"It's only through writing that I've ever been able to suppress life's personal disappointments. When I can't write I feel anxious and out of sorts and am easily riled, though I'm usually able to control my emotions..."
- Pramoedya Ananta Toer (The Mute's Soliloquy: A Memoir)
["Hanya dengan menulis aku mampu menekan segala kekecewaan peribadi hidup. Bila aku tidak menulis, aku merasa cemas & tidak keruan serta mudah gusar, walau selalunya aku bisa mengawal emosiku..."]

Tuesday, December 30, 2014

INDAH USAHA


(Intro)
Lelah rasanya tak terkira,
Sakitnya bila berusaha.

(verse #1)
Merasakan kesusahan itu,
Menikmati kepayahan ini,
Adalah satu kewajipan dalam hidup,
Agar kita mengerti rasanya... indah. 

(chorus #1)
Aku gagah,
Melalui semuanya ini,
Dan aku pasti,
Moga diriku lebih mengerti...

(verse #2)
Oh indahnya kejayaan ini, 
Bila usaha semakin menjadi,
Setelah semua getir sakitnya ku tempuh,
Inilah pengajaran terbaik... buatku.

*repeat chorus #1

(chorus #2)
Ini semua dugaan, 
Ini semua cubaan, 
Agar aku fahami... kehidupan. 

(bridge)
Aku tabah, tanpa lelah
Inilah penawar... 
Kebahagiaan.

**repeat chorus #1 & #2

Sunday, October 19, 2014

IPCC MENDIDIK USAHANIAGA KREATIVITI


IPCC (Intellectual Property Creators Challenge Series) ke-9 anjuran MSC Malaysia melalui MDeC (Multimedia Development Corp.) kali ini difahamkan menawarkan geran RM25,000 kepada 6 pemenang bagi kategori Komik Interaktif Digital (Digital Interactive Comics). Berbanding sebelum ini semasa saya menjadi juri, nilai geran daripada RM15,000 naik kepada RM20,000 untuk 10 pemenang berbanding selepas itu yang menurun hingga kepada 5 pemenang dan meningkat kepada 6 pemenang bagi tahun ini. Saya yakin ada alasan yang munasabah atas perubahan jumlah pemenang tetapi dengan nilai geran bertambah berbanding ketika saya menjadi juri, ia keseimbangan yang munasabah mengikut jumlah geran yang ditawarkan termasuk untuk 2 kategori yang lain (Mainan Video dan Animasi). Malah dengan imbuhan tema 'I Love Comedy' bagi menyelaraskan persembahan kreatif para peserta (semua kategori), memudahkan lagi para juri menghakimi produk-produk yang dipertandingkan. Menyedari tarikh tutup IPCC 2014 baru sahaja berlalu (pada 15hb. Oktober 2014 yang lalu), ingin saya berkongsi pengalaman sebagai bekas juri dan pendapat bagaimana para penggiat seni kreatif negara terutamanya dalam Industri Komik Malaysia melihat pertandingan ini sebagai peluang untuk mendedahkan diri kepada industri kreatif dan kepentingan sebagai unsur perniagaan.

Semenjak IPCC pertama dianjurkan pada tahun 2006, seramai 222 individu dan syarikat telah menerima sokongan kewangan sebanyak RM8.7 juta selain tambahan latihan dan program-program pembangunan (rujukan; The Stars). 

Tiga tahun berturut-turut (2007-2009) menjadi juri kepada pertandingan IPCC (Intellectual Property Creative Content) anjuran MSC Malaysia di bawah usaha MDeC (Multimedia Development Corporation) telah membuka mata saya kepada kemampuan bakat-bakat kreatif Malaysia yang sebenar. Para peserta semuanya adalah dikalangan mereka yang berusaha dalam memartabatkan seni kreatif dengan teknologi terkini seperti yang disyaratkan dalam pertandingan. Yang tidak pandai melukis akan bersatu dengan yang pandai menulis untuk mencipta karya. Manakala yang tidak pandai berhujah akan bersatu dengan yang pandai berniaga untuk membentangkan kertas kerja bagi memenangi geran yang ditawarkan. 

IPCC 2007
Pertama kali dipanggil menjadi juri kepada pertandingan ini telah membuka minda saya kepada bakat-bakat industri dalam mentaliti yang lebih berkonsep niaga berbanding sekadar sebagai karyawan seni semata-mata. Dari situ saya memperoleh kepercayaan bahawa MSC/MDeC serius dalam mendidik serta mengetengahkan bakat-bakat komik untuk berfikiran lebih jauh sebagai industri. Ini untuk memartarbatkan karya masing-masing sebagai penjana ekonomi dalam pembentukan industri yang lebih berhasil. Ketika ini nilai geran yang ditawarkan adalah sebanyak RM15,000 kepada 10 orang pemenang profesional dan RM10,000 kepada 5 pemenang amatur, yang kesemuanya diberi sekaligus tanpa pemantauan. Justeru cadangan diberi agar untuk IPCC seterusnya, geran sebaiknya diberi berperingkat mengikut jadual kerja dalam tempoh yang ditetapkan.       

Namun sebagai salah seorang juri yang khusus kepada kategori Digital Interactive Comic Competition, saya melihat pertandingan ini sebagai pendedahan awal para peserta dalam usaha meniagakan bakat sendiri. Namun kesedaran itu masih perlu ditelusi melalui pendedahan secara berterusan sejajar dengan keperluan industri. Kerana rata-rata peserta yang saya adili sepanjang 3 tahun tersebut, kelemahan paling ketara majoritinya ialah tidak mengusulkan kertas kerja bertepatan dengan keperluan ekonomi yang berpaksikan teknologi kreatif. Soal berkarya (melukis dan menulis) tidak dinafikan semua jelas berkemampuan, namun kertas kerja yang dibentangkan hanya terhad kepada skop untuk memenangi geran (dalam menyiapkan kerja separuh siap). Jadi apa yang juri perolehi masa pembentangan (pitching), rata-rata menilai bakat seni para peserta (dari sudut komersil tanpa meninggalkan jati diri nasional) dan kemampuan menyiapkan tugas dalam tempoh yang telah diperuntukan mengikut syarat yang telah ditetapkan. Kesimpulannya apa yang saya dapat ketika itu ialah para peserta seni komik yang berbakat tetapi untuk berfikiran jauh, ada yang terlebih jauh (sampai ke laut!) tanpa memikirkan (logik) faktor terhad (yang perlu diambil kira) seperti ketetapan masa dan jumlah dana yang diperuntukan.  

IPCC 2008
Kali kedua menjadi juri untuk pertandingan IPCC memantapkan lagi kebolehan saya mengadili bakat para peserta ketika membentangkan projek komik masing-masing. Malah saya lebih berpuashati dengan cara MDeC menguruskan geran untuk para peserta di mana para pemenang bakal dipantau kerja mereka sebagai latihan perusahaan. Kecendurangan kami di IPCC kali ini adalah untuk melihat karya para peserta membawa identiti masing-masing tanpa mengenepikan budaya majmuk negara sendiri. Para peserta yang terdiri dari berbilang kaum jelas merealisasikan impian tersebut. Walau ada perdebatan tentang aspek perkauman namun kata sepakat mempersetujui bahawa di Malaysia kita tidak boleh menafikan budaya bangsa lain, asalkan imej negara kita ditonjolkan sebaiknya berbanding karya-karya komik dari negara Asian lain seperti Jepun, China dan Korea Selatan. Malah pengalaman bekerja dengan Art Square Group sebagai penerbit komik paling berjaya (setakat ini) di Malaysia yang berusahasama hingga ke peringkat Asian, memberi imbuhan perkongsian ilmu saya dengan para peserta. 

Pada saya, tidak salah untuk kita meletakkan impian yang tinggi dalam mencari titik tolak agar kita terus maju. Namun kita kena faham, impian yang tinggi itu adalah pencapaian yang kita hendak usahakan tetapi setiap kemudahan yang ditawarkan harus kita pergunakan mengikut haknya. IPCC ini hanyalah sebuah pelantar pertandingan, MDeC dan MSC bukan portal subsidi yang akan melakukan semua kerja untuk bakat kita selepas pertandingan. Malah penganjur tidak mengambil apa-apa hakcipta karya daripada peserta, kecuali yang tertakluk dalam syarat bagi menyempurnakan geran. Justeru, para peserta diharapkan lebih berkemampuan untuk melebarkan lagi karya masing-masing (yang telah memenangi geran) dengan memastikan ia sampai kepada peminat komik untuk dibeli. Usaha melebar itu perlulah tertakluk kepada azam para pemenang geran itu sendiri kerana jelas karya sudah dijamin ada kualiti komersil oleh para juri, tetapi sehingga hari ini dimanakah kebanyakan karya-karya itu di dalam industri? 

IPCC2009
IPCC yang berlangsung pada tahun 2009 menyaksikan penglibatan nama-nama besar dalam industri sebagai peserta. Ini merupakan inisiatif artis-artis komik berpengalaman untuk menyahut cabaran dana kreatif ini. Memilih pemenang di antara mereka adalah antara yang paling mudah kerana kepakaran serta profesionalisme masing-masing yang rata-rata sudah diperakui kemampuannya. Tetapi berkongsi pendapat tentang industri melalui bengkel yang dianjurkan selepas pitching day membuat saya sedikit kekok memandangkan pengalaman teori saya berbanding praktikal mereka. Namun saya menyahut cabaran itu sebagai perkongsian ilmu antara kami yang saling memerlukan antara satu sama lain dalam memartabatkan Industri Komik Malaysia.    
Untuk IPCC 2009 ini, selain menjadi salah seorang juri yang memilih 10 pemenang untuk menerima geran RM20,000, saya juga terlibat dalam sesi mentoring para pemenang sebanyak 3 sesi dalam menentukan progres kerja mereka. Memandangkan geran tidak diberi sekaligus, maka sesi mentoring ini sangat penting untuk para pemenang menerima bahagian mereka secara berperingkat berdasarkan hasil kerja mereka seperti yang disyaratkan oleh MDeC (sehingga semua geran berjaya dibahagikan). Sepanjang pengalaman dalam sesi ini, ada diantara peserta yang masih tidak komited dengan deadline dan suka 'bercanda' dengan alasan untuk menyudahkan kerja. Malah ada juga yang mengubah pendirian kepada konsep kerja hingga menambahkan lagi kerumitan para mentor dalam memberi keputusan jelas kepada inisiatif mereka. Bagi saya ini adalah antar punca kemunduran artis-artis komik berbakat untuk lebih berdaya saing dalam pertumbuhan industri komik negara. Namun para pemenang geran yang sudah arif dengan kerja industri sebelum ini, jelas menyiapkan projek mereka seperti yang telah diperuntukan oleh syarat pertandingan tanpa banyak kerenah. 

Harapan saya semoga Industri Komik Malaysia akan terus diperkembangkan ke peringkat yang lebih baik, hingga dapat dimanfaatkan oleh semua lapisan masyarakat dalam semua aspek kehidupan. Jangan sekadar melihat komik ini untuk hiburan semata-mata, tetapi juga sebagai antara sumber mudah menerapkan ilmu dan memelihara budaya. Malah jadikan juga industri komik ini sebagai antara penjana idea serta kemahiran kepada industri berkaitan seperti animasi dan mainan video demi melihat Industri Kreatif Negara menjadi lebih efektif bukan sahaja di dalam negara tetapi juga mampu berdiri gah di luar negara.

#BERUSAHA!

Wednesday, October 15, 2014

SARJANA ANAK EMAK

Beberapa hari sebelum konvokesyen (pada 11hb. Oktober 2014) bagi menerima Sarjana Pengurusan Perniagaan (Kewangan) di Universiti Islam Antarabangsa, kala sendirian sebelum melelapkan mata untuk melewati malam, hati dipanah sendu dengan bercucuran tangisan teringatkan arwah emak. Payah untuk melepaskan perasaan itu kerana beliaulah yang banyak mendorong diri ini untuk berjaya dalam akademik selain mengejar cita-cita kerjaya sebagai artis komik.

"Bibir bonda bersih lesu
Pernah dulu mengucupi dahiku
Kini kurasakan kasihnya lagi
Meski jauh dibatasi bumi"
                                                    — Usman Awang (Ke Makam Bonda)

Sangat mengerti anak tunggal emak ini banyak ragamnya semenjak kecil. Degil usahlah cerita, apatah lagi dakyah sumbangsihku demi menggapai impian sendiri sebagai seorang karyawan di tinta melukis dan menulis. Namun ketika buku pertamaku terbit di pasaran, emak bangganya seolah satu kampung bergendang walau faham aku tidaklah gemar dirai-raikan. 

"Kita sudah sampai di lereng amat indah, 
di bawah pelangi...
dalam ufuk yang masih mencabar;
dan kita ikhlas berjanji untuk bermaruah,
tenang dalam segala uji cabar dan debar.
 
Kita mencari hanya yang tulen dan jati,
sekata hidup, mengerti dan berbudi.

Kita wajar mendaki lagi kerana puncak
yang jauh. 

Dalam gelora dan taufan
tak tercalar tekad kita kerana kemerdekaan
mengasuh kita bersuara dalam sopan,
yakin menyanggah musuh, tulus menambah kawan,
inti tunggak dan menara kebahagian."
                                                     — A. Samad Said (Hidup Bersama)


Sedari kecil hanya hidup berdua dengan emak di bawah satu bumbung, siang malam sudah mengenal hati budi masing-masing, saat berpisah jauh pun hanya berdua saling mengerti keberadaan, bukan harapan orang lain menjadi ikutan tetapi kefahaman di dua hati kami anak-beranak. Emak pergi tidak menyebut sebarang harapan yang besar kecuali aku mampu berdikari tanpa dirinya di sisi, jauh tertekan dari pengaruh mahupun bidikan resam kasihnya saudara-mara apatah lagi tekanan sayangnya rakan-taulan. Adakalanya emak tersandung di pengaruh orang lain demi menjaga anak tunggalnya ini dari teraniaya paksaan saat ketiadaannya nanti. Bagaimana pun emak juga sedar betapa anakmu ini degilnya mengalahkan sekeras berlian yang payah untuk dibentukkan. Maka apapun keputusan, diri ini tetap dengan pendiriannya sendiri walau jatuh di lubuk paling dalam, apapun keburukannya di permukaan... tetap kepada Ilahi berserah segala matlamat.  


"Kebenaran yang agung ada pada kita
Panas dan dingin, duka cita dan penderitaan,
Ketakutan dan kelemahan dari kekayaan dan raga
Bersama, supaya kepingan kita yang paling dalam
Menjadi nyata."
                                                       — Jalaluddin Rumi (Kesedaran)

Terima kasih buat arwah emak yang sedari kecil sudah memaksa diri ini agar menghargai ilmu, walau menghentak-hentak bumi meraung malas ke sekolah. Bangkit subuh seliat kungkang hingga emak dari pujukan sayang terpaksa menjerit bak halilintar. Walau sarapan tidak sedap namun berkhasiat; dipaksa telan telur setengah masak, Scott Emulsion, Bovril dan Vykamin. Sesekali dapatlah nasi lemak jiran sebagai ganjaran bila hilang menghindari hidangan untuk kesihatan. Soal kecantikan luar dan dalam usahlah cerita, disuap ulam-ulaman menakut-nakutkan walau setakat pegaga dan jering yang kelat, hanya rebus pucuk ubi dirasakan sedap. Oh, tidak boleh lupa! Terlewat bas sekolah segera dikejar dengan motor, tertinggal bekal gigih dihambat ke sekolah, tercicir wang saku diri ditempelak geram dek cuai, kenalah bersabar. Bersungguh betul emak mengharapkan masa depan anak tunggalnya ini ke menara gading. Sampai dihantar ke asrama, diri meraung minta dibawa pulang tetap ditinggalkan tanpa seraut pun wajah kasihan.

"Tuah si rajin bak pelampung
jatuh ke laut tetap timbul
bukan nasib batu jatuh terus kaku.
Diam si rajin diam berisi
bukan diam si lurus bendul
menang sorak kampung tergadai."
                                                          — Khadijah Hashim (Hikayat Si Rajin)

Seingat diri ketika bayi tidak pernahlah bersusu botol atau berputing bagai, ke sekolah pun pernahlah sekali merasa KFC itupun di belanja seorang kawan. Di rumah pun makan tidaklah mengharap yang mewah-mewah, setakat sambal tumis, sambal ikan bilis atau sambal telur pun sudah cukup memuaskan diri yang kuat makan. Bermain pun banyak suka sendirian, panjat sana sini, terjun itu ini dan hilang ke hutan sampai emak bimbang berpanjangan. Kerja sekolah dipaksa baru buat, masuk asrama rajinnya semacam tidak berkenan. Tengok orang lain lebih buat tidak hairan, tetapi kalau sudah bosan sertai sahaja ikut sedap badan. Emak runsing memikirkan anak yang tidak hairan dicabar, tetapi menyimpan impian orang lain pun tidak pernah buat. Masuk bertanding pun pura-pura bangga demi kumpulan, walhal hati ke lain yang diimpikan. Inilah anakmu, wahai emak yang ku rindui.

"Bunga akan nampak indah
Ketika musim bunga bermula
Mencium pucuk-pucuk kecilnya
Namun kasih akan sentiasa
Nampak indah dari bunga
Kerana ia terus tumbuh 
tanpa bantuan musim."
                                                          — Khalil Gibran (Musim Bunga)

Anak tunggalmu ini akan sentiasa mendoakan agar emak senantiasa tenang di sana. Dijauhkan dari seksa kubur dan ditempatkan di syurga Ilahi yang terbaik. Buruk atau baiknya perbuatan anakmu ini, yang lalu dan manakan tahu yang akan datang, kesadaranku dan hatiku tetap ikhlas memohan agar keberkatan diberikan buat kita yang pernah bersama dan akan terus bersama dalam iman. Anakmu kini sedar bahawa hidup di dunia ini akan tidak pernah terlepas dari masalah apatah lagi cabaran, dan apa yang penting adalah cara kita menyelesaikan dan menanganinya. Emak tahu anaknya ini ada panas baran apatah lagi bila jalan impian ditegur dengan cakap yang bukan-bukan. Tetapi kini sudah sedar tidak semua manusia mampu faham, ada yang pandai tapi bodoh memaham malah yang bodoh itu mungkin lebih bijak melaksanakan kehidupan. Dan sabar adalah jalan terhebat dalam menghadapi segala kekalutan.

"Hai sekalian kita yang kurang
nafsumu itu lawan berperang
jangan hendak lebih baiklah kurang
janganlah sama dengan orang

Amati-amati membuang diri
menjadi dagang segenap diri
baik-baik engkau fikiri
supaya dapat emas sendiri"
                                                      — Hamzah Fansuri (Petikan Syair Dagang)

Emak kembali ke rahmatullah setelah melengkapi anak tunggalnya menghadapi kehidupan ini sendirian. Mungkin sebelum pergi, beliau bimbang di hati tidak keruan. Namun di nafas terakhir itu, percayalah emak... walau banyak masalah diri yang perlu diperbetulkan, anak tunggalmu ini tidak akan pernah kalah meneruskan impian, dalam kerjaya dan juga akademik.

"Anakku
maafkanlah ibu
meninggalkamu setiap pagi
melepaskan pelukanmu
ketika kau ingin bermanja

di meja ini mengadap kertas-kertas
di meja ini mengadap tugas-tugas
sesekali terganggu oleh matamu yang redup
sesekali terpanggil oleh suaramu yang sayup

Sekecil itu aku sudah meminta pengertianmu
yang kita tidak dapat bermanja dengan hidup."
                                                  — Zurinah Hassan (Kesal Seorang Ibu Yang Bekerja)

Terima kasih atas didikanmu yang begitu mementingkan ilmu. Ia benar-benar menguntungkan jiwaku dalam menghadapi segala dugaan. Walau dalam sepanjang membesarkanku banyak waktu emak terpaksa meninggalkanku demi menyara kehidupan kita, tetapi itulah yang menjadikanku lebih tabah persis tabahnya emak mendewasakanku. Jasamu tidak akan ku lupa sampai ke mati. Sayang emak...


Syukur Alhamdulillah ke hadrat Ilahi kerana telah melahirkan aku dari rahim seorang wanita yang tabah, cekal dan gagah berbakti kepadaku dan juga masyarakat sekitarnya. Darimu emak, anak tunggalmu walau banyak kerenahnya tetap gagah dalam gagalnya, tenang dalam menangnya. Paling utama... anakmu ini telah emak didik untuk banyak berserah kepada Ilahi walau dalam sendiri tetap mengerti. Al-Fatihah buat bondaku yang tercinta, Allahyarhamha Sa'adah bt. Hj Fadhil.

Monday, July 28, 2014

Salam Aidilfitri '1435; I Love You... Allah'

Sepanjang Ramadhan kali ini umat Islam seluruh dunia diuji bukan dengan lapar dan dahaga, tetapi nilai kemanusiaan yang semakin merosot hari demi hari. Umat manusia tidak kira bangsa dan agama pula diduga dengan cabaran ekonomi yang melibatkan kerakusan kuasa-kuasa besar dengan muslihat yang dahsyat sekali! Di darat, kita diwartakan dengan kemalangan jalanraya yang semakin menjadi-jadi dan melibatkan kenderaan harga beribu ringgit hingga mengakibatkan kematian. Manakala di udara, dalam setahun kita dikhabarkan dengan lebih 5 buat pesawat harga berjutaan mendapat kecelakaan. Dalam bulan Ramadhan ini sahaja 3 nahas kapal terbang dilaporkan yang membawa kematian sekaligus sekelompok penumpang. Itu belum ditambah lagi dengan mangsa bunuh, samada bunuh diri atau dibunuh. Terfikirkah mengapa ini semua berlaku? Bagaimana nilai kemanusiaan boleh merosot begitu drastik sekali tatkala kemewahan semakin berlumba-lumba menunjukkan belangnya?

Pada saya, Syawal ini ialah Eid Mubarak yang menuju kepada kiamat, jika tidak Perang Dunia Ketiga kelak. Serangan Israel ke atas Gaza kali ini mungkin seperti serangan-serangan sebelumnya, tetapi muslihat tidak lagi dapat di tutup. Jelas bertebaran di laman sesawang suara rakyat Israel melaungkan hasrat membasmi puak Arab, membunuh kaum-kaum lemah di Palestin dan dalam jelajah menguasai Timur Tengah. CNN dan BBC tidak lagi dapat menutup pekung fabrikasi berita-berita mereka yang dikongkong oleh kuasa sekutu Israel yakni Amerika Syarikat. Syria dan Mesir jelas mempunyai nilai kompromi dengan kerajaan Israel secara halus, manakala negara-negara jiran Timur Tengah yang lain hanya pandai bermain sepanduk menyokong Palestin tetapi tidak berbuat apa-apa kecuali membebel. Bila bercakap soal PBB pula, ia seolah sudah tidak lagi berfungsi.

Tidak dinafikan rakyat Palestin adalah mangsa keadaan, dan mungkin sudah ditakdirkan Ilahi mereka adalah insan terpilih di dalam kesengsaraan ini... jiwa-jiwa pemaaf yang akhirnya dipijak-pijak oleh jiwa-jiwa pendendam. Perjuangan Hamas dan Al-Qassam saat ini memang seharusnya dipuji kerana akhirnya tampil lebih berani mempertahankan tanahair sendiri walau sepatutnya semangat sedemikian sudah diwujudkan sejak awal Palestin lagi, sebelum kanser Israel menguasai seluruh badan negara.

Namun apakan daya, ramai yang sudah lama tahu strategi Israel menguasai umat manusia tetapi lebih ramai yang termakan oleh kebangkitan ekonomi dengan janji kemewahan gaya dan pangkat. Tidak kira bangsa dan agama, kita sudah begitu dekat dengan resam berkereta sendiri itu lebih dipandang berbanding menaiki pengangkutan awam. Terbang ke luar negara itu membuktikan kita bukan lagi katak di bawah tempurung, lebih hebat berbanding ulat buku.

Biarlah ekonomi dibelit oleh kuasa Israel, asalkan ia tidak merundum di peringkat dunia. Walaupun di hadapan mata kita kanak-kanak menjadi mangsa kerakusan AIPAC dengan bergelimpangan daging dan segala isi perut mereka di tanah Gaza, Syria dan Mesir. Menambahkan lagi keseronokan rakyat Israel melihat waris-waris Arab (yang menggunakan bahasa Al-Quran) satu demi satu tidak berkembang, manakala yang hidup dijerat satu persatu dengan keuntungan duniawi (serangan nafsu... kelemahan manusia!).

Apabila dikhabarkan dengan hujan berlimpahan di Ka'abah, ramai diantara kita melihat ia suatu rahmat, kerana ia jarang sekali berlaku. Tetapi tidak pula di antara kita merasa bimbang ia mungkin petanda untuk kita segera bangkit dan sedar. Kenapa? Kerana kita berada di kawasan yang tidak bergolak, beribadah dengan rasa sejuk kuyup di simbahan air hujan. Selamat dari serangan puak pelampau maka kita mengandaikan kitalah yang istimewa dan dilindungi manakala beribu yang mati dibedil dan dicincang itu sudah nasib mereka. Ya! Kerana kita belum lagi merasa kemalangan ngeri itu, dan kesengsaraan peperangan yang dimaksudkan.


Tidak dinafikan di Syawal ini saya bersyukur dapat meraikan kemenangan saya berpuasa di bulan Ramadhan tanpa dilanda sebarang kecelakaan yang teruk seperti mereka. Bumi Malaysia masih aman! Tetapi itu bukan bermaksud saya boleh abaikan dan berkata itu hal mereka bukan hal saya. Biarpun semalam saya gembira dapat meraikan malam bermulanya Syawal bersama saudara-mara yang berkesempatan hadir, namun hati ini lebih kepada mereka yang sedang dianiaya oleh muslihat Israel dan sekutu-sekutunya.

Majoriti umat manusia seluruh dunia tahu apa yang berlaku di Gaza, Syria, Mesir, Iraq, Rohingya, Pakistan, Afghanistan dan negara-negara berkemelut seumpamanya adalah tidak berperikemanusiaan, tetapi kebangkitan kita dari negara-negara sedang berkembang maju hanyalah suara dan cadangan. Tindakan belum lagi kerana hampir kesemua ekonomi dunia sudah dijerat Israel, dan untuk melupuskan itu kita kena berani menerima kegawatan global. Tetapi belum ada diantara kita redha untuk melepaskan Porsche, Ferrari, Ford atau mungkin juga Peugeot yang baru dibeli untuk memboikot segala perniagaan yang bekerjasama dengan perusahaan-perusahaan yang melibatkan Israel. Apatah lagi meruntuhkan perusahaan Astro yang membawa pelbagai hiburan ke kaca TV rumah kita! Kerana kita berpendapat tidak salah kerana ia bukan menyumbang secara langsung kepada kuasa zionis itu. Walau kita lupa untuk faham, 5 sen yang diterima Israel jika melibatkan banyak usahasama yang berjaya di seluruh dunia tetap menyumbang berzilion dolar kepada The State of Israel (lebih banyak dari kutipan derma berjuta yang kita beri kepada Palestin).  

Jadi inilah Syawal saya kali ini, tidak begitu ghairah untuk terkinja-kinja dengan cuti yang ada (selain ingin melengkapkan Puasa 6 dengan jayanya. Insha-Allah!). Cukuplah dapat meneruskan hidup ini dengan berkarya dan jika diizinkan Allah untuk menggapai impian membina perusahaan seni sendiri. Perusahaan yang tidak akan sesen pun menyumbang kepada Israel atau sekutu-sekutunya, mahupun secara langsung ataupun tidak langsung!
Beduk berbunyi perahu ke muara,
Mencari juadah hingga ke pekan,
Kemanusiaan kita erti bersaudara,
Salah dan silap harap diampunkan.

Tuesday, April 22, 2014

RAVE COLLABORATION: JONVU [x] FAKHRUL ANOUR

My favor in music is very extensive. But those who have been my close friends and following me on social network (even MySpace) since the very beginning of my involvement would know that I'm very much into dance music, especially in the category of trance and progressive related. Most of the time, I will spend my time making comics while listening to this type of music (besides any other type of musics). With Ministry of Sound is my favorite label; among my favorite DJs are Benny Bennasi, Tiesto, Armin Van Buuren, Paul Van Dyk, Paul Oakenfold and Norman Cook, the FatBoy Slim. But knowing one of my ex-colleague and former employee of Art Square Group (publisher of Gempak Starz™) has the talent in DJing into my kind of beat, that's really awesome! His stage name is Jonvu, and I happened to see him performed once and seriously he got the groove but still need more exposure from the industry. Now he's studying music in Australia, making experimental mix and on the move to develop his skill. Recently he requested me to illustrate an artwork for his latest work called 'Circus Beat' and I thought he never ask! It has been in my wish to draw his kind of mix. So here is my (comic-style) artwork inspired by the track and you can listen to the beat with the SoundCloud attached. Enjoy! ^_^

When I listen to the track, I told myself that you can even enjoy this to yourself. As I listen to it, I can only hear the humble groove that makes you up and going. The sound of elephant, makes you a little flamboyant to yourself and get a move on. Make yourself in a circus in your own mind, in your own room... while working in style. d[^_^]b
"Music is the art of thinking with sounds."
— Jules Combarieu
      

 

Friday, February 14, 2014

HARIJADI BERSEMANGAT

39 tahun yang lalu, adalah pada hari dan tarikh yang sama diri ini didaftarkan sebagai rakyat Malaysia dari celuk rantau sebuah perkampungan di daerah Muar, yakni Lenga yang kemudiannya didewasakan di sebuah kampung dipanggil Kg. Tui di pekan bersejarah, Bukit Kepong. Sukar untuk mengimbau ke masa lampau dengan perasaan yang ternyata tidak mengerti apa-apa setelah di suatu perjalanan diri ini pernah dilanda amnesia. Ada gambarannya sedih, hingga mampu membuatkan diri ini menangis, namun perasaannya keliru seolah menonton cerekarama kisah seorang ibu mendewasakan anak degilnya sendirian yang dewasa berjaya mencapai kerjaya impian. 

Karier saya bermula dalam Industri Komik Malaysia pada tahun 2000 setelah menanam impian semenjak kecil. Saya berazam untuk terus kekal di sini, selagi bakat dikandung nyawa. Malah, siapa saya yang dikenali dulu, itulah saya sekarang meski kulit makin berkedut seiring usia...  tapi isi dalam masih sihat bersemangat untuk terus melukis komik. Berusaha!

Fakhrul Anour bin Abdullah ini bukan selebriti panggung, yang perlu berhias dandan hingga mendapat tajaan berjuta-juta ringgit. Cukuplah sekadar tampil sihat, segar dan tidak kusut agar senang didekati peminat karya-karyanya dikala bersua. Bukanlah juga bintang di pentas suara yang hidupnya perlu berdiam daripada menegur dan hanya layak melantun suara berirama untuk menghiburkan peminat.

Sebagai bakat yang pernah disebut-sebut dalam Industri Komik Malaysia, sukar untuk mengambarkan apa perasaannya dan apakah saya perlu kekal di kedudukan bergaya agar tidak di pandang rendah? Mohon dijauhkanlah dari pandangan sebegitu. Bagi saya selagi kita gigih berusaha biar di ketika bergaya mahupun papa, apapun pandangan orang lain terhadap kita tetap sama jika pandai menghormati orang lain walau sedaif manapun keadaannya. Malah di mana pun jua, samada di atas mahupun di bawah, sudahnya hidup ini bukan hak orang lain selain diri sendiri yang mencorak kedudukannya dengan berusaha sampai berjaya!

Punya harta berlipat ganda, tubuh ditatah barangan berjenama dan dapat berhidup dengan orang kaya pun belum tentu menjanjikan mati kita menjadi manusia yang berguna. Biarlah sebagai artis komik, saya ingin jadi bijak berusaha mencurahkan segala idea dalam karya-karya yang ada. Sekarang ini laris pun kita boleh cipta, jadi marilah kita arif berniaga. Belajar pun belajar juga, itu sebahagian tuntutan hidup agar menjadi lebih bermakna di antara manusia. Kelulusan akademik yang tinggi tidak semestinya untuk sekadar mencari kerja, mungkin ilmu itu juga dapat memberi kerja kepada orang lain dengan usaha kita. 

Tidak gunalah melatah dengan segala kritikan orang lain terhadap kerjaya ini, kerana bila di timbang tara dan dibandingkan dengan kemajuan industri kreatif dunia, itu semua hanyalah 'kejutan' segelintir manusia di negara ini untuk 'mengecas' semangat kita dalam mencari nafkah di jalan tersebut. Selagi Tuhan memberi rezeki dalam kita berusaha ke jalan itu, walaupun sesen, maka itu tanda kita perlu maju berusaha. Yang penting cara kita bagaimana, kalau molek maka moleklah sudahnya. Kalau buruk, maka buruklah sudahnya. Jadi dalam mengharungi lumrah dunia, molek-molek sahajalah hendaknya kita ya... ^_^

Bila segelintir orang dewasa dengan permainan kuasa mereka ingin terus membedung anak-anak muda daripada menyumbang tenaga dalam saluran tersendiri, mengongkong bakat kreatif daripada bersaing setanding idea bertaraf dunia dan menghalang pendidikan seni walaupun itu antara cara paling dekat mendidik anak-anak menghargai tradisi kita. Dewasa sedemikian bukanlah saya, kecuali menegur mana yang patut mengikut faktor budaya, bangsa dan adat yang bersesuaian. Tidaklah juga saya yang diusung dengan kereta mewah menjalar berpolitik sana sini, menekan dan menghuru-harakan keadaan demi memenangkan parti, apatah lagi duduk di pejabat tanggungan rakyat. Tetapi inilah hak bersuara Fakhrul Anour, seorang bangsa Malaysia yang pernah melalui zaman gemilang industri komik kita.

Malas melayan resam sesetengah adat orang kita yang selesa dengan "kalau begitu maka begitulah sudahnya". Tidak bagi kita yang memilih kemajuan dalam hidup, membina empayar, membina negara agar lebih ramai mampu berhidup di lingkungan kita. Adakalanya jalan berdegil jugalah membina kebahagiaan, melawan jugalah membebaskan manusia dari belenggu tekanan berpanjangan agar tidak terjerat di tangga dadah demi melepaskan kekecewaan di jalan yang salah.


Akhir kata...

39 tahun mengharungi hidup ini dengan memegang 4 pangkat akademik (sijil, diploma, ijazah dan sarjana) bukanlah janji saya mampu berbangga kalau pilihan kerjaya memerlukan saya berusaha berlipat ganda agar industri kita terus gah setanding negara dunia pertama. Berpekaklah saya dengan kata-kata mereka yang cuba melemahkan semangat, pedulilah dengan sindiran bahawa kerjaya ini papa tidak bergaya dan berkenal mesralah kita kepada mereka yang masih tidak arif dengan kerjaya ini. Percayalah, jika saya boleh mencapainya maka kenapa tidak yang lain. Cuma perlu ingat, industri terbina oleh perniagaan, maka marilah kita sama-sama membina jiwa keusahawanan dalam diri demi bakat seni komik kita. 

BERUSAHA!~ ^_^

[Lagu: 'Selamat Ulangtahun Sayang' | Nyanyian Asal: Imran Ajmain]

Friday, January 3, 2014

SELAMAT TAHUN BARU 2014

Sibuk menghadapi semestar akhir dalam pengajian MBA di UIA, menjadikan waktu sangat terhad di sepanjang tahun 2013 (terutamanya semenjak Mei lalu) untuk berkongsi semua hal tentang karier dan kehidupan. Apapun sekarang semestar akhir sudah pun berlalu dan hari ini sementara menunggu keputusan keluar, adalah waktu untuk bercerita sedikit tentang perkembangan diri sendiri. 

Sebelum menyambung pengajian ke MBA, sesudah melepaskan jawatan sebagai editor majalah GEMPAK™, saya ada dua judul novel ringan dalam pembikinan untuk Gempak Starz™. Sehingga kini saya masih lagi mencari masa yang sesuai untuk menyiapkannya memandangkan ia sudah di peringkat selesai. 

1) THE FISHES - adaptasi daripada komik cinta terhangat oleh Ben
2) JUMAAT 13 - Koleksi cerpen seram saya yang pernah diterbitkan dalam majalah GEMPAK™


Kemudian diikuti pula dengan dua judul komik kolaborasi yang mengadaptasi skrip tulisan Igniz. Ia masih lagi dalam perancangan untuk penerbitan yang bagaimana, namun yang pasti saya berazam untuk menjadikan ini sebagai satu kenyataan, insha-Allah. Memandangkan skrip sudah lengkap 100%, maka untuk menjadikan ia sebagai sebuah karya komik bukan lagi mustahil. Cuma saya memerlukan jadual dan peruntukan yang sesuai untuk mengabdikan diri menyiapkannya.

1) Saving Echidna


Seterusnya di peringkat awal ketika menyambung pengajian ke peringkat MBA pada Mei 2012, saya sudah berjaya menyiapkan 9 judul komik 8 mukasurat daripada 10 yang saya cadangkan. Hampir semua sudah pun diterbitkan dalam majalah GEMPAK™. Walaupun hasrat ingin menyiapkan 20 judul sehingga Julai 2012, apakan daya perjuangan MBA memerlukan lebih tumpuan buat sementara waktu. Maklumlah, tiada latar-belakang sebagai pelajar jurusan perniagaan, mempelajari sesuatu yang baru benar-benar memperuntukkan lebih masa untuk memahami.  
    

Justeru menghadapi ambang 2014, saya susunkan 10 lagi judul komik 8 mukasurat (termasuk satu judul yang tertunggak di tahun 2012), untuk saya usahakan bersungguh-sungguh setelah tamat pengajian. Diikuti dengan 14 lagi judul sebelum berakhir 2014 bagi penerbitan dalam majalah GEMPAK™ untuk Siri Maskeret Cinta.      


Dalam masa yang sama, saya juga menyelitkan sebuah lagi karya yang dihasilkan oleh Jack Tribal (salah seorang penulis GEMPAK™) berjudul SILIGIA. Ia mengandungi 7 episod di mana setiap episod melibatkan 16 atau 24 mukasurat. Masih di peringkat lakaran, projek ini dicipta khusus untuk penerbitan di Gempak Starz™ (masih diperingkat cadangan kepada lembaga pengarah) dan insha-Allah akan dilaksanakan sekali dengan komik-komik untuk Siri Maskeret Cinta. 


Akhir sekali bagi jadual kerja 2014 ialah projek istimewa saya berjudul 'PUTERA MALAR' yang bakal diterbitkan dalam 8 episod dimana setiap episod melibatkan 24 mukasurat di mana setiap satu adalah kesinambungan yang seterusnya. Projek ini bukan sahaja berharap dapat mewarnai industri tempatan, saya juga berhasrat ia dapat menembusi pasaran luar negara. 

 Dalam jadual ini terselit sebuah lagi judul yang saya gunakan di waktu terluang untuk habiskan proses inking, iaitu komik 24 mukasurat berjudul 'MAM' yang pernah saya siapkan penciling ketika 24 Hours Comic pada tahun 2013. Ke mana karya ini akan pergi, kita lihat saja nanti.


Untuk peringkat seterusnya (selepas 2014) ialah tumpuan saya kepada mana-mana projek yang berbaki dan projek komik 'VAMP'.


Semoga tahun 2014 menjadikan kita manusia yang lebih berusaha memantapkan diri dalam apa jua bidang kerjaya yang kita ceburi. Dengan kelulusan akademik dan bakat yang kita perolehi, semoga ia bukan sahaja dapat memberi jaminan keyakinan dalam diri kita mengharungi hidup yang lebih mencabar, malah meningkatkan kendiri agar lebih gigih. Paling penting, kita perlu yakin dengan perancangan kita. Jadi atau tidak, itu kita serahkan kepada Allah s.w.t., yang penting jangan kita abaikan usaha kita walau dalam apa jua cabaran yang bakal menduga. 

All the best! ^__^