"It's only through writing that I've ever been able to suppress life's personal disappointments. When I can't write I feel anxious and out of sorts and am easily riled, though I'm usually able to control my emotions..."
- Pramoedya Ananta Toer (The Mute's Soliloquy: A Memoir)
["Hanya dengan menulis aku mampu menekan segala kekecewaan peribadi hidup. Bila aku tidak menulis, aku merasa cemas & tidak keruan serta mudah gusar, walau selalunya aku bisa mengawal emosiku..."]

Friday, February 12, 2010

12 M/SURAT KOMIK - 'KAYANGAN DEWIKU'

November 2009 lalu saya begitu bersemangat untuk menyudahkan karya ini bagi membuka tirai tahun 2010, namun tidak seperti yang dirancang ia tertangguh buat seketika. Namun ia masih menjadi karya yang bakal membuka tirai karya-karya komik saya seterusnya untuk disiarkan di dalam majalah keluaran GEMPAK STARZ™. Disamping sedang menyiapkan novel ringan seterusnya, moga tahun ini bakal menjadi tahun produktif saya dalam menghasilkan karya-karya komik pendek untuk dsiarkan dalam majalah. Insya-Allah... ^_^

"Kisah adik-beradik yatim-piatu yang saling berjanji untuk bersiap sedia menghadapi kematian salah seorang daripada mereka. Kedua-duanya sangat berbakat dalam seni muzik dan dengan seni ini mereka mahu mewasiatkan bibit-bibit nada yang terindah untuk terus menjadi nadi keyakinan kepada yang masih hidup. Kematian tidak tahu bila bakal menjemput namun yang dikhuatiri, adakah persediaan itu mampu memberi ketabahan kepada insan yang tinggal sebatang kara untuk meneruskan perjuangan seni mereka? Apatah lagi disaat dia sedang menjulang kejayaan atas nada-nada yang diwasiatkan... "





Ia diterbitkan dalam majalah GEMPAK™ isu 252 (15hb. Mei 2010). Dapatkannya ya! ^_^

Friday, February 5, 2010

GEMPAK™ DENGAN KEYAKINAN BARU

Menjadi Ketua Editor, salah satu tugas saya ialah memantau kualiti majalah tersebut selepas ia diterbitkan sebagai pemantauan berskala bagi menjamin kestabilan isi kandungan selaras dengan konsep reka letaknya. Jika dulu sebagai editor, saya menikmati kepuasan menyumbangkan isi kandungan bersama Team Editorial namun kali ini saya boleh merasai kepuasan sebagai pembaca; menikmati isi kandungan selepas ia diterbitkan. Justeru hari ini saya mulakan dengan majalah paling baru tiba di meja saya, GEMPAK™ isu 246 dan hasilnya cukup membanggakan saya.

Sudah masuk 12 tahun majalah GEMPAK™ mewarnai persada Industri Komik Malaysia sejak ia mula diterbitkan pada tahun 1998 & hampir 10 tahun saya berkhidmat untuknya. Hari ini selepas lebih sebulan kita menjelalah ke tahun 2010, saya akhirnya berpeluang melihat mutu majalah tersebut dari kaca mata kipas-susah-mati sebagai pembaca melalui GEMPAK™ isu 246, keluaran khas Valentine (15hb. Februari 2010).


Hanya jauhari yang mengenal manikam kerana hanya yang pernah bertugas dalam Team Editorial di bawah seliaan saya sahaja yang tahu formula yang saya terapkan dalam gaya penulisan serta konsep penyuntingan. Ini termasuklah beberapa syarat-syarat asas wajib jurnalisme dalam menjaga hak subjek seperti tanda hakcipta, tanda dagang serta kawalan penggunaan bahasa pasar. Menjadikan penerapan ini gaya hidup penulis bukan mudah kerana masing-masing ingin tonjolkan kreativiti sendiri demi membuktikan mungkin cara mereka lebih baik daripada saya. Keyakinan yang bagus namun lazimnya ingin membuktikan sesuatu tidak berlangsung mudah di depan mata saya kerana apa yang telah saya buktikan hari ini tidak berlangsung mudah di depan mata majikan terutamanya Mr. Botak. Adakalanya sesuatu perkara itu memerlukan bertahun untuk dibuktikan dan selepas itu ada banyak lagi perkara yang perlu dibuktikan. Maka begitulah dilema yang dihadapi Team Editorial terkini GEMPAK™. Semestinya cabaran paling getir adalah buat editor barunya, Fey yang dulu selesa dengan gayanya tersendiri sebagai editor majalah STARZ™.

Prinsip saya tidak pernah berubah sejak kecil, insya-Allah setiap yang saya kerjakan perlu dengan rela hati dan berbaloi untuk jangka masa panjang. Justeru saya tidak pernah malu untuk belajar apatah lagi ditegur tidak kira apa pun pangkat mereka. Namun tatkala saya sudah membuktikan sesuatu, tegas saya katakan tiada siapa boleh menghapuskan bukti itu dan terpulang kepada mereka untuk menerima atau tidak.

Tahun 2009 jelas menguji kebolehan saya memanfaatkan amanat Mr. Botak memberi konsep baru kepada majalah UTOPIA™ melalui perspektif yang dia inginkan. Walhal ketika itu jadual kerja saya sudah berlapis dengan tugas menstabilkan Team Editorial baru majalah GEMPAK™ serta bahagian novel ringan.

Saya jenis positif dan melihat beban kerja ini sebagai tapak pengukuhan karier bagi merealisasikan matlamat saya selepas 10 tahun di sini. Biarpun matlamat itu rasanya tidak akan menjadi namun Alhamdulillah, saat Dia menurunkan bebanan ujian paling getir dalam hidup ini menghadapi hari-hari terakhir bonda tercinta, kedua-dua Team Editorial GEMPAK STARZ™ (UTOPIA™ & GEMPAK™) sudah saya yakini kemampuan masing-masing. Malah melihatkan cara kerja Ka-Mail (editor UTOPIA™) dan Fey (GEMPAK™), saya yakin mereka akan mengambil peluang untuk membuktikan kewibawaan masing-masing sepanjang ketiadaan saya.

Saya yang dulunya payah melepaskan kolum Games Waves kepada sesiapa, kini boleh tersenyum puas; isi kandungan GEMPAK™ isu 246 mengekalkan formula penulisan saya dengan kemas sekali. Sudah tentu ucapan tahniah harus diberi kepada Fey, editor majalah GEMPAK™ yang baru sah ditabalkan sekaligus meneruskan legasi 'tamparan wanita' selepas Toopai dan Kit. Namun segulung tahniah juga perlu di beri kepada para penulis yang memiliki bakat natural sebagai penulis GEMPAK™; Kero, Joi, Harry & Igniz. Biarpun setiap daripada seorang dengan perangai masing-masing, namun kualiti kerja mereka mengingatkan saya kepada diri sendiri masa mula-mula sertai GEMPAK™. Cuma yang berbeza, mampukah mereka terus bertahan dalam cabaran dunia penulisan di GEMPAK STARZ™? Saya sentiasa yakin kepada para penulis saya, namun datang dan perginya mereka dalam bimbingan saya bukan hak saya untuk dipaksa.

Walau bagaimanapun, syabas kepada Tema Editorial GEMPAK™ dan terus tingkatkan prestasi anda. Ingat! Hanya jiwa yang jujur, ikhlas dan kuat semangat berkhidmat mampu mendidik anda terus ingin membuktikan yang terbaik kerana dalam hidup berkarier, itulah yang paling sukar dilakukan tetapi saya sudah buktikan, maka anda juga boleh. Saya akan terus membimbing GEMPAK™ kerana keseronokan saya sebagai kipas-susah-mati di tahun 2010 baru sahaja bermula. Yok mara!