"It's only through writing that I've ever been able to suppress life's personal disappointments. When I can't write I feel anxious and out of sorts and am easily riled, though I'm usually able to control my emotions..."
- Pramoedya Ananta Toer (The Mute's Soliloquy: A Memoir)
["Hanya dengan menulis aku mampu menekan segala kekecewaan peribadi hidup. Bila aku tidak menulis, aku merasa cemas & tidak keruan serta mudah gusar, walau selalunya aku bisa mengawal emosiku..."]

Friday, June 24, 2011

NILAI DIRI DALAM SETAHUN

Genap setahun tetapi rasa bagaikan 10 tahun, itulah yang saya harapkan selepas meletak jawatan utama di sidang editorial Gempak Starz™ pada 14hb. April 2010 & berakhir 14hb. Jun 2010. 

Bermula Jun 2000, 10 tahun berusaha dalam Industri Komik Malaysia, saya telah diangkat ke satu level yang cukup tinggi selain menjadi antara yang terbaik di Gempak Starz™.

Namun dalam tempoh 10 tahun itu juga, segalanya saya kompaskan dengan akal & kotakan dengan hati—setiap peluang yang diberi walaupun berat hati saya untuk menerimanya, tetap dipikul kerana akal saya membolehkan ia mampu. Setiap konflik yang datang melanda sepanjang bergelar 'somebody' di dalam industri, saya tangani dengan akal walau hati merintih minta dibebaskan. Namun siapa yang tahu itu semua, kerana mereka saya bahagiakan dengan senyuman & keriangan saya selalu. Kalau saya marah kerana tugas, saya tersenyum juga kerana tugas malah diam juga kerana tugas.

Akhirnya bila saya membuat keputusan berkompaskan hati & dikotakan dengan akal untuk meletak jawatan, ada yang menyindir bahawa saya mementingkan diri sendiri & ada pula yang bertanggapan saya terlebih emosional selepas arwah ibu saya meninggal. Apapun bila keputusan saya sudah berkompaskan hati, ia tetap hak saya & lantaklah apa orang hendak kata.

Akal saya sudah tidak kuasa untuk serabut fikir apa orang lain kata, yang penting FAKHRUL ANOUR ABDULLAH adalah salah satu nama yang bukan asing di dalam Industri Komik Malaysia. Impian saya semenjak kecil untuk menjadi sebahagian daripada keluarga penggiat industri tersebut sudah tercapai, bukan sekadar bakat melukis komik saya dihargai malah suara saya juga turut didengari, secara profesional. Apalagi yang boleh saya katakan kecuali bersyukur ke hadrat Ilahi kerana sedaif-daif insan seperti saya tetap Dia peduli, asalkan kita manusia tahu menghargai.

Tidak dinafikan sepanjang bergiat dalam industri, secara peribadi saya banyak berkawan dengan orang yang suka melemparkan kata-kata gurauan yang kasar memperli. Manakala secara profesional, saya berkenalan dengan ramai orang yang suka memberi kata-kata membina diri. Kedua-duanya telah memberi keseimbangan yang baik buat keperibadian diri sepanjang tempoh saya berkhidmat dalam industri. 


Baiklah, 10 tahun dalam industri sudah menjadi sejarah buat saya & bermula Jun 2010, saya ingin merasai satu kebebasan yang pasti dengan menjadi The Unconditional (Si Tanpa Syarat). Jika 10 tahun saya memegang prinsip buat industri, usai itu saya mulai memegang prinsip untuk diri saya sendiri. Saya beri tempoh setahun untuk menjadi The Unconditional & kini tempoh itu hampir luput. Kini saya dalam keterujaan untuk kembali seperti 10 tahun sudah di dalam industri, insya-Allah, lebih baik semestinya.  

Kesimpulannya, setahun yang baru pergi saya gunakan sebaiknya demi muhasabah diri. Ia tidak memerlukan kemewahan, kesenangan mahupun keselesaan, kerana untuk muhasabah diri, kita perlu merasai yang payah, yang getir & mesti dengan usaha sendiri!
Setahun sudah beransur pergi, yang buruk sudahku tepis ke tepi, yang baik akan kekal dihargai, yang setia menanti akan mulaiku hampiri & yang pasti... aku tetap di sini untuk segalanya berulang kembali.
Setahun itu banyak saya rancangkan, ada yang jadi & ada yang tidak, malah ada rancangan yang masih boleh menjadi. Dalam setahun itu juga banyak takdir telah berlaku yang mengubah rancangan-rancangan tersebut hingga kesudahannya... saya di sini menulis pengakuan ini.


Jika dipandang ke belakang, baru setahun rupanya. Dalam setahun itu sudah banyak juga komik yang saya buat berbanding sepanjang bergelar editor dahulu. Malah sudah banyak idea, pesanan & juga perkongsian kreatif telah saya juadahkan di laman Facebook, Wordpress serta blog ini. Kalaulah esok saya mati, tidak menyesal kerana saya masih menyumbangkan kreativiti (menulis & melukis) dalam setahun ini, terima kasih internet.

"Tapi masalahnya apa yang kau buat setahun ni takder hasil pun. Tak buat duit banyak mana pun!" Ada teman menyuarakan. Saya tidak perlu menjawab kerana dihitung setahun itu hingga ke hari ini, saya masih cukup makan, selesa tempat tidur & masih ada tawaran kerja untuk saya sudahkan, mungkin juga untuk saya abaikan. Juga mungkinkah dia tidak terfikir, apa yang telah saya lakukan sepanjang setahun ini mengekalkan prestasi saya dalam industri? Yang penting, saya masih di sini.

Lagipun teman yang bersuara itu, apalah sangat duit dalam poket kalau setiap kali gaji habis tengah bulan, hujung bulan ternganga namun masih belum ada harta untuk diwarisi sesiapa. Setakat berkepuk duit dalam poket untuk bermewah, menambahkan kalori & bermandikan barangan berjenama, trust me... I've did better to bare the worse!

Pernahkah kita mampu tersenyum bila sesen pun tiada dalam poket? Masih tersenyum menyelesaikan hutang? Saya yakin ramai golongan sederhana di kota yang akan murung. Berbanding saya, insya-Allah sudah terlatih untuk tidak malu berjalan kaki 10 KM balik rumah sendirian, sebab duit kehabisan di poket atau berperah otak untuk melangsaikan bil-bil bulanan? Trust me, I'm more durable than meet the eyes.


Dalam setahun ini juga saya seperti makhluk berperasaan yang lain, sedang merasa pancaroba bercinta yang benar-benar sakit tetapi sangat memberangsangkan jiwa hingga membuatkan saya insaf.
Bila cuba menafikannya, semangatku bagai ditarik pergi. Tetapi bila mengakuinya, semangatku berkobar-kobar menggila! 
Namun kalau hendak dihitung perasaan & cinta ini, sampai bilapun tidak akan pergi. Kerana saya sudah berjanji selepas ini, hidup saya mahu berkompaskan hati & dikotakan akal. Maka apa pun keputusan; siapa pun dia, si kecil atau si tua, binatang atau manusia, adam atau hawa, kalau itulah pembakar semangat hidup saya yang Allah kurniakan di hati ini, saya terima seadanya sesuai dengan sifatnya.
Setiap yang pergi pasti akan kembali, setiap yang hilang pasti akan berganti... yang patah pula pasti akan tumbuh lagi!
Oh ya! Tidak lupa ingin saya ingatkan, banyak juga buku telah saya baca dalam setahun ini & menjadikan diri saya lebih berpengalaman—duit boleh dicari, tetapi hati & perasaan kita... wallahualam. 

Justeru kepada yang membaca ini, nasihat saya janganlah abaikan hati anda, kerana itulah kompas kita sebenarnya & jangan takut mengakui kehendaknya. Jika tidak, akal akan kehilangan arah membuat keputusan bagi memberi kita kebahagiaan yang sejati. Jauh atau dekat pun kita, dengar kata hati & seimbangkan dengan akal. 

Bila akal jadi kompas, pastikan hati jadi nakhodanya... 
ketika ini kebahagiaan sendiri terpaksa diabaikan dengan menumpang kebahagiaan orang lain.

Bila hati jadi kompas, pastikan akal jadi nakhodanya...
ketika ini kebahagiaan sendiri tidak diabaikan malah menumpangkan kebahagiaan orang lain.

Akhir kata, hidup ini terlampau singkat untuk kita melupakan yang asas tentang diri kita secara emosional mahupun profesional. Semua orang boleh mengejar kekayaan, namun tidak semua kekayaan itu bererti kejayaan. Erti sebenar kejayaan bukanlah dinilai pada wang ringgit, tetapi pencapaian. Dengan pencapaian itulah akan datangnya kekayaan & ia berlaku bagaikan magnet; tolaklah semahunya, tertolak yang satu pasti ada yang lain datang melekat hingga kita benar-benar menolak rezeki... bila itu semua hak Allah s.w.t. 

Wasalam... ^_^

No comments: