Saya tidak dewasa untuk memiliki bakat melukis kartun seperti para kartunis di majalah GILA-GILA, bagaimanapun saya membesar dengan majalah GILA-GILA. Malah kedatangan majalah kartun yang lain sekalipun tidak mampu mengalih kecenderungan saya untuk meminati majalah GILA-GILA. Semuanya kerana ketelitian seni lukisan yang dipamerkan dalam majalah tersebut oleh setiap kartunis dengan lawak yang kena pada watak-wataknya.
Kurator : Badrolhisham M Tahir Tempoh Pameran : 14 April 2015 - 15 July 2015 Kemasukan : Percuma Waktu : 10:00 pagi - 8.00 malam |
Melangkah ke Galeri Petronas pada 16hb. Mac 2015 yang lalu sempena pameran 'LAGI-LAGI GILA-GILA', ia mengimbau kenangan saya bersama majalah ini. Semasa kecil tidaklah mampu saya membeli majalah komik sendiri tetapi saya akan ke rumah jiran saudara untuk membacanya. Sebab di situlah saya suka lepak membaca segala macam majalah komik awal 80-an termasuklah GILA-GILA.
Bila membaca majalah ini, payah untuk kita tidak berkenal rapat dengan karakter-karakter yang dipamerkan. Setiap satu punya cerita dan identiti tersendiri. Malah setiap watak tidak berganjak dari sifat tersendiri yang berbeza dari watak-watak lain dalam majalah yang sama. Ini membuatkan kita sebagai pembaca merasakan berbaloi memiliki sebuah majalah komik dengan kepelbagaian yang senang dibezakan. Dalam satu majalah, ia membawa kita kepada satu pengalaman kepada satu pengalaman yang lain tentang manusia dan kehidupan berunsurkan lawak.
Bercakap tentang seni komik, kecendurangan saya kepada majalah GILA-GILA banyak tertumpu kepada skil mendakwat dan mewarna para artisnya. Dari kulit majalah hinggalah ke isi, setiap karya membuatkan saya terpesona dengan ketekunan kerja yang dipamerkan. Tiada istilah cincai dalam setiap karya masing-masing, semuanya dilakukan dengan ertikata kesenian walaupun ia untuk sebuah majalah lawak. Tiada garis dengan ketebalan sumbang dan tiada pewarnaan yang tercalit kotor hingga sesat warna. Semuanya tampak sempurna!
Justeru melalui pameran ini, akhirnya saya dapat melihat sendiri karya
asli mereka dan terbuktilah kerja mereka memang kerja orang seni. Sangat
teliti, kemas dan bijak mengadunkan warna biar kena pada
penceritaannya. Kerana ketika majalah ini sedang hangat di pasaran bukanlah zaman teknologi pengkomputeran yang maju, di mana semua mudah dilakukan dengan perisian-perisian grafik. Zaman GILA-GILA adalah zaman ketika semua kerja dilakukan secara manual; pen dan kertas, berus dan warna. Malah teks dalam bebelon dialog dan judul pun ditaip, dicetak dan ditampal atas lukisan itu sendiri. Pendedahan yang sangat eksklusif di pameran ini!
Di pameran itu sendiri saya dapat menghayati sedalam-dalamnya seni lukisan komik yang tinggi dengan keaslian bau kertas ditatah dakwat dan warna. Biar sudah berabad lamanya ia disimpan, keaslian masih pekat untuk dihargai oleh generasi baru.
Bukan sedikit pengalaman rakyat Malaysia dengan GILA-GILA, terlalu banyak dan nostalgianya terlalu dalam. Mungkin saya bukanlah seorang pengumpul tetapi sebagai seorang peminat komik dan karyawan komik sendiri, majalah GILA-GILA merintis ilham majalah kartun yang bukan setakat menghiburkan malah membolehkan kita menghargai seni dan mesej yang cuba disampaikan.
Saya sendiri tidak cenderung kepada lawak semata-mata kerana saya sukakan pendekatan yang lebih berisi tidak kira dalam apa genre pun. Majalah GILA-GILA mengisi keperluan itu dari semua aspek kehidupan warga tempatan di Malaysia. Ia tidak cenderung untuk sekadar mengikuti isu semasa, tetapi juga membangkitkan perlakuan manusia di semua sudut yang segan untuk kita ungkit tetapi GILA-GILA ada kaedah untuk menyampaikannya.
Saya sendiri tidak cenderung kepada lawak semata-mata kerana saya sukakan pendekatan yang lebih berisi tidak kira dalam apa genre pun. Majalah GILA-GILA mengisi keperluan itu dari semua aspek kehidupan warga tempatan di Malaysia. Ia tidak cenderung untuk sekadar mengikuti isu semasa, tetapi juga membangkitkan perlakuan manusia di semua sudut yang segan untuk kita ungkit tetapi GILA-GILA ada kaedah untuk menyampaikannya.
Menghadiri forum terbuka pada hari yang sama bersama tiga kartunis paling berpengalaman di majalah GILA-GILA iaitu Tuan Hj Zainal Buang Hussein, Tuan Saadon Ishak (Don) dan Tuan Tazidi Yusof (Tazidi) memberi saya lebih pengertian akan usaha mereka. Tuan Hj Zainal Buang Hussein adalah kartunis paling lama bergiat diikuti dengan Tuan Saadon Ishak dan kemudian Tuan Tazidi Yusof. Bila mendengar mereka berkongsi pengalaman cara kerja bertungkus-lumus untuk majalah GILA-GILA saling tidak tumpah seperti usaha saya dan pasukan majalah GEMPAK™ dahulu. Semuanya tentang peruntukan masa yang terhad dan pengisian yang sesuai dengan keadaan. Dan paling perlu diberi keutamaan, walaupun kerja kena siap cepat namun hasil kerja mesti mantap!
Saya mengaku tidak ingat semua nama kartunis yang pernah bergiat untuk majalah GILA-GILA kecuali beberapa orang yang masih berusaha sehingga kini seperti Tuan Jaafar Taib (pengasas Creative Enterprise Sdn. Bhd.) dan yang hadir ketika forum tersebut, namun saya yakin ramai diantara kartunis-kartunis yang dikenali sekarang terinspirasi dengan kewibawaan mereka melalui GILA-GILA. Malah semua lapisan masyarakat tidak kira bangsa, pekerjaan dan kepercayaan juga ramai yang biasa dengan majalah GILA-GILA dari generasi ia mula diterbitkan sehinggalah ke generasi hari ini.
Bagi saya, jika kita ingin menjadikan melukis dan menulis ini sebagai kerjaya hidup kita, biarlah ia dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Jangan kerana ia sekadar sebuah karya kartun, kita sewenang-wenangnya mengenepikan nilai kesenian dalam melukis. Kelebihan seorang kartunis kepada saya ialah identiti mereka dalam menghasilkan sebuah karya yang cepat tetapi mantap! Maksud saya mantap itu ialah gaya bercerita menjadi dengan watak selamba kartun yang dilukis. Lukisan dan penulis seiring bergaya dengan kesenian yang tidak sengaja kita puji kerana kasihan, tetapi memang betul-betul kita puji kerana ia tiada kesumbangan selain keindahan.
Terima kasih saya ucapkan kepada semua para kartunis di majalah GILA-GILA kerana banyak memberi inspirasi, ilham dan keterujaan saya dalam menjadi artis komik. Terima kasih juga kepada kesenian mereka yang ikhlas, yang bukan sekadar untuk mencari keuntungan wang ringgit tetapi juga kepuasan diri dan pembaca khususnya. Terima kasih juga kepada Badrolhisam M Tahir dan Galeri Petronas atas pameran ini. Jika tidak ada pameran ini, sampai bila-bila pun saya tidak akan dapat melihat ketelitian kerja dan usaha berlipat-ganda mereka untuk menghasilkan yang terbaik sebagai sebuah majalah humor.
No comments:
Post a Comment