"Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.”
— (Surah al-Hujurat, ayat 6)
Hanya kerana ia Bintang, kekal berkerdip seperti biasa di langit malam tanpa kuasa untuk bersuara, amat mudah untuk Anda menipu orang ramai bahawa Bintang itu mencintai Anda. Anda memang bijak memfitnah Bintang yang sedang berkerdip, kerana ketika itulah Anda tahu ia tidak akan mampu melawan fitnah yang sedang Anda cipta. Maklumlah Bintang di langit, sedangkan Anda di bumi.
Anda cuba mendekati Bintang dengan menjadi orang lain bagi mendapatkan kepercayaannya...
Tidak Anda sangka Bintang itu benar-benar jatuh memijak Bumi yang nyata. Biarpun jatuhnya tidak tersungkur (seolah disengajakan), namun Anda yakin Bintang pasti baik hati untuk menerima pelawaan Anda untuk tinggal bersama.Setiap kebaikan Bintang itu akan Anda jadikan sandaran untuk menutup kejahatanmu dengan sentiasa mendampinginya...
Sesungguhnya kalau boleh Bintang tidak suka mengecewakan sesiapa, apatah lagi Anda yang selama ini saban hari merayu kepadanya. Lantas pelawaan itu diterimanya dengan berat hati.Apabila Anda merampas hak (maruah) orang lain untuk kepentinganmu sendiri... Anda bilang Anda kasihankan Bintang.
"Saya tidak kisah dibawa pulang untuk tinggal bersama Anda, namun saya tidak suka dengan apa yang telah Anda ceritakan kepada semua." Bintang menegaskan sebelum pelawaan itu diterimanya.
Sepantas dan penuh bersungguh riang Anda membalas "Oh... itu kisah dulu. Minta maaf kerana ketika itu pemikiran saya tidak karuan, saya tersilap dan saya mengaku bersalah. Sekarang saya tidak begitu lagi, malah saya sudah mengakui kita hanyalah bersaudara yang saling melindungi... begitu."
Bintang mengeluh lemah mendengar pengakuan Anda itu, apatah lagi perjalanan dari langit ke bumi untuk pendaratan yang sempurna tanpa tersungkur berat bukanlah sesuatu yang mudah. Bintang tahu, Anda masih ingin fitnah itu kekal di telinga yang telah termakan oleh munafik Anda. Justeru tinggal bersama mungkin salah satu jalan dekat untuk Bintang menyedarkan kemunafikan Anda.
Bintang juga kasihan memikirkan betapa Anda sekian lama sakit tengkuk mendongak ke langit kerana mengaguminya hingga sanggup melakukan fitnah. Apatah lagi ditambah dengan keuzuran Anda itu tanpa siapa yang bisa menjenguk simpati setiap hari. Bintang lantas bersetuju.
Lagipun ke mana lagilah di dunia ini Bintang itu mahu pergi, kerana saat ia jatuh, hanya anda bersungguh datang menghulur bantuan. Bintang redha, mungkin ini perjalanan barunya di dunia ini.
Mungkin dalam kembara baru ini, Bintang mampu mencari jalan meyakinkan Bulan... punca utama kenapa Bintang beria-ia benar ingin turun memijak Bumi.
Setelah beberapa ketika Anda hidup bertemankan Bintang, tidak sangka harapan Anda untuk dicintai Bintang tidak juga tercapai. Pelbagai cara telah Anda ikhtiarkan namun satu usaha pun tidak Bintang peduli. Teman-teman di luar sana sudah percaya Bintang milik Anda, namun di dalam istana kecil ini, Anda tetap bukan sesiapa yang istimewa. Namun segala pemberian Anda, Bintang terima dengan rela hati. Bagaimana bisa begitu?! Anda makin hari makin tidak senang duduk!
Keampunan memfitnah tidak mampu dibayar dengan harta kekayaan jika Tuhan sendiri tidak mampu mengampunkan Anda...
Rupanya selama Bintang di langit tinggi, ia telah jatuh cinta di renungan pertama dengan Bulan, pencinta yang cukup asing dalam senarai kekasih Bintang yang pernah Anda rekodkan selama ini.
Mengikut rekod penilaian Anda, nyata Bulan langsung tidak menepati ciri-ciri pencinta yang Bintang idamkan selama ini. Tetapi jelas kali ini Bintang benar-benar bersungguh mencintai Bulan. Seolah melepaskan Bulan seperti melepaskan Bintang ke liang kuburnya. Anda semakin resah dan kebuntuan untuk bagaimana lagi mahu memikat Bintang!
Mengikut rekod penilaian Anda, nyata Bulan langsung tidak menepati ciri-ciri pencinta yang Bintang idamkan selama ini. Tetapi jelas kali ini Bintang benar-benar bersungguh mencintai Bulan. Seolah melepaskan Bulan seperti melepaskan Bintang ke liang kuburnya. Anda semakin resah dan kebuntuan untuk bagaimana lagi mahu memikat Bintang!
Ternyata benteng yang Anda dirikan bagi menutup jalan pencinta baru buat Bintang tidak cukup kuat. Jatuhnya Bintang memijak bumi bukan angkara Anda, tetapi ia jatuh kerana cintakan Bulan. Anda kesal, marah, derita dan cuba mencari jalan mengukuhkan lagi benteng agar Bulan tidak bisa telus memiliki Bintang.
Bintang yang selama ini sopan tutur bahasanya, berbudi caranya dan manja lakunya, Anda sangka lemah jiwanya. Anda sangka Bintang mudah dilentur dan mudah dimanipulasi keyakinan hatinya. Sangkaan Anda itu semua ketika Bintang masih di langit, ketika setia menemani Anda dikala memerlukan teman saat tiada yang sudi memahami kekacauan jiwa Anda.
Walhal ketika di langit, Bintang juga mengerdipkan cahayanya buat yang lain. Namun kerana Anda begitu alpa dan taksub percaya pada kemunafikan diri sendiri—Bintang itu milik Anda, tanpa disedari fitnah sedang memakan diri Anda sendiri demi Bintang itu bersinar lagi.
Kini bila Bintang sudah sangat dekat dengan Anda, ia terasa lebih jauh berbanding saat ia berkerdip di langit dahulu. Anda sudah cuba mengubah pendirian diri mengikut caranya, namun Bintang kekal menyusuri jalan menuju kepada Bulan.Hakikatnya Bintang mungkin sopan tutur katanya namun tegas pendiriannya. Hasratnya tidak boleh dikubur dan cintanya kepada Bulan tidak boleh dilebur.
Anda menunjukkan emosi tanda tidak puashati, namun Bintang tetap tidak mempeduli. Bila Bintang pulang dan memberi salam, Anda sengaja tidak menjawab, sangka Anda biar Bintang mengerti hati Anda sakit.
Namun Bintang tidak kuasa untuk menegur kerana selama ini Anda cukup di-'segani' sebagai seorang yang sentiasa arif dengan peribadi sendiri dan berhidung tinggi. Malah sana-sini Anda lelong cerita bahawa Anda sangat mengenali Bintang, luar dan dalam. Sudahnya kini Anda terpinga, cuba mencari erti keyakinan Anda itu.Namun Bintang lagi mengeji betapa kurang ajarnya Anda sebagai yang lebih dewasa, tetapi biadap tidak menjawab salam!
Hidup Anda kini bagai ditimpa bala sedangkan Bintang cergas menjejaki jalan bahagianya untuk bersama Bulan. Anda mula kehabisan panduan untuk terus menjerat hati Bintang. Wang ringgit, keselesaan hidup dan janji istana besar langsung tidak mencairkan hati Bintang.
Anda memfitnah Bintang mencintai dirimu hingga jalannya kepada cinta sejati menjadi begitu berliku. Anda cuba menutup jalan Bintang kepada takdir hidupnya yang ditentukan Ilahi melalui pesan naluri di hati hingga dia kembali bersujud tanda syukur... bagaimana fitnah itu nanti?
Bintang masih berperikemanusiaan selagi dilayan dengan sopan tanpa bid'ah, namun Bintang menjadi sebengis binatang liar bila dikasari, tidak kira bahasa mahupun cara. Anda sudah tumpul keyakinan, Anda bimbang akan menurun gila memikirkan Bintang bukan yang difikirkan selama ini!
Andai segala fitnah tentang Bintang yang telah Anda sebarkan kepada teman-teman terbongkar, kelak Anda selamanya akan menghabiskan sisa hidup dalam aib yang nyata. Bintang pula bakal kembali ke langit untuk berkerdip buat semua, lebih terang setelah adanya Bulan bersama.Jalan terakhir Anda mahu Bintang tidak lagi bercahaya. Jika melenyapkan ia terus dari Bumi ini adalah jalan terbaik, Anda mungkin terpaksa melaksanakannya.
Memikirkan itu, Anda sudah tidak keruan. Bahawa akhirnya Anda akan kembali seperti asalnya menantikan Bintang itu muncul berkerdip menemani Anda, si jiwa yang kacau. Sehingga ajal datang menjemput...
"Malam semalam ku jadi bimbang & marah apabila perasaan itu tiba-tiba tak terasa di hati. Cubaku memupuknya dengan minda namun sukar untuk hati memahami. Hampirku ingin amuk namun selepas bersujud & mohon Dia kembalikan rasa itu, alhamdulillah sekarang rasa itu seperti luka yang sedang menyembuh. Benar ia sungguh membimbangkan... aku bersumpah untuk terus setia pada cinta ini, hikmahnya sungguh mulia."
— Bintang
Suatu hari Bintang bersujud dalam tangisan kerana malam kelmarin hatinya tiba-tiba terpadam rasa cinta kepada Bulan. Saat rasa itu hilang, Bintang sangat takut kerana seolah kejahatan sedang menyelusuri setiap urat darahnya dan sedang menuju ke hati. Mujurlah ketika itu tiada siapa di sisi, jika tidak, pasti ada yang bakal cedera parah mahupun di bunuh oleh amuk Bintang.
Syukur kepada Tuhan, Bintang masih teguh imannya, meyakini hanya Yang Maha Esa mampu mengembalikan kewarasan diri daripada amuk kejahatan. Dalam sujud Subuh, Bintang mengharap rasa itu dikembalikan.
Syukur ke hadrat Ilahi, Bintang menginsafi diri dan berharap kali ini Bulan akan lebih terang bersinar agar kerdipan cahayanya akan turut tajam sinarnya. Apabila cahaya itu telah menyerap serta melengkapi setiap sudut hati Bintang, pasti ia akan menjadi lebih ringan untuk kembali ke langit, bertugas seperti biasa mengerdipkan cahayanya di setiap purnama. Kembali menghiburkan para pencinta alam yang sesekali mendongak ke langit untuk merasa kecintaan dan kesyukuran.
Tidak kiralah mana satu bintang-bintang yang mereka hayati di langit malam, pastinya Bintang akan lebih terserlah kerdipannya tatkala bulan turut sama mengambang.
Anda mungkin meratapi nasib diri jika Bintang yang ingin digapai tidak mungkin tercapai. Namun bila Bintang itu jatuh bak meteor dan memilih yang lain menerima radiasinya untuk menjadi wira, jangan anda kesali takdir itu kerana ia sudah ketepatan di azali.
Bintang tidak pernah memilih Bulan menyinari dirinya, kerana Bintang sendiri ada kemampuan bersinar sendiri. Namun adakalanya, kemurungan hati akan memudarkan radiasi sinar Bintang. Lalu Bulan dijodohkan untuk menceriakan Bintang agar kerdipannya kembali menceriakan insani.
Sedangkan Bulan yang jarang bertapak di langit, kemunculannya senantiasa di nanti ramai. Bila mengambang penuh, nyata penduduk di bumi akan kembali tersenyum riang, ada yang mengeluh menginsafi keindahannya, ada pula yang berpesta riang menikmati kemesraannya. Di saat itu Bintang hanya di pinggiran menyaksikan Bulan yang dicintai membahagiakan insan-insan di bumi termasuk Anda yang dalam kesunyian...
Bak pungguk rindukan bulan? Tidak mengapa, Bintang sangat memahami kerana rindu itu tanda Anda masih ada rasa yang murni, yakni cinta. Maka selagi ada cinta, selagi itulah kejahatan yang tidak terperi gagal menyelusuri ke lubuk hati hingga jiwa mampu gelap tidak sedarkan diri.
Redhalah pada yang tidak termiliki kerana diakhirnya kita semua akan tetap sendiri.
Akhirnya jiwa Anda tenggelam dalam penasaran, menyeksa Bintang yang hampir mati jiwanya untuk meyakini Bulan yang dicinta. Anda pula terlantar koma, terseksa diri menyesali kerana mengekang Bintang daripada bersama cinta sejati. Apabila menyedari Bintang sudah kembali ke alam hakiki, Anda terpanah dek pesanan arwah kepada si anak...Anda jenis manusia yang tidak pernah puas dengan apa yang ada di diri sendiri. Jika boleh hak orang yang paling hebat itulah yang ingin Anda rampas, jika tidak, miliki.
Takdir itu ketetapan-Nya, jangan sesekali kita rampas untuk mengubah apa yang ingin dijadikan oleh-Nya. Jika tidak, bermohonlah kepada-Nya, bukan merampas tanpa redha-Nya."Tuhan marah nak... Tuhan marah kita mengubah-ubah hak-Nya."
Jika hari ini Anda mati mungkin masih dihormati, namun terlantarnya jasad Anda di situ kelak, tiada siapa ingin menghayati dan tiada sunyi untuk mengerti adanya hati yang sedang menangis.
Mungkin ada yang ikhlas simpati atas pemergian Anda ini, bahawa selama hidup, Anda tidak gagal sentiasa prihatin demi meraih simpati dan dihormati. Namun itu semua perlakuan sombong Anda bagi meraih undi supaya kelihatan ada jati diri, seolah dikagumi bagai bidadari.
Beringatlah Anda supaya menginsafi diri sebelum Bintang memohon Yang Maha Esa menghumban Anda ke dalam matahari. Ingatlah janji Tuhan, doa insan yang teraniaya pasti dimakbulkan. Bersiaplah untuk Anda menjadi sebahagian daripada bintang yang paling terang di cakerawala — Raja Segala Bintang. Mungkin anda berbangga menjadi matahari, namun pasti tidak sangka berada di dalamnya, seumur hidup Anda menggelupur kepanasan dalam ledak lavanya.Sayangnya Bintang dan yang lain sudah arif itu semua — selama hidup Anda bak berjalan di khalayak ramai berbaju emas tanpa berseluar...
-Sekian-