Comic Arts Festival Kuala Lumpur (CAFKL) yang dianjurkan oleh Sequential Arts Youth Society (SAYS) adalah satu lagi alternatif di Malaysia selain Comic Fiesta buat para penggiat komik tidak kira peminat mahupun karyawan berkumpul dan berkongsi minat. Di CAFKL, tiada ada perbezaan darjat mahupun perkauman, apatah lagi perbalahan ideologi bangsa dan budaya. Kerana di CAFKL, matlamat utama yang saya nampak di sini ialah semua genre komik tidak kira bahasa dan gaya layak diperdagangkan kepada pengunjung.
Mungkin ruang yang disediakan di CAFKL tidak segah Comic Fiesta yang boleh menampung hingga berpuluh ribu pengunjung, namun CAFKL saya lihat sebagai satu lagi pelantar hebat untuk tujuan perdagangan dalam industri komik tempatan. Malah dengan program berilmiah seperti PANEL dan ART DEMONSTRATION yang diselitkan dalam acara ini, menjadikan CAFKL bukan sekadar tempat kita mencari kepelbagaian komik tetapi juga sumber pengetahuan untuk tahu lebih dekat tentang Animasi, Komik dan Mainan (AKM).
Kali ini CAFKL tidak dianjurkan di Annexe Gallery, sebaliknya di Level
4, Menara PGRM. Lokasinya agak terpencil dan ruang pameran juga
kelihatan mendatar tidak seperti di Annexe Gallery yang bermain dengan
sudut. Walaupun passport masuk kini bernilai RM12 (berbanding
RM10 semasa pertama kali saya ke CAFKL), namun begitu semangat
kemeriahan di CAFKL masih kekal sama. Bagi saya cukup bertuah dapat
melabur RM12 kepada SAYS untuk sertai CAFKL walaupun sebagai
pengunjung, sedangkan peserta lain yang berdagang di sini melabur hingga
RM100 setiap gerai untuk memastikan industri komik kita terus berdaya
saing dan maju. Syabas buat mereka!
Istimewanya di CAFKL ini ialah saya dapat lihat para karyawan komik yang
paling dikenali kepada yang langsung tidak dikenali, namun bakat seni
masing-masing hampir sama rata kehebatannya. Ada juga bakat seni komik
yang kurang menarik perhatian saya untuk berbelanja, namun saya kagum
dengan usaha mereka untuk memperbaiki kelemahan dan berdaya saing.
Maklumlah, kita sebagai manusia punya citarasa
masing-masing dan begitulah juga saya. Jika ada sesetengah menilai
pasaran melalui permintaan usia, saya lebih suka memilih pasaran
berdasarkan kualiti kerja dan sesuai untuk semua lapisan usia. Yang penting kena
pandai promosi dan jangan kedekut mempamerkan bakat kepada orang ramai.
Kerana ada orang sedang tersenyum bahagia hanya sekadar menatap hasil
seni anda, dan jangan peduli kepada yang sedang menjeling dengki.
Di CAFKL bukan sekadar komik sahaja diperdagangkan, tetapi juga segala
barangan lain yang berbaur komik seperti
poster, poskad, rantai kunci, kemeja T, peralatan melukis, hasil fotografi kreatif dan
seumpamanya.
Namun apa yang paling membanggakan saya ialah kesungguhan
para pengusaha komik ini untuk berdagang sendiri hasil kerja masing-masing dan
beramah mesra dengan pengguna. Ia menjadi satu teras inisiatif bagi para usahawan komik mendidik diri sebagai peniaga dan melebarkan pengaruh kerja,
tidak banyak walaupun sedikit tetap berguna kerana pengalaman itu
mengajar kita lebih berusaha.
Saya ingin lihat SAYS membawa CAFKL lebih jauh pada konsep yang sama tetapi dengan kapasiti yang lebih luas. Mungkin sebagai permulaan, kita masih melihat CAFKL sebagai satu aktiviti indie namun lambat laun ia harus melalui proses matang ke ruang yang lebih mainstream; mencabar, bersaing dan komersil. Kerana jika kita ingin melihat industri komik kita maju seiring Amerika Syarikat, Jepun, Korea dan China/Taiwan, tiada jalan lain selain pendedahan kepada majoriti berbanding minoriti. Membuka minda bukan sahaja yang sudah minat komik, tetapi juga kepada yang belum meminati komik.
Memang berat membawa perniagaan kita ke kapasiti yang lebih luas, kerana akan lebih banyak pemantauan yang perlu dilakukan dalam organisasi untuk perkembangan industri. Namun lebih baik membina kemajuan daripada terus terkongkong dalam tempurung kefahaman sendiri yang bertakuk di lekuk yang sama. Tidak salah menerima cabaran luar untuk kita lebih bersemangat bangkit membina cabaran sendiri, daripada menutup segala tingkap dan pintu berkurung di dalam rumah untuk melihat apa yang sudah lama tidak pernah ada barunya.
Syabas saya ucapkan kepada SAYS dengan penganjuran CAFKL dan tahniah kepada semua karyawan yang melibatkan diri dengan acara ini, tidak kira dari mana pun anda. Semoga anda bakal menjadi masa depan Industri Komik Malaysia yang lebih cemerlang, dalam perniagaan seni komik yang lebih menguntungkan dengan kepelbagaian yang menyihatkan moral dan kreativiti rakyat Malaysia.