"It's only through writing that I've ever been able to suppress life's personal disappointments. When I can't write I feel anxious and out of sorts and am easily riled, though I'm usually able to control my emotions..."
- Pramoedya Ananta Toer (The Mute's Soliloquy: A Memoir)
["Hanya dengan menulis aku mampu menekan segala kekecewaan peribadi hidup. Bila aku tidak menulis, aku merasa cemas & tidak keruan serta mudah gusar, walau selalunya aku bisa mengawal emosiku..."]

Sunday, January 16, 2011

HATI ADA CINTA (BHG. 01)

Melihat ke dalam matanya, Cinta mengerti itu Ada di dalam hatinya. Cinta tahu kerana dia amat kenal hatinya sendiri. Jika tidak, manakan mungkin selepas renungan itu saat mereka mahu berpisah lama, Cinta terus berlari mencari tempat sunyi untuk menangis. Malah cara Ada membalas renungan itu terbukti bahawa ada Cinta di dalam hatinya juga.

Namun sehingga kini Cinta tidak dapat meluahkan perasaannya kerana Fitnah masih memburu dirinya. Fitnah mahu memilikinya walau dalam apa cara sekalipun. Jika tidak dengan cara baik, Fitnah akan cuba mendapatkannya dengan cara khurafat. Jika tidak berjaya dengan khurafat, Fitnah akan menggunakan kepakarannya iaitu... fitnah! Kerana buat insan seperti Fitnah, mengenggam sebuah keagungan bermakna itulah Cinta.

Walhal, Cinta bukanlah sebuah keagungan, kerana yang agung adalah pada yang mencintai untuk mencipta sebuah keagungan. Cinta hanyalah manusia biasa yang menapak dalam usahanya mencari sebuah kejayaan. Dengan hanya sebuah kejayaan itu, ia dilihat sebagai keagungan bagi orang lain... tanggapan yang Cinta hanya perlu redha dan memuji kepada Yang Esa.

Dulu Cinta pernah dicintai Kamu, namun kerana Fitnah, harapan terus dicintai musnah dalam sekelip mata. Belum pun sempat bermulanya purnama yang ketiga, ia berakhir. Malah sehingga kini Cinta masih tidak faham mengapa Kamu begitu mudah melafazkan kata putus dalam sekelip mata sedangkan rasa itu begitu indah. Pengorbanan begitu kental! Tanpa curiga, Cinta pasti itu angkara Fitnah...

Malah Cinta juga pernah sekian lama mencintai Dia dalam diam yang zahir hanya dianggap sahabat. Namun ingin meluah yang tersirat di batin akhirnya terkubur, ia berakhir di malam Purnama Biru apabila minda Dia sudah dikucupi kata-kata Fitnah. Dia melemparkan segala yang dusta kepada Cinta. Mujurlah di saat itu sudah Ada mengisi ruang hati Cinta. Sekurang-kurangnya rasa itu meredhakan kekecewaan yang terdalam kepada Dia yang lama dikasihi dan kini terpaksa dipinggiri... demi melunaskan Fitnah.

Ketika Ada membina taman dalam hati Cinta, kekuatan baru muncul dalam diri. Cinta berazam untuk mengubah nasib diri. Dia tidak mahu lari lagi. Cinta mahu mengubah nasibnya bagi memastikan kelak Ada bahagia bersama Cinta tanpa Fitnah lagi! Namun Ada masih belum tahu itu semua. Ada cuma tahu Cinta tidak memperdulikannya...