"It's only through writing that I've ever been able to suppress life's personal disappointments. When I can't write I feel anxious and out of sorts and am easily riled, though I'm usually able to control my emotions..."
- Pramoedya Ananta Toer (The Mute's Soliloquy: A Memoir)
["Hanya dengan menulis aku mampu menekan segala kekecewaan peribadi hidup. Bila aku tidak menulis, aku merasa cemas & tidak keruan serta mudah gusar, walau selalunya aku bisa mengawal emosiku..."]

Monday, April 18, 2016

BENGKEL 'BIKIN KOMIK' EKSKLUSIF YANG PERTAMA!

Jika sebelum ni saya hanya menerima jemputan daripada pihak sekolah/institusi/universiti untuk menyampaikan ilmu tentang Industri Komik Malaysia (terutama dalam bab melukis atau menulis komik), kali ini dengan kerjasama SSTC Vision Sdn. Bhd., kami merencanakan bengkel eksklusif yang bakal berlangsung sepanjang bulan Mei 2016. Bengkel yang saya jadualkan berlangsung setiap Ahad bermula 8hb. Mei 2016 ni hanya untuk 4 sesi dengan setiap sesi terhad kepada 10 orang peserta sahaja. Penekanan utama saya dalam bengkel ni nanti ialah tentang 'PENDIDIKAN STAIL & KATEGORI SENI KOMIK' yang akan menjadi tunjang kepada pentingnya menjaga IP (Intellectual Property/Harta Intelek) dalam menghasilkan seni kreatif masing-masing untuk penghasilan komik.


Jangan salah-sangka, bengkel ni nanti bukanlah tentang 'memaksa' sesiapa dalam pembentukan stail tersendiri apatah lagi imej tertentu demi tujuan komersil atau populariti artis atau produk, sebaliknya lebih kepada mengkhususkan isian (content) sesuai dengan penyampaian mengikut genre-nya. Juga bagaimana kita dapat membina isian-isian yang turut dapat membantu industri lain dekat di hati pembaca seperti kejurutueraan, binaan, sains, teknologi dsb. Juga secara asas menyentuh tentang hubungan antara artis dan penerbit kepada pengedar serta apa hubungkaitnya laman sosial dengan acara-acara yang melangsungkan lagi perniagaan komik.


Untuk bengkel ni, saya akan gunakan apa ilmu dan pengetahuan yang telah saya dapat selama 10 tahun menerajui majalah komik GEMPAK; mengkaji, menulis dan menyampaikan tentang industri Animasi/Animations, Komik/Comics dan Mainan/Games (ACG) di serata dunia kepada pembaca tempatan. Memahami dan cuba mencari jalan agar kita dapat membina Industri Komik Malaysia ke arah yang lebih luas perspektifnya, terutama dari sudut perniagaan agar lebih ramai dapat menikmati insentif dalam pembentukan sebuah organisasi kepada industri. Juga dengan pengalaman sebagai artis komik, saya akan ulaskan erti 'mudah' kepada sesuatu  yang 'sukar' dalam membina karya berbentuk komik tidak kira dalam konsep kartun atau tidak kartun atau fusion untuk kedua-duanya sekali. 


Harapan saya kepada peserta dan kepada diri saya sendiri juga, semoga bengkel ni kelak dapat memberi manfaat untuk kita sama-sama lebih maju samada sebagai artis komik, kartunis/pelukis/penulis (tidak kira untuk komik, animasi atau mainan) malah juga sebagai usahawan kecil mahupun besar dalam industri komik. Mungkin peranan saya taklah seberapa pun dalam bengkel ni, tapi mana tahu insha-Allah ada di antara para peserta yang terlibat bakal merealisasikan impian saya untuk terus melihat Industri Komik kita maju seiring Industri Animasi dan Industri Mainan untuk membina lebih banyak isi kreatif agar dapat dimanfaatkan bersama dalam pembangunan ekonomi negara. Dan saya akan memastikan selepas usainya bengkel ni nanti, hubungan saya dan para peserta akan diteruskan lebih akrab demi merealisasikan impian tersebut.

Jumpa di bengkel nanti ^_^

No comments: