"It's only through writing that I've ever been able to suppress life's personal disappointments. When I can't write I feel anxious and out of sorts and am easily riled, though I'm usually able to control my emotions..."
- Pramoedya Ananta Toer (The Mute's Soliloquy: A Memoir)
["Hanya dengan menulis aku mampu menekan segala kekecewaan peribadi hidup. Bila aku tidak menulis, aku merasa cemas & tidak keruan serta mudah gusar, walau selalunya aku bisa mengawal emosiku..."]

Monday, July 28, 2014

Salam Aidilfitri '1435; I Love You... Allah'

Sepanjang Ramadhan kali ini umat Islam seluruh dunia diuji bukan dengan lapar dan dahaga, tetapi nilai kemanusiaan yang semakin merosot hari demi hari. Umat manusia tidak kira bangsa dan agama pula diduga dengan cabaran ekonomi yang melibatkan kerakusan kuasa-kuasa besar dengan muslihat yang dahsyat sekali! Di darat, kita diwartakan dengan kemalangan jalanraya yang semakin menjadi-jadi dan melibatkan kenderaan harga beribu ringgit hingga mengakibatkan kematian. Manakala di udara, dalam setahun kita dikhabarkan dengan lebih 5 buat pesawat harga berjutaan mendapat kecelakaan. Dalam bulan Ramadhan ini sahaja 3 nahas kapal terbang dilaporkan yang membawa kematian sekaligus sekelompok penumpang. Itu belum ditambah lagi dengan mangsa bunuh, samada bunuh diri atau dibunuh. Terfikirkah mengapa ini semua berlaku? Bagaimana nilai kemanusiaan boleh merosot begitu drastik sekali tatkala kemewahan semakin berlumba-lumba menunjukkan belangnya?

Pada saya, Syawal ini ialah Eid Mubarak yang menuju kepada kiamat, jika tidak Perang Dunia Ketiga kelak. Serangan Israel ke atas Gaza kali ini mungkin seperti serangan-serangan sebelumnya, tetapi muslihat tidak lagi dapat di tutup. Jelas bertebaran di laman sesawang suara rakyat Israel melaungkan hasrat membasmi puak Arab, membunuh kaum-kaum lemah di Palestin dan dalam jelajah menguasai Timur Tengah. CNN dan BBC tidak lagi dapat menutup pekung fabrikasi berita-berita mereka yang dikongkong oleh kuasa sekutu Israel yakni Amerika Syarikat. Syria dan Mesir jelas mempunyai nilai kompromi dengan kerajaan Israel secara halus, manakala negara-negara jiran Timur Tengah yang lain hanya pandai bermain sepanduk menyokong Palestin tetapi tidak berbuat apa-apa kecuali membebel. Bila bercakap soal PBB pula, ia seolah sudah tidak lagi berfungsi.

Tidak dinafikan rakyat Palestin adalah mangsa keadaan, dan mungkin sudah ditakdirkan Ilahi mereka adalah insan terpilih di dalam kesengsaraan ini... jiwa-jiwa pemaaf yang akhirnya dipijak-pijak oleh jiwa-jiwa pendendam. Perjuangan Hamas dan Al-Qassam saat ini memang seharusnya dipuji kerana akhirnya tampil lebih berani mempertahankan tanahair sendiri walau sepatutnya semangat sedemikian sudah diwujudkan sejak awal Palestin lagi, sebelum kanser Israel menguasai seluruh badan negara.

Namun apakan daya, ramai yang sudah lama tahu strategi Israel menguasai umat manusia tetapi lebih ramai yang termakan oleh kebangkitan ekonomi dengan janji kemewahan gaya dan pangkat. Tidak kira bangsa dan agama, kita sudah begitu dekat dengan resam berkereta sendiri itu lebih dipandang berbanding menaiki pengangkutan awam. Terbang ke luar negara itu membuktikan kita bukan lagi katak di bawah tempurung, lebih hebat berbanding ulat buku.

Biarlah ekonomi dibelit oleh kuasa Israel, asalkan ia tidak merundum di peringkat dunia. Walaupun di hadapan mata kita kanak-kanak menjadi mangsa kerakusan AIPAC dengan bergelimpangan daging dan segala isi perut mereka di tanah Gaza, Syria dan Mesir. Menambahkan lagi keseronokan rakyat Israel melihat waris-waris Arab (yang menggunakan bahasa Al-Quran) satu demi satu tidak berkembang, manakala yang hidup dijerat satu persatu dengan keuntungan duniawi (serangan nafsu... kelemahan manusia!).

Apabila dikhabarkan dengan hujan berlimpahan di Ka'abah, ramai diantara kita melihat ia suatu rahmat, kerana ia jarang sekali berlaku. Tetapi tidak pula di antara kita merasa bimbang ia mungkin petanda untuk kita segera bangkit dan sedar. Kenapa? Kerana kita berada di kawasan yang tidak bergolak, beribadah dengan rasa sejuk kuyup di simbahan air hujan. Selamat dari serangan puak pelampau maka kita mengandaikan kitalah yang istimewa dan dilindungi manakala beribu yang mati dibedil dan dicincang itu sudah nasib mereka. Ya! Kerana kita belum lagi merasa kemalangan ngeri itu, dan kesengsaraan peperangan yang dimaksudkan.


Tidak dinafikan di Syawal ini saya bersyukur dapat meraikan kemenangan saya berpuasa di bulan Ramadhan tanpa dilanda sebarang kecelakaan yang teruk seperti mereka. Bumi Malaysia masih aman! Tetapi itu bukan bermaksud saya boleh abaikan dan berkata itu hal mereka bukan hal saya. Biarpun semalam saya gembira dapat meraikan malam bermulanya Syawal bersama saudara-mara yang berkesempatan hadir, namun hati ini lebih kepada mereka yang sedang dianiaya oleh muslihat Israel dan sekutu-sekutunya.

Majoriti umat manusia seluruh dunia tahu apa yang berlaku di Gaza, Syria, Mesir, Iraq, Rohingya, Pakistan, Afghanistan dan negara-negara berkemelut seumpamanya adalah tidak berperikemanusiaan, tetapi kebangkitan kita dari negara-negara sedang berkembang maju hanyalah suara dan cadangan. Tindakan belum lagi kerana hampir kesemua ekonomi dunia sudah dijerat Israel, dan untuk melupuskan itu kita kena berani menerima kegawatan global. Tetapi belum ada diantara kita redha untuk melepaskan Porsche, Ferrari, Ford atau mungkin juga Peugeot yang baru dibeli untuk memboikot segala perniagaan yang bekerjasama dengan perusahaan-perusahaan yang melibatkan Israel. Apatah lagi meruntuhkan perusahaan Astro yang membawa pelbagai hiburan ke kaca TV rumah kita! Kerana kita berpendapat tidak salah kerana ia bukan menyumbang secara langsung kepada kuasa zionis itu. Walau kita lupa untuk faham, 5 sen yang diterima Israel jika melibatkan banyak usahasama yang berjaya di seluruh dunia tetap menyumbang berzilion dolar kepada The State of Israel (lebih banyak dari kutipan derma berjuta yang kita beri kepada Palestin).  

Jadi inilah Syawal saya kali ini, tidak begitu ghairah untuk terkinja-kinja dengan cuti yang ada (selain ingin melengkapkan Puasa 6 dengan jayanya. Insha-Allah!). Cukuplah dapat meneruskan hidup ini dengan berkarya dan jika diizinkan Allah untuk menggapai impian membina perusahaan seni sendiri. Perusahaan yang tidak akan sesen pun menyumbang kepada Israel atau sekutu-sekutunya, mahupun secara langsung ataupun tidak langsung!
Beduk berbunyi perahu ke muara,
Mencari juadah hingga ke pekan,
Kemanusiaan kita erti bersaudara,
Salah dan silap harap diampunkan.