
![]() |
Semenjak IPCC pertama dianjurkan pada tahun 2006, seramai 222 individu dan syarikat telah menerima sokongan kewangan sebanyak RM8.7 juta selain tambahan latihan dan program-program pembangunan (rujukan; The Stars). |
Tiga tahun berturut-turut (2007-2009) menjadi juri kepada pertandingan IPCC (Intellectual Property Creative Content) anjuran MSC Malaysia di bawah usaha MDeC (Multimedia Development Corporation) telah membuka mata saya kepada kemampuan bakat-bakat kreatif Malaysia yang sebenar. Para peserta semuanya adalah dikalangan mereka yang berusaha dalam memartabatkan seni kreatif dengan teknologi terkini seperti yang disyaratkan dalam pertandingan. Yang tidak pandai melukis akan bersatu dengan yang pandai menulis untuk mencipta karya. Manakala yang tidak pandai berhujah akan bersatu dengan yang pandai berniaga untuk membentangkan kertas kerja bagi memenangi geran yang ditawarkan.
IPCC 2007
Namun sebagai salah seorang juri yang khusus kepada kategori Digital Interactive Comic Competition, saya melihat pertandingan ini sebagai pendedahan awal para peserta dalam usaha meniagakan bakat sendiri. Namun kesedaran itu masih perlu ditelusi melalui pendedahan secara berterusan sejajar dengan keperluan industri. Kerana rata-rata peserta yang saya adili sepanjang 3 tahun tersebut, kelemahan paling ketara majoritinya ialah tidak mengusulkan kertas kerja bertepatan dengan keperluan ekonomi yang berpaksikan teknologi kreatif. Soal berkarya (melukis dan menulis) tidak dinafikan semua jelas berkemampuan, namun kertas kerja yang dibentangkan hanya terhad kepada skop untuk memenangi geran (dalam menyiapkan kerja separuh siap). Jadi apa yang juri perolehi masa pembentangan (pitching), rata-rata menilai bakat seni para peserta (dari sudut komersil tanpa meninggalkan jati diri nasional) dan kemampuan menyiapkan tugas dalam tempoh yang telah diperuntukan mengikut syarat yang telah ditetapkan. Kesimpulannya apa yang saya dapat ketika itu ialah para peserta seni komik yang berbakat tetapi untuk berfikiran jauh, ada yang terlebih jauh (sampai ke laut!) tanpa memikirkan (logik) faktor terhad (yang perlu diambil kira) seperti ketetapan masa dan jumlah dana yang diperuntukan.
IPCC 2008
Pada saya, tidak salah untuk kita meletakkan impian yang tinggi dalam mencari titik tolak agar kita terus maju. Namun kita kena faham, impian yang tinggi itu adalah pencapaian yang kita hendak usahakan tetapi setiap kemudahan yang ditawarkan harus kita pergunakan mengikut haknya. IPCC ini hanyalah sebuah pelantar pertandingan, MDeC dan MSC bukan portal subsidi yang akan melakukan semua kerja untuk bakat kita selepas pertandingan. Malah penganjur tidak mengambil apa-apa hakcipta karya daripada peserta, kecuali yang tertakluk dalam syarat bagi menyempurnakan geran. Justeru, para peserta diharapkan lebih berkemampuan untuk melebarkan lagi karya masing-masing (yang telah memenangi geran) dengan memastikan ia sampai kepada peminat komik untuk dibeli. Usaha melebar itu perlulah tertakluk kepada azam para pemenang geran itu sendiri kerana jelas karya sudah dijamin ada kualiti komersil oleh para juri, tetapi sehingga hari ini dimanakah kebanyakan karya-karya itu di dalam industri?
IPCC2009
Harapan saya semoga Industri Komik Malaysia akan terus diperkembangkan ke peringkat yang lebih baik, hingga dapat dimanfaatkan oleh semua lapisan masyarakat dalam semua aspek kehidupan. Jangan sekadar melihat komik ini untuk hiburan semata-mata, tetapi juga sebagai antara sumber mudah menerapkan ilmu dan memelihara budaya. Malah jadikan juga industri komik ini sebagai antara penjana idea serta kemahiran kepada industri berkaitan seperti animasi dan mainan video demi melihat Industri Kreatif Negara menjadi lebih efektif bukan sahaja di dalam negara tetapi juga mampu berdiri gah di luar negara.
#BERUSAHA!