this love is for real or just another walk in the mud."

Wick in silence for a while. 

Then he asked "Maybe he wanted you to convince him? Do that... You know what, Jello? Since your heart being broken by your first love many years ago, all I see was a cold blooded beautiful Queen who like to sit alone at her throne ordering zinger burgers (crispy chicken's meat smashed in a bun cut in half) from KFC just to fill your empty stomach so you don't get cold, but your heart... not functioning and rusty! You're like Madonna who sang love songs like a slut, or maybe Beyoncé, the lady who rules bikinis on stage, not by the pool singing all her 'lady independence songs'. So wrong fixation there!"

With eyes wide opened, Jello was surprised to hear what Wick has described her. In a moment she sighed, as if to agree such descriptions but then she knew how love has changed her definitely.

"Wick, I don't want to be in the wrong fixation anymore. I don't want to heat my body with sexual intercourse anymore, I don't want to be Madonna, Beyoncé, Paris Hilton, Lady Gaga or whoever ladies wearing 'pajamas on stage' or wearing 'suits that doesn't fit the party'. I don't mind listening to their songs but not their performances. It hurts me a lot to watch bitches wiggling their naked booties for the crowd of strangers to cheer. I just want to be a lover for love, not lust... this kind of love wakes me from slumber; sex sobriety!"

"Even when he blocks your way to him?" Wick asked politely.

"He's blocking but not me... He knows I'm in love with him, but maybe he's just not ready to fall for people like me. So I open my heart to love, not to hate, or lust and moves on... yes, you should thank him. If God granted me the love once again though in the eyes of someone else, maybe He's telling me there's always another chance."

"I'm so jealous..." said Wick.

"Heh... because I don't fall for you?" asked Jello with her sweet giggle.

"Jello... I wonder why God didn't permit you to fall in love with me?"

"Wick, when we both started knowing each other, we both were real sluts. We care for each other but we still fucked around. Then you gave up and got stuck with this rich lady. Then you told me to find a rich man but I wished to find true love... so I didn't. you said that was rubbish. True love is rubbish... you said it."

"I know..."

"Now, I guess I'm more happy than you, Wick... "

"I know..."

"You're dead but I'm alive... "

"I know..."

"You should have not surrendered yourself to that fucking lady in the first place, my man... not for the money."

"I know..."

"If you're alive right now and this man is blocking my way to him, let me tell you this... I always look up to you for my another chance. I really am... but... "

Jello couldn't continue as she started crying.

Wick was speechless... though he's physically not there with Jello, but his soul craving to hug the crying Jello and gave her a warm feeling she always wanted.

But what's done is done... death is the end to a physical connection, but never to love emotion. 

At this moment Wick finally realized, it's hard to say 'I love you' to someone when you're just an imagination to her mind. Although you wanted to say you're real but without being physically there... your words are just her imaginations and your love is just another of her twisted mind... many called it.

On the spot Wick prayed to God "Please let the man open his way so Jello can get in..."

Wednesday, September 28, 2022

I'm on WEBTOON: Just...Love

https://www.webtoons.com/en/challenge/justlove/list?title_no=771764&page=1

I never thought my comic work will be published in WEBTOON when I never plan to be a part of the WEBTOON's community, yet. But when my publisher, KADOKAWA GEMPAKSTARZ joined WEBTOON and brought me along with other of their artists to be exposed in WEBTOON for English readers, I have to say it is another great honor of exposure after my work was translated for Japanese digital market since September 2020.


Also knowing my first WEBTOON series has reached above one thousand subscribers after 11 episodes being uploaded since 17 July 2022 is really a mood booster; an encouragement indeed... thanks a lot! ^_^

My humble gratitude to everyone who subscribes, comments and keeps on viewing my WEBTOON series and other artists by KADOKAWA GEMPAKSTARZ. Enjoy! ❤
     

Friday, December 24, 2021

'HANYA... CINTA': Ilham Disebalik Kisah

常夏の国で、君と



Sumber ilham setiap karyawan komik untuk berkarya seharusnya tidak sulit lagi; tidak seperti di zaman ketika radio, TV & internet masih belum berkembang pesat. Iaitu zaman di mana karyawan perlu mengembara & mengalami sendiri untuk mencetuskan ilhamnya berkarya. Hari ini selain dari lambakan penerbitan bercetak yang boleh dibaca seperti novel & majalah, segala maklumat boleh didapati secara digital di internet bagi dijadikan bahan inspirasi untuk berkarya. Lagi² di zaman manusia kini maju dengan telefon pintar, segala maklumat boleh dicari termasuklah info tentang geografi, psikologi & patologi. Apa yang perlu ialah kreativiti setiap karyawan untuk mencetuskan ilham dari sumber² tersebut & olahkan agar menjadi karya tersendiri. Lagipun setiap makhluk di dunia ini jalan cerita masing² hampir sama, yang berbeza hanya watak & waktu. Kerana itulah bagi saya hari ini jika ada kesulitan untuk memulaikan sesuatu karya bukan tentang mencari ilham, tetapi bagaimana mentafsirkan sesuatu kisah itu dengan olahan atau gubahan cerita saya yang tersendiri... jawapannya "bakat & kreativiti"

Kunci Hati Cinta
Tidak semua yang bercinta itu senang berdamping sebagai pasangan kekasih dengan menunjuk-nunjuk kepada orang lain, tidak sebelum waktunya. Biarlah nampak seperti berkawan biasa dan rapat seperti sahabat, namun di dalam hati berbunga cinta. Namun di antara mereka berdua perlu ada bukti saling mencinta.

Embun Ketika Senja
'Embun Ketika Senja' adalah puisi yang tercipta untuk menyindir kebohongan rasa. Ia menyindir pencinta yang cuba memikat insan yang dicintai tanpa rasa keikhlasan. Memandangkan embun hanya hadir di waktu pagi, maka embun ketika senja ialah pencinta yang sia².

Pantai Berlabuh Sepi
Pantai tempat manusia bersidai menikmati keindahan jika tidak waktunya dilanda badai. Manusia senang bermimpi dan berangan di tepi pantai. Namun pantai juga pemisah antara laut dan darat, seperti hidup dan juga mati. Justeru sepertinya pantai berlabuh sepi yang tetap indah mendayu hati, cinta tidak akan pernah mati walaupun bila jasad terpisah pergi.

Bos Mencintaimu
Kisah ini dihasilkan pada tahun 2012 yang terinspirasi dari filem 'The Proposal' (2009) lakonan Sandra Bullock dan Ryan Reynolds. Tetapi bagaimana saya tidak suka kisah cinta cikgu/pensyarah dengan anak muridnya, begitu juga saya tidak suka hubungan cinta yang terjalin antara rakan sekerja terutama pekerja dan majikannya. Justeru saya terfikirkan ilham yang sesuai untuk apa yang mungkin saya tidak suka tetapi orang lain suka? Maka bagilah peluang majikan bercinta dengan (bekas) pekerjanya! Haha~ 

Pinang Tidak Berkacip
Cerita ini sebenarnya membawa maksud yang mudah, sudah dipinang dan diikat sebagai tunang tetapi kena sabar menunggu sampai bila tidak tahu. Kesudahan kisah sebenarnya sudah memberi gambaran ada yang tidak sempat menunggu. Moral cerita jangan ditangguhkan kalau sudah pasti, bimbang nanti bakal terkilan?

Cinta April
Apabila kemahsyuran tidak akan dapat mengubah perasaan cinta seseorang pada cinta pertamanya walau dilamar menjadi suri hidup insan yang berada. Terinspirasi dengan percintaan selebriti seperti Jon Bon Jovi, Bono, Ron Howard, LL Cool J, Snoop Dogg & LeBron James namun ini dari sudut kisah seorang perempuan, artis komik yang berjaya.

Merpati Terbang Rendah
Kisah ini sekadar bermain-main dengan perasaan cemburu. Memperdayakan pasangan yang bercinta dengan mainan cemburu. Sebuah cerita klisé perangai manusia² yang bercinta dalam ego bercinta yang sering digambarkan di kalangan remaja. 'merpati terbang rendah' berkias pada maksud menundukkan ego si pencinta dengan godaan cemburu.

Cinta Kita
Kisah klisé yang dipengaruhi oleh drama bertemakan antara dua darjat; yang kaya bercinta dengan yang miskin, orang kota mencintai orang kampung. Namun untuk komik cerpen ini, saya sengaja menolak konflik yang mengada-ngada seperti perbezaan kasta & hanya mahukan kesudahan yang baik.

Cinta Tanpa Suara
Cerita cinta orang kebanyakan dalam masyarakat setempat yang tidak memilih & tidak juga memaksa. Apabila jodoh sudah mulai dirasa dalam mimpi & nyata. Apa yang perlu kesefahaman menuju apa yang dicita juga dicinta. 

Rejam Bunga
Salah seorang saudara menyatakan apabila seseorang itu mempunyai daya pemikat hingga membuatkan orang jatuh cinta untuk berlaku sihir, dia seumpama 'rejam bunga'. Dari situ terpancar idea menyebut sebuah kisah kahwin paksa di kampung sendiri oleh desakan keluarga akibat ugutan sihir jika lamaran ditolak. 

Bintang Permata Hati
 Bisnes menjual bakat selebriti ini adalah satu kempen terancang untuk memikat peminat demi populariti. Selalu perancangnya adalah pengurus para selebriti itu; ini tidak boleh, itu tidak boleh demi mengelak konflik pasaran. Namun apabila cinta berputik antara selebriti maka mereka perlu bijak mengatasinya?

Cinta Sakti
Andaikan jodoh cinta itu punya kesaktian tersendiri untuk menemukan pasangan yang sanggup menunggu kerana percaya kepada naluri hati? Ia seperti kisah dongeng apabila dua hati terus setia menyendiri hingga bertemu si dia yang benar² pasti. Masih berpegang pada prinsip 'jodoh perlu dicari' tetapi kepada jodoh yang sudah tahu saling mencari antara satu sama lain.

Dalam Cinta Ini
Saya ada sebuah beg tanpa jenama yang sangat tahan lasak. Dalam banyak beg yang saya ada, hanya beg itu walau sudah lebih 10 tahun dipakai namun tidak pernah putus talinya biarpun diisi buku² yang berat. Semasa sering memakainya ke kuliah (MBA di UIA), saya terfikirkan idea andaikan daya tahan beg itu seperti cinta seorang sahabat yang kita tidak sedar juga mencintainya? Maka terhasillah kisah ini.

Di Pinggir Kali
Kali bukan sahaja bererti kata pembilang atau kata darab, tetapi ia juga bermaksud sungai, jangkaan atau masa. Justeru dari situ saya terinspirasi untuk mengambarkan kisah cinta di pinggir sungai yang terus mengalir pada pembilangan usia, pendaraban rasa, perjangkaan setia dan peralihan waktu. Kiasan pada watak bunian & manusia yang saling mencintai.

Warkah Cinta
Membayangkan jika alpa kemodenan tidak memadam jiwa manusia pada nilai kesenian sastera yang suka berpantun dalam meluahkan isi hati. Tidak perlu membuktikan cinta dengan berpelukan mesra hingga menggadai harga diri pada tuntutan nafsu, cukup jarak didekatkan dengan titipan warkah saling berbalas pantun puitis.

C.I.N.T.A
Dongeng cinta kebanyakan drama Korea, anak orang kaya membuktikan cintanya dengan melabur duit pada satu perniagaan demi mendekat kepada yang dicinta. Jika sebelum ini saya pernah menulis novel ringan 'Kaoru's Cake House: 143', dengan 143 itu bermaksud 'I Love You'. Dalam cerita ini saya tukar jadi 354, 'Aku Cinta Kamu'. Sempoi!

'Hanya... Cinta' dalam kenangan...


Thursday, January 10, 2019

MENCINTA DIA


Setahun sudah berlalu, jika 'HANYA... DIA' sepanjang tahun 2018 maka selanjutnya 'MENCINTA DIA' untuk tahun 2019 pula, khas dari saya yang berkarya & penerbitan Kadokawa Gempak Starz buat semua kipas-susah-mati yang berminat. Boleh terus dapatkanya di laman web http://www.gempakstarz.com atau di kedai-kedai buku terpilih berhampiran anda. Selamat membaca! 

"Ilham datang dari rasa cinta itulah yang terindah, membentuk segala naluri kebahagiaan... "


 
 
 

Saturday, February 17, 2018

Treler: HANYA... CINTA

Perasaan itu ada,
agar cinta dapat dirasakan.
Logika itu hadir, agar cinta tidak dibutakan.
HANYA... CINTA.
Dia menanti...
Si puteri yang bakal menjadi suri di hati...
Berbicara dari hati ke hati perihal masa depan bersama.
Cinta ini...
... Menjadikan siapa kita, saat bersama.
Walau sekadar imaginasi,
kenyataan di dalam hati pasti.
Cinta itu ada pada si dia yang menolak pergi,
juga pada si dia menerima di sini.
Terlahirnya keindahan... diwarisi lagi.
Hidup memang indah tetapi jua pergi kembali ke akar umbi.
Yang tinggal hanya mampu mengingati,
mengenang kembali.
Apabila cinta berulang kembali,
pasti bahagia bertemu nanti.

 

Monday, January 22, 2018

HANYA... CINTA


16 tahun selepas komik² Siri Maskeret Cinta (6 mukasurat) saya yang pernah tersiar di dalam majalah GEMPAK™ (sepanjang tahun 2000 - 2002) dikompilasikan dalam sebuah novel grafik berjudul 'HANYA...' pada tahun 2002, kini terbitlah kesinambungannya yang berjudul 'HANYA... CINTA'. Ia mengkompilasikan karya² terpilih komik cinta (6 - 8 mukasurat) saya yang pernah tersiar di dalam majalah GEMPAK™ selepas tahun 2002 hinggalah 2017. Siapa yang mengenali diri ini sebagai artis komik Fakhrul Anour, pasti tidak asing lagi dengan isi kandungan yang bakal dihayati di dalam novel grafik ini. Ia 100% mengisi karya-karya yang berbaur cinta dan kasih sayang di antara manusia samada tentang kekeluargaan, persahabatan mahupun berpasangan. 

Berani saya katakan bahawa 'HANYA... CINTA' memperlihatkan kematangan saya dalam menyampaikan seni komik cinta setelah masuk 18 tahun berkecimpung dalam Industri Komik Malaysia bersama Art Square Group (Gempak Starz) yang kini dikenali sebagai Kadokawa Gempak Starz (KGS). Siapa diri saya sebagai karyawan komik tidak akan pernah berubah pendirian pada cinta dan kasih sayang walau kemungkinan cara penyampaian cerita dan skil lukisan bakat ini semakin tampak diperbaiki mengikut jiwa semasa. 

'HANYA... CINTA' kini boleh didapati di pasaran berhampiran anda dan juga di Online Store Gempak Starz ( http://www.gempakstarz.com) dengan harga RM12. Selamat membaca dan menghayati hanya cinta kita! 

Thursday, October 5, 2017

KATANYA USAH BAIK SANGAT

Lebih baik pendamkan
dari aibnya bertebaran.

biar diri dizalimi muslihat
asal diri tidak zalim diniat.

Kala bantuan diselingkuh
Harta khianat dipertaruh,
Redha tetapkan ku teguh
Sabar pacakkan ku kukuh.

Katanya usah baik sangat
Sulit hidup asyik disengat,
Namun tidakku menjahat
Selagiku ingatkan akhirat.

Diri tahu sedang diperguna
Walau susah tidak memaksa,
Biar seksa payahnya berkelana
Suka kerja hingga jadi terpaksa.

Inikan dunia ada harinya parah,
Kelakkan sembuhnya di kifarah.

Memang penat menanti hari,
Namun ku gagahkan berdiri.
Sabarlah hati mengharap kurnia,
Sebelum mati tidak apalah dunia.

Tetap bersyukur alhamdulillah
selagi kudrat masih ada
Usaha jujur takdir berada
Tiba masa...
Yang baik di mahkota,
Yang jahat di mengata.

Ku redha...
Ku sabar...
Ku rela...
Bagaikan aku Syria di rejim Assad,
Bagaikan aku Palestin di zionis Israel,
Bagaikan aku Rohingya di kejam Myanmar.
Sesama manusia pun diseksa penguasa,
Apatah lagi bila sesamanya saudara...
Nanti bersuara dituduh berlagak pula,
Yang sabar dan redha terus diuji jua,
Benarkan? Asalkan janjinya, insha-Allah...
syurga.

Wednesday, April 27, 2016

INDUSTRI KOMIK MY2016... APA CER!

Saya pernah ditanya beberapa kali tentang 'semangat' Industri Komik Malaysia ni. Masih bersemangat ke atau dah lama muram? Jawapan saya walaupun aktiviti-aktiviti di dalam industri kita ni tak dilaporkan secara kerap oleh media massa kecuali untuk segmen khas atau sekadar selit-menyelit, tak bermakna ia tak bersemangat. Para penggiat terutamanya karyawan komik masih gigih memeriahkan industri walau payahnya hanya Allah sahaja yang tahu. Trimas kepada teknologi siber sekarang ni, yang dulu jauh korang nak nampak, anytime boleh cari di internet, lagi-lagi kat Facebook. Industri Komik Malaysia di tahun 2016 masih terus melihat kebangkitan-kebangkitan para penggiat yang lama serta baru, dan bagi yang bertanya bagaimana perkembangannya? Mari kita selusuri berpandukan apa yang sampai di pengetahuan saya kat newsfeed laman Facebook Fakhrul Anour. Lagi-lagi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur/PBAKL 2016 bakal berlangsung di MAEPS pada 29 April - 9 Mei 2016 nanti dan kelak disusuli oleh Comic Art Festival KL 3 pada 28 Mei - 29 Mei 2016 kat Quil City Mall. Jadi saya ceritalah apa yang tahu kat korang tentang komik (yakni bahan bacaan bervisual yang menerapkan konsep panel dan bubble jer!), kot-kot nanti leh borong di karnival tersebut... ^_^

KOMIK KITA
Pada Ogos 2015 yang lalu kita dikejutkan dengan penutupan MOY Publication yang sebelum ni feymes dengan majalah komik kartun 'UJANG' & 'APO?'. Jadi ke mana pergi kartunis-kartunisnya? Di antara mereka kini bernaung dengan penerbitan komik baru, Humaira Production di bawah label 'KOMIK KITA'.



Penerbitan ni membawa pendekatan humor yang lebih Islamik, dan dimaklumkan tidak kurang daripada 10 judul novel grafik baru diterbitkan sebagai permulaan.

Antara nama-nama kartunis disebut di bawah produksi ni ialah Lengkuas, Ayoi, Manza, Kiwi, Bawang, Ard-One, Lalang, Piston, X-Lid & Pjoe. 

Malah selain menerbitkan produk-produk komik kartunis tempatan, Humaira Production juga mengimport komik dari negara jiran, Indonesia. Nak tau lebih lanjut, korang leh ke laman FB-nya!

Penerbitan ni (MAPLE disebut mapley iaitu difahamkan bermaksud 'tempat makan') di tubuhkan oleh 2 orang penulis kreatif iaitu Fairul Nizam & Amir Hafizi. Saya kenal Fairul Nizam sebab dia ni bekas sub-editor saya dulu di Gempak Starz sebagai Roy dan pernah menulis skrip untuk anime Jepun serta drama TV tempatan. Manakala saya kenal Amir Hafizi sebagai penulis/jurnalis/penyunting berpengalaman 360 yang cukup mesra dengan dunia Animations, Comics and Games/ACG.

Maple Comics berusaha rapat dengan penerbitan FIXI, iaitu penerbit novel-novel ber-genre lebih trendy urban masa kini.

Penerbitan ni berniat memasarkan kelainan genre dalam penerbitan komik untuk mempelbagaikan lagi isi kreatif buat pasaran industri. Jadi setakat ni berpandukan novel-novel grafik yang dah diterbitkan, korang leh feel bahawa karya-karya novel grafik diorang ni akan lebih berjiwa senior yang sesuai juga untuk difahamkan untuk golongan junior.

Antara artis-artis komik yang sudah tersebut dalam penerbitan karya diorang oleh Maple Comics ialah Azhar Abdullah, AidiFitri Ahmad, Mimi Mashud, JonSuraya, Azwanjjai, Arif Rafhan dan Chee. Akan datang difahamkan akan ada ramai lagi artis-artis komik baru dan lama bakal menyusul bekerjasama dengan penerbitan ni.

KOMIK-M
Selayaknya dikatakan inilah jenama penerbitan komik kedua teraktif dan terbanyak IP-nya di Malaysia selepas Gempak Starz, tetapi dalam gap ratio yang saya andaikan masih luas iaitu kira-kira 20:1 (perbandingan untuk karya-karya tempatan sahaja, tak termasuk komik import). Malah saya gak berani sebut, ia juga merupakan penerbitan komik pertama di Malaysia yang secara terbuka mengamalkan kontrak bebas dalam pemakaian hakcipta (diikuti oleh Maple Comics) bergantung kepada persetujuan dua pihak yang berunding; antara penerbit dan karyawan (penulis/pelukis).

Bernaung di bawah penerbitan buku PTS, gedung komik ni sudah memasarkan banyak siri novel grafik karya-karya tempatan untuk industri komik kita selepas Gempak Starz. 

Saya melihat Komik-M ni sebagai kesinambungan kepada Gempak Starz tetapi dalam cara yang tersendiri. Ia bukan perkara yang negatif sebaliknya sangat positif kerana rata-rata artis-artis Komik-M juga difahamkan ramai yang terinspirasi dari karya-karya komik Gempak Starz. Namun lama-kelamaan kecenderungan tersebut sedikit demi sedikit telah membentuk kepada identiti tersendiri yang lebih cenderung ke arah adat Melayu dan resam Islam.

Satu lagi keunikan yang diketengahkan oleh Komik-M ialah gabungan kerjasama penulis dan pelukis dalam menghasilkan sesebuah karya komik untuk diterbitkan sebagai novel grafik yang kini turut menjadi resam penerbitan di Gempak Starz.  


Antara barisan artis-artis Komik-M yang Ayour tahu di awal kemunculan penerbitan ni ialah seperti adik-beradik Afiq dan Nazry, Ash Kun, Bophairy, Froggypapa dan Aman Wan.

Suka untuk dikongsikan juga ialah penyertaan artis komik Gempak Starz yang turut menyumbangkan karya di Komik-M iaitu Ben Wong. Ia merupakan satu lagi detik bersejarah dalam industri komik negara apabila Ben membuka tirai kepada sifat terbuka industri dalam berkongsi bakat komik untuk berbeza syarikat penerbitan. Sehingga kini Ben sudah menyumbangkan lebih dari 5 judul novel grafik bersama Komik-M terutamanya untuk siri 'Super Safee'.

GEMPAK STARZ
Setelah lebih 20 tahun di dalam Industri Komik Malaysia, ini merupakan jenama komik terunggul kerana kesungguhan pengusahanya yang tidak mengalah dalam apa jua cabaran ekonomi, dan sentiasa mengemaskini sistem pemasaran untuk industri komik negara terus bertahan. Terkini penerbitnya, Art Square Group telah bergabung dengan penerbitan di peringkat antarabangsa yakni Kadokawa Holding menjadi Kadokawa Gempak Starz Sdn. Bhd. demi memantapkan lagi usaha perniagaan kreatif khusus kepada industri komik dan yang berkaitan dengannya. Dengan penggabungan ni, kita bakal menyaksikan sedikit demi sedikit pembaharuan dari segi imej produk dan penambahan IP tempatan termasuklah yang diimport dari luar negara. 

Sekarang ni Gempak Starz sedang hangat dengan siri-siri fiksyen junior diorang seperti X-Venture yang membawa korang ke dunia fiksyen mistikal; sains dan arkeologi dan terbaru Siri Kaleidoskop yang mengadaptasi ke komik karya popular selain komik. Untuk siri X-Venture, korang boleh hayati kerja-kerja artis-artis komik senior seperti Kaoru, Tadatada, Oga dan Slaium bertindak sebagai penulis untuk karya di lukis oleh artis-artis komik yang lain di peringkat junior mahupun senior di Gempak Starz. Manakala Siri Kaleidoskop melihat kerjasama antara Gempak Starz dan Astro mengadaptasi karya-karya Skrin Layar ke Komik.

Gempak Starz juga menyemarakkan industri komik tempatan dengan mengeluarkan judul yang sama dalam 3 bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Mandarin. Amat sesuai untuk meluaskan pasaran buat masyarakat majmuk di negara kita ini yang terdiri dari berbilang kaum dengan pelbagai kefahaman bahasa.

 
Selain tu Gempak Starz masih meneruskan kompilasi komik-komik popular di majalah Gempak sebagai novel grafik untuk korang peminat komik memilikinya.

Malah sejak awal kemunculan penerbitan ini dengan majalah Gempak, sehinggalah tertubuhnya jenama komik terkenal, Gempak Starz, ia merupakan pengusaha yang tidak kedekut menganjurkan sesi meraikan peminat (iaitu pengguna/pelabur pasaran/stakeholder) dengan menganjurkan pelbagai sesi artis komik bertemu peminat terutamanya sesi autograf, sesi pelancaran, karnival komik dan sesi jelajah. Jadi pada KLIBF2016 ni nanti, selain ada sesi autograf dan jualan eksklusif produk Gempak Starz, dimaklumkan pelancaran episod terbaru siri novel grafik terlaris Gempak Starz iaitu 'Lawak Kampus'.  

IMBUHAN BERITA KOMIK!


10 orang kartunis legend tanahair iaitu Aie, Sukun, Sireh, Gayour, Bijan, Lengkuas, Ubi, Bawang, Tembakau dan Nik bergabung bakat komik untuk 'JENAMA X'. Dimaklumkan ni adalah 'REUNION PERTAMA' diorang setelah sekian lama berpisah. Yes... siapa tak kenal diorang ni semua! Jadi kepada korang yang dah lama menantikan karya-karya baru diorang, ni habuannya.  Serious guys, semua ni otai-otai sebelum saya lagi! Jadi terharu dengan usaha mereka untuk hasilkan karya-karya terbaru buat kelangsungan industri. Support 100%!
Seterusnya saya suka nak menyebut tentang usaha one-man show anak muda sorang ni di bawah label Topek Comics. Masih dikategorikan sebagai artis komik amatur, tetapi usahanya melambangkan kegigihan seorang usahawan komik yang tak mustahil menjanjikan masa depan profesional yang baik jika terus menempuh cabaran sampai stabil. Dia sudah punya IP-nya sendiri berjudul 'Aku Engineer' yang diwarna, disunting, dicetak, dijual dan dipasarkan sendiri novel grafiknya ni di laman Facebook Topek Comics.
 
Memang sejak awal kemunculannya di Facebook kat laman Projek Iqra lagi saya dah berkenan dengan komik ni. Dihasilkan oleh AhmedFani (Fanikatun.com), ia mengajak pembaca bermuhasabah diri dengan cara pemikiran Islam berkaitan hal-hal seharian bersama Abu Nuwas dan keldainya. Lawaknya tidak membuatkan kita ketawa terbahak-bahak, malah tidak juga membuatkan kita bermasa muka, sesuai dalam membentuk keperibadian Islam sambil membaca komik. Ia produk terulung Projek Iqra, iaitu persatuan kebajikan Islam dalam membantu memantapkan tahap pendidikan dan kebajikan kanak-kanak dan remaja di rumah kebajikan (anak yatim, miskin dan asnaf) serta keluarga yang kurang berkemampuan. Kepada korang yang ingin mendapatkan komik ni atau mengetahui lebih lanjut tentang  Projek Iqra leh terus ke lawan web-nya.

 
 
Sebuah lagi usaha mengembalikan kegemilangan karya-karya komik senior yang menerapkan persembahan tulisan dan lukisan yang lebih matang seperti yang kita pernah saksikan di zaman komik Salina dan sebelumnya.  Ia dibawakan oleh PeKomik dengan kerjasama Nyla Studio mengkompilasikan karya artis-artis komik urban dengan pendekatan jalan cerita yang lebih luas isu sosialnya. Kepada korang yang ingin mengenali lebih ramai lagi artis komik tempatan berbakat selain yang korang pernah dengar di Komik-M dan Gempak Starz, juga kartunis-kartunis yang pernah bersama Moy Publications serta Creative Enterprise, dapatkan 'Dimensi' di KLIBF 2016. 

Imran Marsad (pelukis) dan Burhanuddin bin Sarji (penulis) menggerakkan seni komik diorang dengan Ba-c Mente Studio dengan karya sulung 'Badang: Ceritera Tidak Terhikayat'. Dipasarkan secara sendiri melalui online dan karnival-karnival seni, Ayour cukup berbangga dengan usaha cekal mereka memartabatkan tradisi dan kebudayaan Melayu Nusantara. Korang leh rujuk lebih lanjut di laman FB Ba-c Mente Studio.
Sebuah lagi karya komik buat korang peminat-peminat komik tradisi Melayu Lama oleh KomikAjif yang ditubuhkan sejak tahun 2010. Satu lagi usaha artis-artis komik tempatan dalam memartabatkan kebudayaan Melayu tradisi dan mengembalikan kegemilangan sejarah Melayu Nusantara sejak turun-temurun.

Orait... ada banyak lagi kalau nak cerita tentang Industri Komik Malaysia ni, seperti bagaimana pasaran MAJALAH komik dah mula hilang seri dengan ketiadaan majalah Ujang dan Apo?, manakala majalah Gila-Gila masih terus tabah meraih pasaran dan majalah Gempak kini hanya diterbitkan sebulan sekali. Dan kenapa ini adalah masa terbaik untuk majalah komik yang baru diterbitkan. Tapi untuk update ni saya sampaikan yang ada kuarkan produk komik untuk dibaca jer. Kalau nak diikutkan ada banyak lagi berita serta diskusi tentang industri serta laman-laman para penggiat industri yang nak disebut; jika tak individu, tentunya tentang komuniti dan kumpulan kreatif komik. Antara diorang cam Gilamon Studio, Supreme Comichat, Comicore, Pekan Kartun Ipoh dan MatKomik. Mana yang tak tersebut tu mohon maaf, nanti sebut-sebutkanlah. Insha-Allah, ada masa nanti saya akan blog-kan lagi untuk disampaikan kepada yang belum tahu, kot bertambah murah rezeki industri kita kelak dan boleh dimanfaatkan untuk pembangunan yang lebih baik dan terancang. Aamiin... ^_^

 #Berusaha!

HARAP MAKLUM: penulisan ini tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak pun kecuali atas usaha dan kefahaman penulis sendiri dalam mengumpul bahan serta menyuarakan pendapat. Visual yang dipaparkan di dalam penulisan ini adalah hakmilik penuh pengkarya/penerbit yang disebut mengikut turutan masing-masing, dan ia tidak diambil dari mana-mana laman peribadi kecuali laman terbuka untuk tatapan umum.