"It's only through writing that I've ever been able to suppress life's personal disappointments. When I can't write I feel anxious and out of sorts and am easily riled, though I'm usually able to control my emotions..."
- Pramoedya Ananta Toer (The Mute's Soliloquy: A Memoir)
["Hanya dengan menulis aku mampu menekan segala kekecewaan peribadi hidup. Bila aku tidak menulis, aku merasa cemas & tidak keruan serta mudah gusar, walau selalunya aku bisa mengawal emosiku..."]

Thursday, July 22, 2010

INDUSTRI KOMIK MALAYSIA: 10 TAHUN PENGABDIAN EDITOR


Hari ini sudah lebih sebulan saya meninggalkan karier profesional sebagai salah seorang penyunting terunggul Industri Komik Malaysia di GEMPAK STARZ™ untuk majalah UTOPIA™ konsep baru yang bermula pada tahun 2009 dan semestinya nadi terulung saya, GEMPAK™. Namun begitu, selepas 10 tahun berkecimpung dalam arena komik ini masih ramai yang keliru dengan tanggung jawab sebenar saya terutamanya pengikut setia (kipas-susah-mati) GEMPAK™ sebagai seorang penyunting (editor). Malah tidak saya nafikan mereka juga kurang pasti bagaimana kapasiti kerja sebagai seorang ketua penyunting.

Kerjaya saya secara rasmi bermula di BRG Art Square Sdn. Bhd. pada 20hb. Jun 2000 sebagai pembantu penyunting untuk Majalah Komik Generasi Baru, GEMPAK™. Beberapa bulan kemudian syarikat penerbitan mula melangkah maju sebagai syarikat penerbitan komik dan bertukar taraf sebagai Art Square Creation Sdn. Bhd. yang berlokasi di Bandar Tasik Selatan, KL. Tidak lama kemudian saya mengambil langkah berani menerajui sendiri majalah GEMPAK™ selepas kedua-dua bekas editor saya, Kit dan Toopai memilih langkah baru masing-masing. Dengan prinsip 'alah bisa tegal biasa' dan 'berpantang mundur sebelum berjuang', saya menangkis sebarang kemusykilan diri dan berani melakukan pembaharuan.

Ketika saya memegang peranan sebagai editor, tiada siapa yang begitu yakin dengan kebolehan saya. Bagi saya itu adalah perkara lumrah memandangkan keperibadian saya sebagai graduan sains dari Universiti Teknologi Mara/UiTM. Justeru cakap-cakap sinis akan mungkin ketidakmampuan saya menjadi pembakar semangat untuk saya buktikan mereka salah. Dengan dua majalah dalam tanggung jawab, GEMPAK™ dan UTOPIA™, saya gagahkan diri untuk fokuskan yang terbaik.

Meneruskan tanggung jawab bagi mengekalkan sesuatu yang sudah terbaik di pasaran bukanlah mudah. Saat saya dipilih untuk meneruskan legasi GEMPAK™, bimbingan dan sokongan rakan-rakan sekerja serta kata-kata perangsang bekas editor saya (Kit dan Toopai) sangat dihargai. Perkongsian kreativiti daripada Mr. Botak (Terrence Choi) & keyakinan mentaliti daripada Shazabi (Chris Yew) banyak membantu saya memahami konsep produk penerbitan. Daripada situ, secara semulajadi saya membina formula baru untuk memastikan majalah GEMPAK™ kekal di pasaran biarpun mungkin nilai pasaran berubah.

Keseragaman teks
Sebelum saya menerajui sendiri majalah GEMPAK™, seperkara yang saya fahami ialah setiap penerbitan komik (terutamanya majalah humor) gemar menggunakan bahasa pasar. Justeru majalah GEMPAK™ tidak ketinggalan. Namun ketika itu ia langsung tidak dipantau dengan baik dan menjadi isu bahasa paling kritikal di Malaysia.

Dengan majalah GEMPAK™, saya menjadikan ia pelantar untuk saya melakukan perubahan paling asas iaitu memantau keseragaman penggunaan bahasa pasar berbanding rasmi dalam penulisan. Daripada situ saya mulai bina keseragaman lain seperti cara menulis bahasa asing, tajuk serta katanama dalam pembentukan tatabahasa lebih praktikal untuk memastikan pembaca majalah GEMPAK™ terutamanya golongan muda pandai membezakan mana yang rasmi dan sebaliknya.

Daripada sudut moral, ia mampu mendidik pembaca kita memahami kontradik secara dialektik dalam pembacaan. Malah keseragaman ini telah membantu saya menjawab setiap soalan yang diajukan oleh wartawan-wartawan akhbar tentang isu 'perosak bahasa'. Sekurang-kurangnya dengan adanya pemantauan bahasa pasar sedemikian di dalam majalah GEMPAK™, ia membuktikan kepekaan sidang editorial yang saya terajui terajui ketika itu.

Menaiktaraf kualiti industri
Perspektif industri sebelum kewujudan GEMPAK™ masih kelam dengan hala-tuju yang pasti. Namun semasa saya menerajui majalah tersebut, hala tuju dan identitinya memberikan perspektif jelas ia mampu mendidik pembaca tentang industri komik dunia kepada tempatan. Ini sekaligus dapat memberi rangsangan kepada industri untuk bercambah. Justeru penyertaan saya dalam sidang editorialnya adalah untuk menyambung mandat serta mengekalkan hala tuju dan identiti tersebut mengikut peredaran masa berpandukan pandangan dan ideologi sekeliling.

Seiringan dengan itu, Industri Komik Malaysia semakin bertambah sihat dengan saingan produk komik baru, penerbit komik baru dan kebanjiran komik-komik cetak rompak terutamanya daripada Jepun yakni manga. Persaingan ini memberi peluang kepada saya memantapkan status dengan berani menyahut dan mengulas setiap saingan melalui kepakaran saya sebagai editor. Majalah GEMPAK™ dijadikan pelantar untuk saya mengekspresikan pengetahuan industri komik dengan cara santai namun berinformasi tinggi.

Bukan satu perkara yang mudah untuk membentuk formula artikel dengan imej tersendiri dengan impak informasi jitu. Namun saya galas tanggungjawab itu dengan keyakinan ia mampu memberi perubahan kepada konsep penyampaian maklumat terutamanya untuk industri komik kita. Sebagai seorang editor sebuah majalah, saya sedar kelebihan saya ialah menjadi pena utama dalam menyampaikan maklumat yang ingin disampaikan daripada pelbagai sumber dengan gaya yang lebih efisyen serta releven buat identiti industri berkaitan.

Memartabatkan Imej Industri
Seperkara yang saya tidak pernah terfikir untuk hadapi saat menyertai bidang suntingan di majalah GEMPAK™ ialah menjadi perwakilan buat industri secara profesional. Mulanya saya hanya melihat diri saya berkhidmat sebagai penyunting serta pelukis komik untuk majalah GEMPAK™. Selebihnya jika ada tetap kekal sebagai itu dan tidak melangkau hingga mewakili Malaysia untuk industri dalam pelbagai program dalam dan luar negara.

Oleh kerana saya memegang prinsip bertanggungjawab dan 'alah bisa, tegal biasa' maka peluang diberi tidak mungkin saya persiakan. Sekurang-kurangnya ia memberi saya lebih pengalaman sekaligus cepat mendewasakan diri dalam industri. Justeru bermula dengan menjadi ahli jawatankuasa PeKartun, wakil Malaysia untuk 'People to People Exchange Programme' dan 'Asean Art Symposium', diikuti sebagai juri tiga tahun berturut-turut 'MSC-MDeC IP Challenge' bagi kategori Komik Digital dan menjadi moderator bagi 'Kre8tif Conference 2009' serta sebagai wakil media untuk pelanggan-pelanggan iklan di dalam serta luar negara, banyak membantu menaikkan nama saya dalam industri setanding dengan nama-nama besar yang lain. Tidak ketinggalan kemunculan saya dalam program-program TV yang melibatkan isu komik tempatan.

Dalam tempoh 10 tahun saya sudah melangkau sedekad kemajuan dalam industri. Bagi saya ia sudah cukup membantu bukan saja diri saya malah juga industri. Mungkin sesetengah pihak berpendapat peranan yang saya mainkan dalam tempoh sedekad itu terlampau kecil, namun bagi saya memadai dengan kemampuan yang diri ini ada.

Industri Cabaran Perniagaan
Diperkecilkan, diperlekehkan mahupun dipersendakan oleh sesetengah pihak tidak pernah menjadi igauan ngeri buat saya untuk terus membuktikan kebolehan diri membantu Industri Komik Malaysia sebagai editor. Anggap saja ia satu cabaran yang seronok kerana ia hanya datang daripada golongan minoriti.

Dalam tempoh 10 tahun saya juga kena bergelut dengan pelbagai isu moral kemanusiaan sebagai seorang editor kepada pekerja, pembaca dan masyarakat amnya. Antara isu-isu tersebut seperti perkauman, hakcipta karya, krisis identiti bakat dan pelbagai lagi yang melibatkan ketahanan psikologi saya untuk sentiasa stabil menanganinya secara profesional dan saksama. Namun setiap sesuatu ada hadnya dan begitu juga saya.

Mungkin tugas saya sebagai penyunting paling lama di GEMPAK STARZ™ sudah berakhir, tetapi saya tidak pernah menganggap penglibatan saya dalam industri turut berakhir. Ramai yang masih keliru dengan kepentingan saya dalam Industri Komik Malaysia ketika memegang tampuk sebagai editor serta kapasiti kerja yang perlu saya lalui. Namun itu bukan hak saya menyuarakan kepentingan diri kerana itu pengiktirafan yang diberikan oleh penggiat dan penggemar industri.

Justeru selepas 10 tahun, saya bukan lagi seorang editor mahupun golongan profesional di bahagian suntingan atau mana-mana perwakilan profesional media bagi Industri Komik Malaysia. Saya kini hanyalah seorang artis komik tempatan yang ingin mencari tapak kukuh dan berhasil sebagai seorang pelukis komik bergelar FAKHRUL ANOUR. Jika ada peluang, saya hanya ingin melakukan yang terbaik, jika tiada, hidup ini masih banyak ruang untuk berdikari...

Wasalam
FAKHRUL ANOUR

26 comments:

Fazl said...

So, lepas ni kena panggil Ayour, Fakhrul Anour la? Hehe...

Fakhrul 'Ayour' Anour said...

Fazl: haha... masih boleh panggil Ayour sebab ia memang nama panggilan Ayour masa sejak zaman kampus lagi. Fakhrul Anour adalah nama penuh & nama pena rasmi. ^_^

Fakhrul 'Ayour' Anour said...
This comment has been removed by the author.
PembunuhSenyap said...

aku minat gempak dari skolah rendah..
tapi xbli dr first isu la..
sampai la beranak pinak ke utopia,hype,comic king, popcorn, elemen n macam2 lagi yg baru kuar aku tgk..skrg dh xbli lg dh..
dengar cite de masalah dalaman..betol ke?

Fakhrul 'Ayour' Anour said...

masalah dalaman? saya skrg dah kerja freelance dgn Gempak Starz jadi taktau apa2 pasal masalah dalaman. tapi mustahillah mana2 syarikat penerbitan takder masalah dalaman, yg penting profesionalisme. ^_^

Ahloi FTW said...

salam.macamana kalau nak jadi pelukis sambilan untuk gempak.saya berminat untuk cuba nasib.kalau nak hantar skrang hantar dekat editor dulu k mcm mana,terima kasih

Fakhrul Anour said...

Salam Ahloi...

nak jadi freelancer, anytime pun boleh. Tapi untuk sertai Gempak Starz™ sebagai freelancer, kena contact editor komik, Slaium dengan menghantar sampel artwork/komik ke e-mel slaium@gempakstarz.com.

Anonymous said...

salam saudara fakhrul anour!!saya ada masalah mengenai prosedur freelance nie.begini,saya ingin tahu adakah emel slaium@gempakstarz.com itu benar?sbb sy dh try hantar berpuluh2 pertanyaan tapi tiada respon.bukan apa,saya tidak tahu menahu utk tumpang terbitkan komik sy di majalah gempakstarz.saya HarimauPutih bary shje bergiat dlm bidang freelance cartoonist.

Anonymous said...

salam saudara,saya freelance cartoonist baru shj bergiat dlm bidang komik.so saya nak tanya bagaimana prosedur menghantar komik ke gempakstarz sebgai freelancer?saya pernah cube hubungi emel tersebut,"slaium" tapi no reply!!!!harap saudara leh terangkan lebih lanjut

Syayon93 said...

salam saudara,saya freelance cartoonist baru shj bergiat dlm bidang komik.so saya nak tanya bagaimana prosedur menghantar komik ke gempakstarz sebgai freelancer?saya pernah cube hubungi emel tersebut,"slaium" tapi no reply!!!!harap saudara leh terangkan lebih lanjut

Fakhrul Anour said...

Salam... berkenaan dengan tindakbalas daripada En. Slaium, saya tidak dapat memberi sebarang komen tentang perkara tersebut kerana ia berada di luar bidang kuasa saya. Mengikut prosedur untuk menjadi artis komik ni ada pelbagai, dan ia berbeza mengikut penerbit. Di Gempak Starz, mungkin sesiapa sahaja boleh menghantar sampel artwork masing-masing tetapi yang terpilih sahaja akan dihubungi. Syor saya jangan berputus asa, teruskan menghantar hasil sampel kerja melalui e-mel. Kerana pada pendapat saya dalam bidang kerja En. Slaium sendiri sebagai Editor Komik, beliau kena melalui beberapa proses ke pihak atasan sebelum meluluskan mana-mana bakat baru untuk diserap ke dalam warga kerja Gempak Starz. Malah disyorkan cuba juga memohon untuk penerbit lain, dan pastikan disertakan sekali dengan sampel kerja. All the best! ^_^

Syayon93 said...

salam saudara!!trimas kerana sudi menjawab pertanyaan saya,ada beberapa soalan sy ingin tnykan pada saudara sekiranya ia tidak menyusahkan saudara.pertama,mengenai sampel kerja di hantar kepada editor slaium melalui emel tersebut mcm saudara katakan sebelum ini..sy ingin tahu adakah diterima diterbitkan atau tidak diterima diterbitkan akan di maklumkan oleh beliau!!?maksud sy di sini,sekurang2nye ada tindak balas daripada beliau agar sy tidak curiga menghantar karya sy.bukan apa,sy tahu karya yg dihantar hny thap amatur2 shja tp mungkin ada ilham untuk beliau ambilkan masukkan dlam karyanye pula.minta maaf kalu saudara tersinggung dgn kata2 sy,cuma ini assumption sy shja sbb sy sentiasa berjaga2..kedua,bgaimana contoh sampel kerja yg betul mengikut prosedur?

Fakhrul Anour said...

salam... tentang keputusan samada dijawab atau tidak tu, saya tidak dapatlah menjawab bagi pihak En. Slaium. Pengalaman kerja selama lebih 10 tahun dengan Gempak Starz™ ni, jika ada sebarang karya yang bakal diterbitkan pasti akan dimaklumkan kepada pengkarya terlebih dahulu untuk urusan bayaran. Yang tidak diterbitkan tu, saya tidak tahulah. Malah sepanjang pembabitan saya dengan Gempak Starz™, jika ada para peserta OK ke KO yang berbakat akan dihubungi. Malah tentang mengambil ilham tu, setahu saya En. Slaium memang dah lama tak melukis, malah baru-baru ni saya berjumpa beliau pun mengaku dah lama tak melukis sejak menjawat jawatan sebagai editor komik. Tentang kami artis-artis komik lain, memang tak pernah dikongsikan dengan ilham mana-mana bakat lain. Kami memang hasilkan ilham sendiri, malah untuk kami bersua pun jarang sekali, kecuali masa acara2 yang dianjurkan oleh penerbit jer baru berjumpa.

Tentang prosedur kerja tu, seperti membuat komik yang lainlah. Tetapi saiz minimum karya mestilah bersaiz A4 atau lebih. Kurang daripada tu tak diterima. Pastu skil lukisan mestilah lain daripada yang lain, yang mampu membawa identiti tersendiri pelukisnya. Kerja pun mesti kemas dan nampak sesuai untuk penerbitan. Penilaian selebihnya bergantung kepada editor komik juga. ^_^

Ana Husna Indah said...

Assalammualaikum,
Saya nak tanya bagaimana saya nak menjadi pelukis di Art Square,wahai tuan editor?

Ana Husna Indah said...

Bagaimana saya nak menjadi pelukis di Art Square...Apa yg diperlukan

Fakhrul Anour said...

Wa'alaikum'salam Ana Husna Indah,

seperti yang pernah saya lalui sebelum ni, untuk menjadi pelukis di Art Square kenalah pandai mencari peluang. Samada mengenal pasti siapa yang bertanggungjawab dalam menguruskan hal-ehwal komik di situ (boleh semak di ruangan Celoteh majalah Gempak) atau mungkin membuat temujanji atau menghubungi pihak yang berkenaan di pejabat tersebut. Sekarang pihak yang bertanggungjawab adalah Slaium & saya kurang arif penilaian beliau dalam memilih pelukis. Boleh cuba hubungi beliau. Selamat mencuba! ^_^

Ana Husna Indah said...

Trimas...tapi macam mana nak hubungi dia

Ana Husna Indah said...

Ada emel or no.tel Slaium

Ana Husna Indah said...

Ada emel or no.fon Slaium

Fakhrul Anour said...

e-mail: slaium@gempakstarz.com
no. tel pejabat: 0390561637 (speak to Slaium)

Anonymous said...

Assalamualaikum..saya merupakan pelajar yg baru sahaja tamat spm..saya nk jadi freelancer untuk gempakstarz or komik-m..nak tanya ,boleh tak saya hantar proposal komik melalui pos? dan kalau boleh, saya nak mintak alamat pejabat gempakstarz sekali. Thanks.

Fakhrul Anour said...

Wa'alaikummussalam... boleh melalui pos. alamat boleh dapatkan di ruangan Celoteh dalam majalah GEMPAK & semua novel2 grafik keluaran Gempak Starz.

asyraf hakim said...

salam nak tanye kenapa utopia stop keluar nya??

HaNna said...

assalamualaikum, saya merupakan pelajar jurusan sains UPSI, untuk thesis saya, saya nak buat komik sains untuk pelajar tingkatan 1, bole kah minta pendapat saudara tentang komik saya? email saya: hannasam417@gmail.com

Fakhrul Anour said...

Wa'alaikummussalam, HaNna... ya boleh. E-mail: fakhrulanour@gmail.com ^_^

Fakhrul Anour said...

Salam Asyraf Hakim,

Saya sendiri kurang pasti, sebab selepas saya meletakkan jawatan sebagai editor berakhir Jun 2010 untuk menyambung pengajian MBA di IIUM, saya tidak lagi mengetahui sebarang isu dalaman termasuk tamatnya penerbitan majalah UTOPIA. Tetapi lazimnya berhentinya keluaran sesuatu produk itu ada beberapa kemungkinan, antaranya sambutan pasaran, isu edaran, kekurangan kemahiran/tenaga kerja, isu sumber manuia atau peralihan kos. Wallahu a'alam... ^_^