"It's only through writing that I've ever been able to suppress life's personal disappointments. When I can't write I feel anxious and out of sorts and am easily riled, though I'm usually able to control my emotions..."
- Pramoedya Ananta Toer (The Mute's Soliloquy: A Memoir)
["Hanya dengan menulis aku mampu menekan segala kekecewaan peribadi hidup. Bila aku tidak menulis, aku merasa cemas & tidak keruan serta mudah gusar, walau selalunya aku bisa mengawal emosiku..."]

Sunday, May 10, 2026

NUKILAN MEMORI DI JEJAK USIA ITU

Sesekali apa salahnya saya bercerita walau ini hanya 1% daripada 99% cabaran hidup ini perlu saya lalui berbanding 1% pencapaian yang kalian nampak seolah sudah dibangga dilogistik atau komentar penggemar industri. Tidak kiralah kalian dari generasi apa yang pasti...

To set the record straight

Im a... GEN X
[The Nusantara ethnic mixed blood children of the Silent Generation (mother) & Greatest Generation (father)]

P/S: Not a baby boomer or its descendant

(Tak faham Bahasa Inggeris? Lantak kau! Untung la saya tak tulis dalam Mandarin, Hangul atau Arab!)

Tahun 2000 (usia: 25 tahun) bermulanya karier saya sebagai artis komik bebas (freelance comic artist) & pekerja tetap editorial majalah GEMPAK (sebagai sub-editor untuk dua tahun sebelum menjawat jawatan editor) di syarikat penerbitan komik BRG Art Square yang baru dua tahun dalam pasaran Industri Komik Malaysia ketika itu (selanjutnya maju sebagai Art Square Group) yang kini lebih maju sebagai Kadokawa Gempak Starz setelah rasmi bergabung dengan syarikat konglomerat media kreatif terbesar Asia di Jepun, Kadokawa Corporation. Di usia ini sebelum berkarya bersama majalah GEMPAK, saya menghadap bertubi-tubi kekecewaan apabila bakat melukis komik saya ditolak mentah² oleh penerbitan² komik yang lain kerana alasan yang pelbagai. Itu belum kira lagi karya² penulisan termasuk skrip drama/filem yang ditolak ketika saya masih dibangku sekolah menengah kerana tidak mencapai piawaian yang sesuai buat produksi mereka. Ya, untuk mencapai impian saya sekarang ini, tidak pernah saya sandarkan bantuan kabel orang dalam industri. Saya masuk ke industri ini tanpa kenal sesiapa orang dalam yang boleh rekomen supaya mudah diterima masuk. Usia 25 tahun baru dapat itupun dari sebuah syarikat penerbitan komik yang masih kecil, belum dikenali dan dua tahun pertamanya dimaklumkan banyak rugi dari untung. Takdir Allah atas impian sejak kecil yang tidak pernah pudar, tanpa saya memilih syarikat kecil atau sudah gah, dapat saya membangun bersama penerbitan ini yang kini lebih gah dari penerbitan yang dulunya gah namun kini diharapkan dapatlah bangkit semula untuk menjadi lebih baik dalam persaingan industri yang lebih sihat, Insha-Allah. Bagi saya, tidak kisah dipinggirkan atau disindir, tetap berterima kasih kerana diantara mereka punya bakat yang menjadi inspirasi saya untuk menjadi artis komik dan novelis sebaik mungkin.

Pada tahun 2009 (usia: 34 tahun) saya sebagai anak tunggal seorang ibu kandung, menghadapi ujian emosi hidup paling berat (yakni kurang 6 bulan terakhir tahun itu) memohon dilepaskan jawatan namun dengan ehsan majikan diberi cuti serta-merta (tanpa tempoh) demi menjaga perawatan ibu akibat kanser tahap 4 (bile-duct cancer) yang akhirnya sebulan kemudian meninggal dunia (2 minggu untuk dua kali operasi di Hospital Muar diikuti 2 minggu untuk dua kali lagi operasi di Hospital Selayang namun kesemua operasi gagal merawat kanser tersebut). Usai sehari dua pengkebumian arwah ibu setelah sebulan tidak masuk pejabat, saya tidak betah bercuti lagi dan terus kembali ke pejabat untuk bekerja seperti biasa dengan melangsaikan segala tanggungjawab karier yang ada (terutamanya sebagai editor majalah komik bi-monthly GEMPAK) bersama syarikat termasuk menjadi moderator Kre8tif Conference 2009 anjuran MDEC, menyiapkan konten (lukisan juga penulisan) dan menyunting karya (novel grafik) terkini saya ketika itu berjudul 'PENTAS REALITI: ASPIRASI SENI' diikuti naik podium berucap merasmikan pelancaran jenama GEMPAK STARZ ketika karnival komik 100% GEMPAK STARZ (sebelum itu dikenali sebagai Karnival Komik Malaysia) di Plaza Sungei Wang. Setelah itu saya menutup tirai tahun 2009 dengan menghantar surat perletakan jawatan sebagai editor majalah GEMPAK untuk disahkan dalam tempoh 6 bulan kemudian (yakni Jun 2010). Alasan berhenti? Itu hal peribadi dan bukan untuk diperbincangkan kepada umum yang boleh menjadi fitnah dan sekaligus andaian yang membawa kepada ulasan celaka mulut² puaka.

Pada tahun 2020 (45 tahun) ketika pandemik COVID-19 baru diisytihar, saya sudah mendapatkan penempatan baru setelah 11 tahun menetap di Gombak sejak menjadi pelajar MBA (UIA) hingga bergelar graduan (tahun 2014) masih terus tinggal di sana. Kerana tidak percaya hidup selamanya harus di zon nyaman atau selesa untuk kekal berjuang demi meningkatnya prestasi usaha hidup, maka saya berpindah bagi meraih suasana berimpak bangkit! Hampir sedikit kecewa di awal tahun itu namun sempat redha dimaklumkan ketika itu bahawa bakat saya sudah tidak diperlukan penerbit lagi, namun tidak lama kemudian penerbit memaklumkan salah satu karya novel grafik saya terbitannya dipilih untuk diterbitkan secara digital di sana. Langsung saya pertanyakan jika bakat melukis komik saya boleh dilanjutkan dan katanya ya! Alhamdulillah... Dalam tahun itu kerana pandemik dengan segala perintah kerajaan untuk vaksinasi serta PKP, cabaran pendapatan juga teruk terbatas termasuk tidak memperbaharui kontrak baru (walau ditawar melatih secara online) menjadi pelatih di sekolah swasta apatah lagi saya pula baru berpindah ke penempatan baru. Malah sempat juga di awal tahun itu proses berpindah ke penempatan baru juga terbantut selama tiga bulan lebih akibat perintah PKP. Banyak dugaannya namun bersyukur punya lingkungan kecil sahabat, saudara dan rakan industri walau jauh namun merapat cukup prihatin sesuai waktu. Semoga hidup mereka diberkati selalu... aamiin! Di penempatan baru itulah saya berusaha menyiapkan novel grafik saya berjudul 'PENGAGUM RAHSIA' (yang kedua karya komik saya bukan bersifat antologi selepas C.U.B.E:46) sehingga sesudah pandemik. 

Pada tahun 2025 (usia 50 tahun), setelah novel antologi 'MISTERI DALAM REMANG' sudah diterbitkan di pasaran, saya berpindah lagi dengan membawa karya komik baru dengan mengenengahkan konsep cinta pada kelompok sosial yang berbeza dibandingkan 'PENGAGUM RAHSIA' berjudul 'TENTANG KITA' demi kesedaran gangguan mental. Saya sempat tiga bulan menyewa sementara sebelum mendapatkan penempatan baru yang saya mahukan. Dalam tiga bulan tersebut sesuai menambah ilham untuk karya terbaru saya, kebetulan terlibat dalam kancah permasalahan sulit melibatkan mereka yang saya peduli angkara manusia narsistik (penggoda jahat jiwa² kalian yang tinggi simpati namun rendah empati). Narsistik itu tampak seolah mulia tapi sebenarnya berkepentingan durjana! Ia juga menjadi titik pengalaman serta pengajaran selanjutnya buat diri saya bahawa dewasa atau usia bukan ukuran kematangan manusia untuk membina kendiri yang ikhlas baiknya sebaliknya megah berpura-pura baik! Narsistik adalah pemangsa sosial yang menjajah jiwa² manusia dengan segala godaan simpati dan kata cintanya. Jika tidak dijerkah mangsanya semoga sedar diri maka bakal sesen pun tiada yang tinggal untuk si narsistik ini mencari mangsa lainnya. Namun kasihan ya, bekalan mangsa untuk para narsistik ini tidak pernah putus setiap tahunnya. Ya, insan² baik hati yakni tinggi simpati rendah empati yang terus mendesak jodoh buat dirinya agar terasa dihargai punya pasangan indah khabar dari rupa terus menjadi lowongan mudah untuk para narsistik. Pandangan saya, kalau sudah terjebak dengan narsistik, tinggikan empati anda lebih baik dari sekadar simpati untuk setiap saat punya strategi menyanggah muslihatnya. Namun disaat sudah terlepas dari cengkaman narsistik, siapa siaga tingkatkan kadar empati lebih dari sekadar simpati agar tidak terjebak lagi manusia mental sebegini. Kerana penyakit mental narsistik ini tiada ubatnya, ketinggian muslihat mereka demi kepentingan diri semata-mata pun boleh membongokkan pakar psikiatri! Buat mangsa pula, "Bodoh kau!!!" bak kata Bunda Corla apabila mensahihkan nasihat saya itu sesuai dengan jawapan ChatGPT kerana awalnya kurang percaya kata² saya sehingga dibandingkan dengan keputusan chatbot buatan OpenAI. Patutlah wabak narsistik ini (termasuk penyondol dan biawak hidup) semakin meningkat kerana meningkatnya generasi pengguna Generative AI, mangsa menggunakan hak orang lain tanpa izin melalui aplikasi ciptaan pemangsa! Apapun sementara menyiapkan novel grafik terbaru berjudul 'TENTANG KITA', novel antologi saya berjudul 'MISTERI DALAM REMANG' diterbitkan diawal tahun itu selain saya melanjutkan kontrak sebagai tenaga pelatih dari industri kreatif kita (fokus kepada kartun dan komik) di dua buah sekolah swasta seperti biasanya. Dalam melatih mereka, saya akan menegaskan kepentingan AI dalam industri kreatif serta sentiasa mengingatkan mereka agar berwaspada pada nikmat kepenggunaannya kerana cabang AI seperti Generative AI perlu terdidik membezakan buruk baik hasilnya pada ekonomi industri serta kesannya pada kepakaran sumber manusia kreatif di masa akan datang. Semua pengalaman ini saya syukuri kerana banyak membantu untuk jalan cerita novel grafik saya selanjutnya berjudul 'TENTANG KITA' itu.

Pada tahun 2026 (usia 51 tahun), apa lagi mahu cerita? Saya akan terus memperbaiki diri, kekal berkarya, tabah menghadapi apapun cabaran serta dugaan mendatang dan berpegang kepada prinsip saya bila terlibat dalam mana² industri yang turut diterapkan sepanjang memimpin editorial majalah GEMPAK suatu ketika dahulu...

"Bukan pasaran yang membentuk kita tetapi kita yang membentuk pasaran. Seperti lembaran kosong akan kekal kosong jika tidak kita sendiri memanfaatkannya agar tidak terus kosong."

Seperti pengalaman hidup, kita ukirkan sendiri bukan mengharapkan orang lain mengukirkan buat kita. Selebihnya, Maha Pencipta punya rancangan yang lebih baik dalam setiap usaha untuk apa yang kita perlu bukan apa yang kita hendak.

No comments: