"It's only through writing that I've ever been able to suppress life's personal disappointments. When I can't write I feel anxious and out of sorts and am easily riled, though I'm usually able to control my emotions..."
- Pramoedya Ananta Toer (The Mute's Soliloquy: A Memoir)
["Hanya dengan menulis aku mampu menekan segala kekecewaan peribadi hidup. Bila aku tidak menulis, aku merasa cemas & tidak keruan serta mudah gusar, walau selalunya aku bisa mengawal emosiku..."]

Tuesday, January 1, 2013

SELAMAT TAHUN BARU 2013

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
& Salam Sejahtera...

Wahai taulan,

Tidak dinafikan kenyataan hidup bahawa setiap insan di dunia ini tidak menjadi semakin muda, namun itu bukan bererti kita semakin teruk dalam mengawal emosi. Malah menjadi semakin tua juga bukan bermaksud kita semakin azab dalam menjaga mental dan fizikal. Semua itu mainan psikologi yang cuba melemahkan kemampuan individu daripada terus melaksanakan tanggungjawabnya di dalam daya diri yang semakin malas. Itu semua cara manusia berpegang pada prinsip usia untuk bermain dengan pelbagai alasan agar anak muda yang melakukan semua kerja, sedangkan yang lebih dewasa mula mencari jalan melepaskan batuk di tangga.

Dewasa belum pasti berpengalaman
Usia bukan pengukur kematangan
Muda tidak semestinya kecemerlangan
Bila jati diri kejayaan ilmu & pengetahuan

Ketepikan soal berpenyakit kerana ada manusia yang sakit juga masih gagah mengawal diri, malah ada yang abnormal psikologi lebih gigih daripada yang normal psikologi. Sebagai peringatan untuk diri sendiri, cabaran hidup tidak akan pernah berhenti. Ada waktunya kita akan lelah melayan kerenah keadaan hingga membuatkan kita lebih senang berdiam diri dan mencari jalan sendiri. Tetapi itu tidak bermaksud kita mengundurkan diri, tidak bagi jiwa yang degil dan tidak mudah dipatahkan oleh caci serta dengki. Jika ada banyak kata-kata nista yang cuba melunturkan semangat kita untuk terus maju, masih ada banyak lagi kata-kata motivasi yang mampu menggerakkan kita untuk lebih cemerlang. Pandai-pandailah membawa diri, jangan terlalu manja dengan perhatian kerana bimbang kesudahannya kita senang dipermainkan. Tidak dinafikan bila di satu tahap kemajuan, ada dalang pembelotan sedang bermain di belakang kita di atas nama 'gila kuasa'. Ketika itu, jangan mudah melatah sebaliknya lakukan yang terbaik untuk memperbaikinya tetapi bukan dengan jalan 'gila kuasa' juga, sebaliknya 'waras kuasa'.

Setiap manusia pengalaman hidupnya berbeza, maka jalannya untuk berjaya juga berbeza. Ada yang berjaya dalam sekelip mata, esok tersandung mengemis di kaki lima. Ada yang berjaya terus berjaya, namun kita tidak tahu rahsia likunya untuk terus kekal berjaya. Ada yang berjaya tiba-tiba senyap entah ke mana, tidak perlu berfikir yang menggila kerana mungkin masanya menggali hasrat yang tertimba.

Hakikatnya, kita tidak mampu mengubah siapa diri kita. Jika ada yang berkata "Mampu!", itu semua pembohong kerana yang bersakit mental dengan personaliti berbeza-beza pun tidak mampu mengubah dirinya menjadi satu personaliti. Apatah lagi pelakon yang melakonkan watak yang berbeza-beza, keluar lokasi akan tetap menjadi seperti dirinya. Namun kita mampu mengubah apa diri kita, seorang pelakon kepada penyanyi, seorang pendakyah kepada pendakwah, seorang pengembara kepada pengembala, dan selainnya. Kita juga mampu mengubah di mana dan bila kita berada. Kita mampu mengubah kedudukan kita daripada rumah kecil ke rumah besar, dari duit sedikit ke duit banyak, bertubuh kecil ke tubuh besar dan begitulah sebaliknya!

Percayalah Taulan...

Siapa diri kita semalam tidak akan mudah kita lupakan dengan akal yang masih sihat dan waras. Kerana apa yang berlaku kepada kita kelmarin membentuk diri kita hari ini. Ada yang terus hanyut di bawa perasaan, ada yang melawan menentang arus perasaan. Itu semua asam garam kemanusiaan, yang pasti kita harus menikmati setiap keyakinan dengan keberanian. Ada pilihan yang terpaksa kita ketepikan dan ada kehadiran yang perlu kita raikan. Itu semua bergantung kepada nilai diri kita menghadapinya. Ada manusia yang tersilap membuat pilihan hingga berantakan, berbunuh-bunuhan dan malah ada yang gila tersepit dalam pelbagai pilihan. Malah ada manusia yang terperangkap dengan perasaan orang lain, dijerat lalu tidak berani melawan melepaskan diri. Apapun perkiraan tidak kira siapa mangsa dan pemangsa, itu semua kemelut pilihan yang hanyut dalam perasaan!

"Cinta itu bukan pilihan bila ia hadir dalam diri, namun ia pilihan untuk berdiri di sisi atau biarkan ia bebas berlari."

Jangan terlalu memikirkan pelbagai kemungkinan yang akan berlaku di masa hadapan jika kita ingin melakukan perancangan di hari ini. Itu semua permainan perasaan, hasutan syaitan yang ingin melihat kita berputus asa sebelum mencuba. Teruskan berazam, teruskan merancang! Jangan bimbang duit berceceran di tepi jalan kerana masih ada banyak lagi duit di tangan insan-insan yang simpati memberi bantuan. Usah khuatir berlari berbatu jauhnya daripada mengejar masa dengan memandu kemewahan beribu batu namun masih leka dalam kelajuan nafsu. Jangan difikirkan sangat soal darjat kerana walau kaki menjejak ke bendang bernajis kerbau pun akan tetap terus dihormati jika niatnya ikhlas. 

Biarpun hidup ini hanya sementara namun di dunia ini, yang sementara itu jugalah segelintiran jadikan bekalan kebahagiaan. Teguklah arak berbotol-botol untuk melupakan perasaan, menyedut asap berkepul-kepul bagi melegakan tekanan dan mengambil dadah berbiji-biji demi membina keyakinan, semua itu tetap bukan kesudahannya jika jati diri tidak mampu mengawal perasaan. Caci dan makilah kerana dendam, kebenaran atau kealpaan kerana caci dan makian itulah yang membawa kejayaan mutlak kepada yang dihamburkan. Laungkanlah apapun sentimen yang bersifat sementara, kesudahannya jangka panjang juga pendidikan yang membawa kepada pengawalan diri.

1st January 2013... the same old me feelin' brand new!

Justeru Taulan...

Nama saya Fakhrul Anour, saya juga manusia biasa seperti kalian yang ada waktunya lalai dalam membuat keputusan. Namun tidak pernah saya gagal untuk tanamkan azam demi merancang menjadi yang lebih maju di masa akan datang. Ada yang berjaya tertunai, ada yang gagal tidak menjadi dan ada yang tertunggak dibawa ke hadapan. Yang penting kita jangan pernah berputus asa, kerana nilai kehidupan walaupun bersifat sementara bukan tanda kita kena melepaskan peluang yang ada selagi jantung berdegup. Menjangkakan waktunya kita akan mati dan dunia bakal kiamat, itu semua kerja Tuhan dan kita sebagai hamba-Nya hanya perlu menyemai dan menuai di bumi ini mengikut keupayaan serta kemahiran yang dianugerahkan kepada kita. Jangan dibazirkan benih-benih bakat yang ada, kerana dalam banyak limpahan itu pasti terselit jika tidak lebih sekurangnya satu yang bakal  menyinar membentuk segala kebenaran dan tidak mustahil mengajak kepada segala kebaikan; dalam cahaya keimanan melakar riang di kesenian duniawi. Oleh itu teruslah berazam, jika tidak untuk diri kita mungkin untuk generasi yang bakal datang dalam mengimpikan perkara sama yang kita pernah ada. Persiapkan bendang untuk mereka menyambung tradisi kita menyemai dan menuai dalam mengusahakan bakat yang kita tinggalkan. Industri Komik Malaysia tetap impian saya untuk menyemai dan menuai azam yang ada. Semoga usaha akan terus dihargai bersama... insha-Allah. ^_^

SELAMAT TAHUN BARU 2013... Industri Komik Malaysia!!!

***************
 To my yesterdays,

careful with your ego
he's the one that we should blame
had to grab my heart back
God knows something had to change
I thought that you'd be happy
I found the one thing I need
why you mad?
it's just a brand new kinda me
    
'Brand New Me' original by Alicia Keys (Girl On Fire) | music by The10thCloud

No comments: