"It's only through writing that I've ever been able to suppress life's personal disappointments. When I can't write I feel anxious and out of sorts and am easily riled, though I'm usually able to control my emotions..."
- Pramoedya Ananta Toer (The Mute's Soliloquy: A Memoir)
["Hanya dengan menulis aku mampu menekan segala kekecewaan peribadi hidup. Bila aku tidak menulis, aku merasa cemas & tidak keruan serta mudah gusar, walau selalunya aku bisa mengawal emosiku..."]

Tuesday, June 8, 2010

KISAH SINGKAT KEMBARA JALANAN (BHG. 01)

Pagi ini perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu (KTM) mengalami masalah yang tidak dapat dielakkan. Dia tiba di stesen Kuang dihantar oleh seorang insan yang baik hati mengizinkannya menginap di rumah semalam. Namun pagi ini dia terpaksa meneruskan perjalanan... perjalanan yang tidak pasti.

"Harap maklum, Keretapi Tanah Melayu memohon maaf atas kesulitan perkhidmatan tergendala yang tidak dapat dielakkan berpunca dari terminal induk KL. Kami masih belum dapat mengesahkan waktu perjalanan yang sahih..."

Dia tidak perlu mendengar pengumuman seterusnya. Baginya, hidup ini sudah terlalu banyak yang tergendala. Semuanya kerana mereka gilakan wang, harta dan kuasa hingga sanggup menghancurkan hidup orang lain. Seperti arwah ibunya yang meninggal dunia membawa barah hati menanggung penderitaan diabaikan suami demi kemewahan duniawi. Manakala dia ditinggalkan sebatang kara menghadapi manusia-manusia seumpama itu. Sungguh menjengkelkan!

"... kepada para penumpang harap maklum, perkhidmatan keretapi ini hanya sampai di stesen Kepong sahaja. Untuk perjalanan seterusnya, anda diminta menggunakan alternatif lain untuk ke destinasi yang anda tujui."

Kepong? Nama daerah itu cukup biasa dipendengarannya. Selain mengingatkan dirinya kepada filem perang box-office Malaysia di era 80-an berjudul 'Bukit Kepong', ia juga mengimbau kisah tempat dia dibesarkan. Namun ini Kepong di kota lumpur... Kuala Lumpur, biasa didengar namun tidak pernah dijejaki, apatah lagi turun dari stesen KTM Kepong yang cukup asing dipandangannya.

Di stesen Kepong, pengumuman semua penumpang diminta keluar dari gerabak menerjah pelbagai jenis keluhan dari bibir-bibir mereka. Bagi dirinya itu semua keluhan sengaja, keluhan mengada-ngada. Bukannya mereka tidak tahu masalah yang sedang berlaku ketika ini, namun mereka tetap sengaja melemparkan keluhan itu. Apatah lagi jika pengumuman itu diulang berkali-kali hingga wajar untuk dia mengeluh untuk itu. Manusia di kota yang majoritinya berpura-pura untuk pencarian yang tidak pasti, seperti berpura-puranya mereka ketika mengeluh. Dia rimas dalam kelompok ini dan dia harus beredar segera!

Tanpa lengah dia menuruni tangga meninggalkan stesen KTM Kepong yang semakin sesak dengan penumpang, mereka yang tidak mahu berganjak dan terus setia menanti perkhidmatan KTM berfungsi seperti biasa. Ya, setia dalam keluhan mereka, setia dalam benci mereka, setia dalam penipuan mereka... lumrah manusia berhati lumpur. Dia tidak tahan dan dia harus terus meninggalkan mereka sebelum hatinya terpalit lumpur mereka.

::: Bersambung...

No comments: