"It's only through writing that I've ever been able to suppress life's personal disappointments. When I can't write I feel anxious and out of sorts and am easily riled, though I'm usually able to control my emotions..."
- Pramoedya Ananta Toer (The Mute's Soliloquy: A Memoir)
["Hanya dengan menulis aku mampu menekan segala kekecewaan peribadi hidup. Bila aku tidak menulis, aku merasa cemas & tidak keruan serta mudah gusar, walau selalunya aku bisa mengawal emosiku..."]

Friday, December 24, 2021

'HANYA... CINTA': Ilham Disebalik Kisah

常夏の国で、君と



Sumber ilham setiap karyawan komik untuk berkarya seharusnya tidak sulit lagi; tidak seperti di zaman ketika radio, TV & internet masih belum berkembang pesat. Iaitu zaman di mana karyawan perlu mengembara & mengalami sendiri untuk mencetuskan ilhamnya berkarya. Hari ini selain dari lambakan penerbitan bercetak yang boleh dibaca seperti novel & majalah, segala maklumat boleh didapati secara digital di internet bagi dijadikan bahan inspirasi untuk berkarya. Lagi² di zaman manusia kini maju dengan telefon pintar, segala maklumat boleh dicari termasuklah info tentang geografi, psikologi & patologi. Apa yang perlu ialah kreativiti setiap karyawan untuk mencetuskan ilham dari sumber² tersebut & olahkan agar menjadi karya tersendiri. Lagipun setiap makhluk di dunia ini jalan cerita masing² hampir sama, yang berbeza hanya watak & waktu. Kerana itulah bagi saya hari ini jika ada kesulitan untuk memulaikan sesuatu karya bukan tentang mencari ilham, tetapi bagaimana mentafsirkan sesuatu kisah itu dengan olahan atau gubahan cerita saya yang tersendiri... jawapannya "bakat & kreativiti"

Kunci Hati Cinta
Tidak semua yang bercinta itu senang berdamping sebagai pasangan kekasih dengan menunjuk-nunjuk kepada orang lain, tidak sebelum waktunya. Biarlah nampak seperti berkawan biasa dan rapat seperti sahabat, namun di dalam hati berbunga cinta. Namun di antara mereka berdua perlu ada bukti saling mencinta.

Embun Ketika Senja
'Embun Ketika Senja' adalah puisi yang tercipta untuk menyindir kebohongan rasa. Ia menyindir pencinta yang cuba memikat insan yang dicintai tanpa rasa keikhlasan. Memandangkan embun hanya hadir di waktu pagi, maka embun ketika senja ialah pencinta yang sia².

Pantai Berlabuh Sepi
Pantai tempat manusia bersidai menikmati keindahan jika tidak waktunya dilanda badai. Manusia senang bermimpi dan berangan di tepi pantai. Namun pantai juga pemisah antara laut dan darat, seperti hidup dan juga mati. Justeru sepertinya pantai berlabuh sepi yang tetap indah mendayu hati, cinta tidak akan pernah mati walaupun bila jasad terpisah pergi.

Bos Mencintaimu
Kisah ini dihasilkan pada tahun 2012 yang terinspirasi dari filem 'The Proposal' (2009) lakonan Sandra Bullock dan Ryan Reynolds. Tetapi bagaimana saya tidak suka kisah cinta cikgu/pensyarah dengan anak muridnya, begitu juga saya tidak suka hubungan cinta yang terjalin antara rakan sekerja terutama pekerja dan majikannya. Justeru saya terfikirkan ilham yang sesuai untuk apa yang mungkin saya tidak suka tetapi orang lain suka? Maka bagilah peluang majikan bercinta dengan (bekas) pekerjanya! Haha~ 

Pinang Tidak Berkacip
Cerita ini sebenarnya membawa maksud yang mudah, sudah dipinang dan diikat sebagai tunang tetapi kena sabar menunggu sampai bila tidak tahu. Kesudahan kisah sebenarnya sudah memberi gambaran ada yang tidak sempat menunggu. Moral cerita jangan ditangguhkan kalau sudah pasti, bimbang nanti bakal terkilan?

Cinta April
Apabila kemahsyuran tidak akan dapat mengubah perasaan cinta seseorang pada cinta pertamanya walau dilamar menjadi suri hidup insan yang berada. Terinspirasi dengan percintaan selebriti seperti Jon Bon Jovi, Bono, Ron Howard, LL Cool J, Snoop Dogg & LeBron James namun ini dari sudut kisah seorang perempuan, artis komik yang berjaya.

Merpati Terbang Rendah
Kisah ini sekadar bermain-main dengan perasaan cemburu. Memperdayakan pasangan yang bercinta dengan mainan cemburu. Sebuah cerita klisé perangai manusia² yang bercinta dalam ego bercinta yang sering digambarkan di kalangan remaja. 'merpati terbang rendah' berkias pada maksud menundukkan ego si pencinta dengan godaan cemburu.

Cinta Kita
Kisah klisé yang dipengaruhi oleh drama bertemakan antara dua darjat; yang kaya bercinta dengan yang miskin, orang kota mencintai orang kampung. Namun untuk komik cerpen ini, saya sengaja menolak konflik yang mengada-ngada seperti perbezaan kasta & hanya mahukan kesudahan yang baik.

Cinta Tanpa Suara
Cerita cinta orang kebanyakan dalam masyarakat setempat yang tidak memilih & tidak juga memaksa. Apabila jodoh sudah mulai dirasa dalam mimpi & nyata. Apa yang perlu kesefahaman menuju apa yang dicita juga dicinta. 

Rejam Bunga
Salah seorang saudara menyatakan apabila seseorang itu mempunyai daya pemikat hingga membuatkan orang jatuh cinta untuk berlaku sihir, dia seumpama 'rejam bunga'. Dari situ terpancar idea menyebut sebuah kisah kahwin paksa di kampung sendiri oleh desakan keluarga akibat ugutan sihir jika lamaran ditolak. 

Bintang Permata Hati
 Bisnes menjual bakat selebriti ini adalah satu kempen terancang untuk memikat peminat demi populariti. Selalu perancangnya adalah pengurus para selebriti itu; ini tidak boleh, itu tidak boleh demi mengelak konflik pasaran. Namun apabila cinta berputik antara selebriti maka mereka perlu bijak mengatasinya?

Cinta Sakti
Andaikan jodoh cinta itu punya kesaktian tersendiri untuk menemukan pasangan yang sanggup menunggu kerana percaya kepada naluri hati? Ia seperti kisah dongeng apabila dua hati terus setia menyendiri hingga bertemu si dia yang benar² pasti. Masih berpegang pada prinsip 'jodoh perlu dicari' tetapi kepada jodoh yang sudah tahu saling mencari antara satu sama lain.

Dalam Cinta Ini
Saya ada sebuah beg tanpa jenama yang sangat tahan lasak. Dalam banyak beg yang saya ada, hanya beg itu walau sudah lebih 10 tahun dipakai namun tidak pernah putus talinya biarpun diisi buku² yang berat. Semasa sering memakainya ke kuliah (MBA di UIA), saya terfikirkan idea andaikan daya tahan beg itu seperti cinta seorang sahabat yang kita tidak sedar juga mencintainya? Maka terhasillah kisah ini.

Di Pinggir Kali
Kali bukan sahaja bererti kata pembilang atau kata darab, tetapi ia juga bermaksud sungai, jangkaan atau masa. Justeru dari situ saya terinspirasi untuk mengambarkan kisah cinta di pinggir sungai yang terus mengalir pada pembilangan usia, pendaraban rasa, perjangkaan setia dan peralihan waktu. Kiasan pada watak bunian & manusia yang saling mencintai.

Warkah Cinta
Membayangkan jika alpa kemodenan tidak memadam jiwa manusia pada nilai kesenian sastera yang suka berpantun dalam meluahkan isi hati. Tidak perlu membuktikan cinta dengan berpelukan mesra hingga menggadai harga diri pada tuntutan nafsu, cukup jarak didekatkan dengan titipan warkah saling berbalas pantun puitis.

C.I.N.T.A
Dongeng cinta kebanyakan drama Korea, anak orang kaya membuktikan cintanya dengan melabur duit pada satu perniagaan demi mendekat kepada yang dicinta. Jika sebelum ini saya pernah menulis novel ringan 'Kaoru's Cake House: 143', dengan 143 itu bermaksud 'I Love You'. Dalam cerita ini saya tukar jadi 354, 'Aku Cinta Kamu'. Sempoi!

'Hanya... Cinta' dalam kenangan...


2 comments:

Anonymous said...

Your work will always be beautiful.
SJM

Fakhrul Anour said...

Alhamdulillah... trimas, SJM. ^_^