Menurut kalendar Islam, saya sudah pun berusia 38 tahun pada 14hb. Disember 2012 (1 Safar 1434) yang lalu. Kerana ikut perhitungan sebenar (menurut arwah emak), saya dilahirkan pada hari Khamis (13hb. Februari 1975) di waktu Maghrib (1 Safar 1395) dan diraikan pada keesokan harinya setiap tahun iaitu hari ini, 14hb. Februari 2013. Namun tidak kiralah semalam atau hari ini tarikh kelahiran saya, menjelang malam semalam dan hari ini memberi kelebihan usia saya pada hari selanjutnya.
Ya, begitulah usia kita yang akan terus berlanjut sehingga ajal menjemput tanpa mengira waktu dan usia. Selagi hidup dapat melayut ke tua, bersyukurlah dipanjangkan usia kita untuk terus menabur bakti dan usaha di mukabumi ini. Sudah hampir 4 dekad saya melayari hidup, sudah menikmati segala bagai rasa dan segala macam perhubungan. Melihat diri meninggalkan dan ditinggalkan, yang lain terpisah dan diceraikan. Sudah merasa indahnya meraih impian dan perit jatuhnya tanpa perasaan. Sudah melepasi benteng ujian menghadapi kematian ibu yang tercinta dengan sabar dan tabah. Meredhai pemergian bapa tanpa setitis pun rasa dendam dan kecewa. Semua pengalaman itu memberi saya keyakinan tidak berbelah bagi bahawa Yang Maha Esa punya aturan yang pasti buat hidup kita. Jalani ia tanpa ada rasa paksa, nikmati setiap anugerah yang ada sebaik menjaga hati kita.
Soal peribadi itu rahsia saya, tujuan saya hanya pada karier dan masa
depan keluarga yang berkait rapat dalam membantu kemajuan saya. Esok
belum tentu menjanjikan bahagia dan hari ini belum tentu kecewa, namun
semalam tetap panduan berguna baik buruknya.
Bagi saya mencecah usia 38 tahun tidak banyak menguja perasaan saya kecuali tahun 2013 bakal menjanjikan yang terbaik buat permulaan baru saya di dalam Industri Komik Malaysia. Tidak dinafikan saya sedang menyaksikan anak-anak muda mengorak langkah mereka untuk mencorak industri ini agar lebih terbina. Saya berharap mereka tidak mudah melatah dengan kekecewaan dan saya akan masih terus bersaing bersama mereka.
Sebenarnya memang semenjak kecil dalam mengatur hidup, saya berdoa untuk mencapai usia 40 (insha-Allah... ) dengan permulaan hidup yang lebih bermakna dengan bakat yang saya ada. Justeru, 2 tahun sebelum mencecah ke usia itu adalah tempoh saya kena berusaha sehabis baik bagi melunaskan impian seterusnya. Tiada yang mudah dalam menimba usaha, apatah lagi menggapai impian. Namun saya pernah lakukannya dan berjaya, kini saya ingin lakukan lagi agar lebih berjaya. Cuma lainnya kali ini, ramai sudah kenal siapa saya dan jika saya gagal pasti malu besar maka saya harus tabah menerima apa jua sindiran apatah lagi kasihan dalam rasa penuh kesyukuran pada ujian-Nya. Namun jika berjaya, saya harus sentiasa beringat pada diri untuk sentiasa memanjatkan kesyukuran kepada Yang Maha Berkuasa dan menjaga harta pada zakatnya.
Tiada permulaan usia yang sempurna untuk berjaya dengan usaha, jatuh bangun boleh berlaku pada bila-bila masa. Selagi ada nyawa dan tenaga masih berlipat ganda, saya tidak mahu mempersia-siakan apa yang Tuhan berikan kepada saya hanya kerana terpaksa mengikut norma sosial setempat. Perubahan harus ada lebih-lebih lagi dalam mengukur usia pada usaha. Oleh itu, percayalah kepada yang sedang membaca bahawa saya tetap saya...
"Menimba ilmu itu sangat penting untuk merancang pengalaman hidup yang lebih berguna. Mencari pengalaman tanpa menimba ilmu seolah menggali tanah di dasar laut, silap lemas tanah tertimbus masa depan pun kabut."
Punya bakat namun jika tidak diuruskan dengan betul samada oleh diri sendiri mahupun mereka yang boleh dipercayai, tetap terkubur juga bakat itu. Maka kerana itu saya tidak mahu tamak dengan bakat yang saya ada. Asal mampu ia terjaga oleh saya dan mereka yang saya boleh percaya, insha-Allah akan saya cuba usahakan mana terdaya agar ia mampu menjamin masa depan saya dan membuka peluang pada yang lainnya.
Akhir kata, jangan mudah berprasangka pada usia berbanding paras rupa, kerana terus-terang saya tidak mudah terhakis dengan sindiran apatah lagi cemuhan, dan tidak mudah terpikat pada pujian. Saya pernah menjadi anak muda yang ingin berjaya dalam apa yang saya cita dengan bersaing bersama mereka yang lebih dewasa dan berjaya dalam industri yang sama. Hari ini anak muda harus tegar untuk berjaya dengan bersaing bersama mereka yang lebih dewasa kerana fokus kita harus ke hadapan. Semoga kita mencecah usia yang lebih bermakna pada usaha yang kekal berjaya.
"Binalah keyakinan dengan sopan diri dan santun bahasa, biar nampak lemah tapi gagah berdikari. Jangan bina keyakinan dengan lagak sombong dan bangga diri, walau nampak gagah tapi lemah kendiri."
1 comment:
UItttt =)
Post a Comment