"It's only through writing that I've ever been able to suppress life's personal disappointments. When I can't write I feel anxious and out of sorts and am easily riled, though I'm usually able to control my emotions..."
- Pramoedya Ananta Toer (The Mute's Soliloquy: A Memoir)
["Hanya dengan menulis aku mampu menekan segala kekecewaan peribadi hidup. Bila aku tidak menulis, aku merasa cemas & tidak keruan serta mudah gusar, walau selalunya aku bisa mengawal emosiku..."]

Friday, January 3, 2014

SELAMAT TAHUN BARU 2014

Sibuk menghadapi semestar akhir dalam pengajian MBA di UIA, menjadikan waktu sangat terhad di sepanjang tahun 2013 (terutamanya semenjak Mei lalu) untuk berkongsi semua hal tentang karier dan kehidupan. Apapun sekarang semestar akhir sudah pun berlalu dan hari ini sementara menunggu keputusan keluar, adalah waktu untuk bercerita sedikit tentang perkembangan diri sendiri. 

Sebelum menyambung pengajian ke MBA, sesudah melepaskan jawatan sebagai editor majalah GEMPAK™, saya ada dua judul novel ringan dalam pembikinan untuk Gempak Starz™. Sehingga kini saya masih lagi mencari masa yang sesuai untuk menyiapkannya memandangkan ia sudah di peringkat selesai. 

1) THE FISHES - adaptasi daripada komik cinta terhangat oleh Ben
2) JUMAAT 13 - Koleksi cerpen seram saya yang pernah diterbitkan dalam majalah GEMPAK™


Kemudian diikuti pula dengan dua judul komik kolaborasi yang mengadaptasi skrip tulisan Igniz. Ia masih lagi dalam perancangan untuk penerbitan yang bagaimana, namun yang pasti saya berazam untuk menjadikan ini sebagai satu kenyataan, insha-Allah. Memandangkan skrip sudah lengkap 100%, maka untuk menjadikan ia sebagai sebuah karya komik bukan lagi mustahil. Cuma saya memerlukan jadual dan peruntukan yang sesuai untuk mengabdikan diri menyiapkannya.

1) Saving Echidna


Seterusnya di peringkat awal ketika menyambung pengajian ke peringkat MBA pada Mei 2012, saya sudah berjaya menyiapkan 9 judul komik 8 mukasurat daripada 10 yang saya cadangkan. Hampir semua sudah pun diterbitkan dalam majalah GEMPAK™. Walaupun hasrat ingin menyiapkan 20 judul sehingga Julai 2012, apakan daya perjuangan MBA memerlukan lebih tumpuan buat sementara waktu. Maklumlah, tiada latar-belakang sebagai pelajar jurusan perniagaan, mempelajari sesuatu yang baru benar-benar memperuntukkan lebih masa untuk memahami.  
    

Justeru menghadapi ambang 2014, saya susunkan 10 lagi judul komik 8 mukasurat (termasuk satu judul yang tertunggak di tahun 2012), untuk saya usahakan bersungguh-sungguh setelah tamat pengajian. Diikuti dengan 14 lagi judul sebelum berakhir 2014 bagi penerbitan dalam majalah GEMPAK™ untuk Siri Maskeret Cinta.      


Dalam masa yang sama, saya juga menyelitkan sebuah lagi karya yang dihasilkan oleh Jack Tribal (salah seorang penulis GEMPAK™) berjudul SILIGIA. Ia mengandungi 7 episod di mana setiap episod melibatkan 16 atau 24 mukasurat. Masih di peringkat lakaran, projek ini dicipta khusus untuk penerbitan di Gempak Starz™ (masih diperingkat cadangan kepada lembaga pengarah) dan insha-Allah akan dilaksanakan sekali dengan komik-komik untuk Siri Maskeret Cinta. 


Akhir sekali bagi jadual kerja 2014 ialah projek istimewa saya berjudul 'PUTERA MALAR' yang bakal diterbitkan dalam 8 episod dimana setiap episod melibatkan 24 mukasurat di mana setiap satu adalah kesinambungan yang seterusnya. Projek ini bukan sahaja berharap dapat mewarnai industri tempatan, saya juga berhasrat ia dapat menembusi pasaran luar negara. 

 Dalam jadual ini terselit sebuah lagi judul yang saya gunakan di waktu terluang untuk habiskan proses inking, iaitu komik 24 mukasurat berjudul 'MAM' yang pernah saya siapkan penciling ketika 24 Hours Comic pada tahun 2013. Ke mana karya ini akan pergi, kita lihat saja nanti.


Untuk peringkat seterusnya (selepas 2014) ialah tumpuan saya kepada mana-mana projek yang berbaki dan projek komik 'VAMP'.


Semoga tahun 2014 menjadikan kita manusia yang lebih berusaha memantapkan diri dalam apa jua bidang kerjaya yang kita ceburi. Dengan kelulusan akademik dan bakat yang kita perolehi, semoga ia bukan sahaja dapat memberi jaminan keyakinan dalam diri kita mengharungi hidup yang lebih mencabar, malah meningkatkan kendiri agar lebih gigih. Paling penting, kita perlu yakin dengan perancangan kita. Jadi atau tidak, itu kita serahkan kepada Allah s.w.t., yang penting jangan kita abaikan usaha kita walau dalam apa jua cabaran yang bakal menduga. 

All the best! ^__^

No comments: