"It's only through writing that I've ever been able to suppress life's personal disappointments. When I can't write I feel anxious and out of sorts and am easily riled, though I'm usually able to control my emotions..."
- Pramoedya Ananta Toer (The Mute's Soliloquy: A Memoir)
["Hanya dengan menulis aku mampu menekan segala kekecewaan peribadi hidup. Bila aku tidak menulis, aku merasa cemas & tidak keruan serta mudah gusar, walau selalunya aku bisa mengawal emosiku..."]

Wednesday, March 21, 2012

CINTA BIPOLAR

Dia bilang aku penderita...
Menolak takdir yang datang bahagia,
Meminggir cinta yang hadir sempurna,
Membatu perasaanku padamu yang seringkali ada.

Lisa termangu di ruang tamu, melontar renungan keluar jendela melihat langit senja yang kian memudar. Perut semakin terasa membara. Segala pergerakan dirasakan bagai tidak selesa. Lalu segera itu dia memejamkan mata dan membayangkan Amar datang kepadanya. 

"Sayang, awak rindukan saya tak?" Wajah tampan Amar menghampiri wajahnya. 

"Sangat rindu... " Balas Lisa dengan penuh rasa kecintaan. 

Senyuman dan kemesraan Amar membuatkan Lisa sedar betapa dia amat mencintai lelaki ini. Tiada apa yang mampu membuatkan dia lebih sihat kecuali Amar. Acapkali bersama Amar biarpun dalam mimpi, segala kesakitannya hilang tidak semena-mena. Dia membayangkan mereka bersama riang ketawa meredah denai menjaring rama-rama, seiring meniti jambatan melihat sungai mengalir dan bermain buaian sambil berbual tentang dunia. Adakalanya mereka bertengkar juga, namun itu semua membuatkan mereka lebih mesra.

"Allah hu akbar! Allah hu akbar!"

Segera itu mata Lisa terbuka. Tersedar dari lamunan. Maghrib memanggilnya solat. Dalam kepayahan derita sakitnya yang menyucuk-nyucuk perut, digagahkan juga diri menunaikan kewajipan kepada Ilahi. Namun selesai solat, berat untuk dia terus gagah berzikir di tikar sejadah, lalu mengesotkan diri ke sofa dan menatap keluar jendela lagi. Di luar sana, hari sudah gelap. 

Dia buat aku derita...
Menolak aku takdir yang berbahagia,
Meminggir cinta sempurnaku kepadanya,
Membatu kepada cairnya perasaanku yang ada.

Lisa menyesal kerana menolak kehadiran cinta Amar beberapa tahun yang lalu. Bukan dia tidak mahukan Amar, sangat mahu. Namun pemikirannya tidak seperti insan lain. Dia sentiasa mampu membuat konklusi sebelum melaluinya. Baginya, untuk setiap perhubungan pasti terarah kepada perpisahan. 

Kerana itu pemikiran Lisa, maka tidak dinafikan setiap perpisahan yang dilalui pasti dihadapinya dengan tenang. Apatah lagi kematian insan yang paling dicintainya dalam hidup. Kerana Lisa tahu, itu hakikat kehidupan. Namun Lisa juga keliru mengapa saat perginya insan tercinta, hadir cinta baru di hatinya? Adakah ini tanda kebahagiaan baru bermula buatnya atau ujian lagi?

"Kita semua melalui banyak perpisahan, Lisa. Saya juga. Namun itu tidak bermakna kita harus berhenti memberi peluang." Kata Amar suatu ketika dahulu. 

Teringatkan kata-kata Amar itu, menitis air mata Lisa di saat ini. Sedikit membenamkan sakit di perutnya. Namun itu tidak langsung menyihatkannya terus. Pedih masih terus menyucuk di ulu perutnya. 

"Ya Tuhan... aku mohon ampun kerana telah melalaikan kurniaan-Mu dahulu. Aku mengerti betapa hanya dia mampu mengubati sakitku ini. Seperti janjimu, setiap di dunia ada pasangannya; setiap insan ada jodohnya, setiap penyakit ada ubatnya."

Saat itu Lisa lantas menutup matanya dan membayangkan Amar datang kepadanya dalam senyum mesra. Dalam lena, segalanya tampak begitu nyata. Amar membawanya keluar bersiar-siar lagi. Berbicara tentang masa depan, tentang kelmarin dan juga hari ini.

"Ada waktunya kita tidak semestinya memaksa diri untuk tidak percaya, ya benar?" Amar bertanya. 

Lisa tersenyum dan mengangguk. 

"Ada waktunya... mungkin orang lain bilang, cinta kita hanya leka dunia. Tapi ada hikmah di sebaliknya, ya benar?" Tanya Amar lagi. 

Lisa tersenyum dan mengangguk lagi. 

"Kalau kita terus begini, menerima seadanya, tanpa memikirkan kemungkinan yang bakal terjadi di masa hadapan, pasti kita dapat meraih impian kita semudah bercerita." Ujar Amar sambil menghela nafas selesa. 

Lisa pandang Amar dengan rasa cinta yang amat mendalam. Mengusap rambut jejaka itu semahunya lalu berkata "Sayang... "

"Allah hu akbar! Allah hu akbar!"

Takbir buat Ilahi memanggil lagi. Lisa tersadar dari lena. Perutnya semakin menjadi-jadi berbisa. Tidak tahu bagaimana lagi mahu dibuat. Sudah tiga hari begini. Suhu badan juga semakin tidak menentu dibuatnya. Urat di kepala semakin menyucuk-yucuk berdenyut. Degupan jantungnya juga semakin laju berdegup. Segera dia bangkit mengambil wuduk dan menunaikan solat Isyak. 


Usai solat, Lisa langsung ke kamar tidur. Tidak sanggup lagi berjaga dalam derita ini. Doanya semoga esok dia akan bangkit lebih sihat. Cukuplah dengan masalah psikologinya yang mampu memberi banyak ketidakpastian kepada kondisi mentalnya, tidak hingga menyentuh soal kesihatan organ tubuh yang lain.

"Bantulah aku ya Allah, berikan aku tidur yang lena. Ampunkan segala dosaku dan bangkitkan aku dalam sihat yang sempurna. Aamiin..."

Itu doa Lisa sebelum masuk tidur. Namun sebelum mata terlelap, dia segera mencapai telefon bimbitnya dan menelefon Amar. 

"Assalammualaikum... Amar." 

"Wa'alaikum'salam. Sayang... awak ok ke?"

"Ok... esok kita jumpa lagi ya."

"Pasti sayang, seperti selalunya... "

Setelah itu, Lisa pun menutup mata untuk tidak terbuka lagi. 

Aku dan dia sama-sama derita...
Menolak takdir bahagia buat kami berdua,
Meminggir cinta sempurna kami seadanya,
Sama-sama membatu kepada yang sedia ada.

Amar sedar ada yang tidak kena dengan Lisa. Namun dia tidak pantas bertanyakan khabar kerana selama bertahun ini pun Lisa tidak pernah menghubunginya kecuali atas urusan penting. Namun mendengar berita Lisa sudah kembali ke rahmatullah ketika tidurnya, ternyata berita yang sangat mengejutkan. Amar tidak mampu berkata apa kecuali meminta ampun kepada Allah. Dia tahu masalah psikologi Lisa, namun dia masih tidak mahir bagaimana untuk menanganinya. Seorang teman yang begitu rapat dengan Lisa menghubungi dan memberikan khabar sedih itu. Mereka bertemu di hari pengkebumian. 

"Dia takder telefon awak ke? Beritahu apa masalah dia?" Tanya Aliya, sahabat arwah.

"Tidak... kami sudah lama tidak berhubung. Kali terakhir pun beberapa bulan yang lalu, ketika dia menjemput saya ke majlis reunion teman-teman sekuliah." Jawab Amar dalam redha yang sebal. 

"Itulah Lisa... tidak pernah mengadu segala keperitannya kepada sesiapa. Dia sentiasa ada jalan penyelesaiannya sendiri. Biarpun ia membawa maut... " Ujar Aliya terhambur kesal dalam sebak yang mengasak dada. 

Amar hanya mampu menahan sebak tatkala airmatanya terus mengalir di pipi. Kubur Lisa masih merah tanahnya. Masih wangi dengan taburan bunga di atas pusara. Namun apakan daya, dia kini hidup membawa derita yang ada sedangkan Lisa sudah pergi membawa bahagianya... 

إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ

... atau mungkin ada bahagia baru buatnya. Hanya perlu belajar menerima selagi ada nyawa.