"It's only through writing that I've ever been able to suppress life's personal disappointments. When I can't write I feel anxious and out of sorts and am easily riled, though I'm usually able to control my emotions..."
- Pramoedya Ananta Toer (The Mute's Soliloquy: A Memoir)
["Hanya dengan menulis aku mampu menekan segala kekecewaan peribadi hidup. Bila aku tidak menulis, aku merasa cemas & tidak keruan serta mudah gusar, walau selalunya aku bisa mengawal emosiku..."]

Monday, December 13, 2010

SAYA, AMNESIA &.... HIGASHI NO EDEN

Semenjak mengalami PTA, Post-Traumatic Amnesia (retrograde) pada 7hb. Mei 1996, saya tidak pernah lekang dengan buku nota/diari bagi mencatat sebarang pengalaman, luahan atau episod penting dalam hidup saya. Malah saya cukup bersyukur kerana ketika saya disahkan PTA, tanpa lengah saya telah menulis warkah sendiri juga catatan peribadi bagaimana ia berlaku. Sehingga ke hari ini dan di saat ini, ia masih tersimpan kemas di dalam diari yang mengisi tampalan-tampalan surat daripada sahabat-sahabat lama saya termasuklah cinta pertama saya.

Ketika itu saya hanya mampu ingat keluarga terdekat (arwah ibu saya), lagu-lagu kegemaran, orang-orang ternama, ilmu yang telah saya timba (termasuk ilmu agama) dan sudah tentulah diri saya. Namun saya tidak mampu mengingati jadual seharian dan juga teman-teman sekuliah.

Tetapi PTA menjadikan saya seratus peratus seperti seseorang yang baru bangkit segar tanpa sebarang masalah, berkeyakinan tinggi. Cuma masalah saya ketika itu ialah untuk mengingat semula dan sebagai seorang pelajar, keutamaan saya untuk mengingat semula ialah subjek yang saya pelajari, bukan masalah peribadi! Sebarang kekeliruan telah jauh saya tinggalkan ke belakang... kalau boleh tidak perlu ingat memori lama.

Walau bagaimana pun, PTA telah membina personaliti baru dalam diri saya. Seseorang pernah menyebut bahawa dia cukup terkilan, kerana saya kini bukan lagi saya yang dulu, soleh dan cantik perawakan. Sungguh saya tidak ingat semua itu! Hari demi hari, bulan demi bulan, tahun demi tahun, memori lama sedikit demi sedikit pulih, namun seperkara yang tidak pernah pulih...

PERASAAN SEJATI KETIKA MENIKMATI MEMORI-MEMORI ITU.

Seorang sahabat merasakan kejamnya saya memutuskan cinta pertama saya pada tahun 2004 atas alasan dia mungkin akan membunuh saya. Ini kerana di saat merujuk kembali kepadanya, saya hanya berbekalkan memori namun tidak perasaan sejati, sebaliknya perasaan yang cuba dipupuk berdasarkan memori lama.

Ketika kenduri tahlil arwah emak saya, seorang makcik merasa terkilan melihat saya begitu tenang menerima kematian itu. Kerana ingat saya kepada arwah ibu ketika PTA lebih sebagai seorang ibu kandung dan setiap kenangan yang terpamir sedikit demi sedikit seolah mimpi yang sedarnya tanpa perasaan sejati. Di hari kematiannya, saya bersedih dengan sejarah hidup arwah susah payah membesarkan saya tanpa sokongan suami. Namun pulang ke rumah arwah dan menggamit setiap memori, jelas saya ingat semuanya dan meruntun hati saya bahawa kami sangat rapat dan mesra sehingga PTA hadir...

Kesimpulannya, PTA menjadikan saya insan baru yang mengutip semula memori-memori lama dan cuba menghayati setiap detik dengan penuh perasaan. Seolah membaca/menonton fiksyen yang berjiwa, begitulah perasaan saya menerima memori-memori lama. Kenangannya ada namun rasanya tiada...

Justeru itulah kekuatan saya menggapai apa yang saya cita tanpa peduli perasaan sesiapa, kerana bagi saya ketika itu, cinta hanyalah mainan jiwa yang indah dititipkan ke dalam fiksyen. Dengan menganalisa sejarah diri saya sebelum PTA, saya ingin mengubah persepsi manusia terhadap cinta. Memori-memori lama banyak membantu idea saya ditambah dengan pengalaman-pengalaman baru dan sekeliling.

Namun Allah Maha Kuasa, saya dianugerahkan kembali dengan perasaan yang pernah membina diri saya, soleh dan cantik perawakan, insya-Allah. Seperti dulunya yang hanya mampu saya rasai seperti fiksyen, ia kini kembali dan benar-benar saya nikmati...

Agak lambat untuk saya telusi, seperti PTA, keliru dengan keajaiban itu. Namun menerimanya baru-baru ini telah memperbaiki keperibadian diri saya tanpa paksa. Terima kasih buat memori lama, yang baru kini lebih bermakna dan lebih gagah untuk saya terima.

Seperti kisah yang tergamit dalam siri OVA 'Higashi no Eden'... adakalanya keperitan atau kekesalan yang lalu membuatkan kita ingin lupa dan bangkit sebagai orang baru. Saya begitu juga... asalkan masih ada yang percaya setelah melihat jauh ke dalam mata saya, bahawa hati saya sama sepertinya... tanpa perlu diberitahu.

Namun mungkin satu yang tidak pernah berubah buat mental saya... Bipolar Disorder.


P/S: Semoga setiap catatan ini, sebelum dan selepasnya bakal menjadi rujukan jika terjadinya semula PTA.

No comments: