"It's only through writing that I've ever been able to suppress life's personal disappointments. When I can't write I feel anxious and out of sorts and am easily riled, though I'm usually able to control my emotions..."
- Pramoedya Ananta Toer (The Mute's Soliloquy: A Memoir)
["Hanya dengan menulis aku mampu menekan segala kekecewaan peribadi hidup. Bila aku tidak menulis, aku merasa cemas & tidak keruan serta mudah gusar, walau selalunya aku bisa mengawal emosiku..."]

Monday, September 17, 2012

TERCIPTA DARIPADA EKONOMI: SENZE

'Ekonomi Perniagaan' (Business Economics/ECON 6120) adalah salah satu subjek yang perlu saya lalui di semestar pertama pengajian Master of Business Administrations/MBA di Universiti Islam Antarabangsa (UIA). Bagi saya ia subjek yang memerlukan pemerhatian yang penuh, khusus, intensif & jika tidak, ia agak sukar untuk dikuasai. Paling penting kena berseronok mempelajari pengiraan (berformula @ matematik tambahan), diagram & graf yang diselitkan dalam subjek ini.
 
Walaupun pensyarahnya, Dr. Noorihsan cukup berkesan dalam menawarkan ilmu, saya sebaliknya yang ketika itu tertekan dengan kesempitan kewangan hanya boleh menumpukan pada sudut mana yang mudah bagi saya, selebihnya saya bertawakal sahajalah. Syukur alhamdulillah, saya lulus (walaupun tidak cemerlang) & terpaksa menggugurkan subjek ekonomi di semestar kedua (untuk ditunda ke semestar akan datang) demi menumpukan lebih perhatian kepada subjek yang boleh saya dahulukan iaitu subjek utama kursus (kewangan) serta subjek yang mampu saya kuasai (pengurusan).

Menjalani pengajian Master tidak seperti ambil Ijazah atau Diploma yang majoriti pemarkahan adalah daripada kerja individu. Lain bila buat Master, hampir 50% daripada pemarkahan individu kita terletak di dalam kerja berkumpulan & selebihnya peperiksaan akhir (secara individu). Jadi memandangkan semestar pertama merupakan semestar pengenalan buat saya (yang sudah lebih 10 tahun meninggalkan zaman persekolahan/universiti), banyak perkara yang terasa asing apatah lagi jurusan yang diambil jauh menyimpang daripada jurusan asal yakni sains. Namun sesulit manapun ia, kena tabah juga melalui kerana peluang yang sama hanya datang sekali & peluang kedua mungkin tidak akan sama (bersyukurlah kalau ia datang lebih baik, namun kesal seumur hidup jika tidak).

Jadi hendak dipendekkan cerita, salah satu kerja berkumpulan kami dalam kelas ECON 6120 ini ialah menghasilkan sebuah produk kegunaan harian, mampu dibeli oleh semua peringkat tangga gaji & bersifat komersil. Paling penting ia mestilah bukan produk klise yang tidak stereotaip namun berpotensi menjana keuntungan (dari perspektif ekonomi) dengan sambutan komersil.
 
Hasil perbincangan saya (sebagai ketua) serta rakan-rakan sekumpulan (Salleh, Atikah, Ila, Sham & Sireerat Santisart) disertai hasil pandangan Dr. Noorihsan, kami sepakat (dari 6 idea yang dibentang) untuk menghasilkan sebuah jam penggera yang tidak menggunakan bunyi sebaliknya bau dengan tambahan fungsi gelang penggetar & cahaya. Kertas kerja disiapkan oleh setiap ahli kumpulan & tanggungjawab saya ia menghasilkan rekaannya serta membuat penyuntingan terakhir hasil projek (kertas kerja & pembentangan). 

Ini adalah draf jam penggera yang saya lakar secara kasar ketika di meja perbincangan awal. Di rekaan asal kami bersetuju meletakkan fungsi cahaya, namun saya tidak bersetuju memandangkan ia bakal meningkatkan kos pembikinan & pada pendapat saya ia melihatkan seolah produk itu sengaja melebih-lebih dalam menarik pembeli apabila 2 fungsi asal (bau & gelang penggetar) sudah cukup efisyen. Ahli kumpulan akhirnya sepakat untuk menerima usulan saya. Thanks mates! ^_^ 

Sebelum menghasilkan rekaan sebenar jam tersebut, kami sekumpulan telah membuat tinjauan awal di laman sesawang kalau sudah ada rekaan jam berkonsep seumpamanya & menyangka idea kami memang 100% tulen. Tetapi semasa hendak melukis konsep dengan membuat tinjaun semula (untuk mendapatkan rujukan rekaan yang sesuai), saya terkesima menjumpai idea yang sama melalui Osim Nioi oleh Alfie Lake & Wake n'Bacon oleh Matty Sallin. Di saat terakhir, ia merupakan rahmat kerana dengan penemuan ini saya sudah dapat menilai konsep sesuai bagi rekaan jam seumpamanya.
 
p/s: Rekaan saya lebih dipengaruhi oleh konsep Osim Nioi yang dirasakan lebih strategik sebagai jam penggera (tanpa perlu jadi seperti toaster).

Seterusnya saya mula pertingkatkan kualiti rekaan produk dengan memberikannya imej warna yang sesuai. Peringkat ini penting untuk aktiviti pemasaran kerana warna memainkan peranan penting dalam menjana nilai komersilnya. Sebagai produk baru, kita perlu menilai warna yang sesuai untuk mengurangkan pertikaian kehendak pelanggan. Tetapi untuk pembentangan kertas kerja, saya perlu mempamerkan rekaan yang mampu memikat pesnyarah kami, Dr. Noorihsan & para pelabur (rakan sekelas yang dilantik oleh Dr. Noorihsan).

Inilah hasilnya! Sebuah rekaan produk jam penggera yang hanya menggunakan sistem bau yang dipasarkan dalam 4 warna berbeza mengikut kesesuaian citarasa. Jenamanya, 'Senze' tidak semena-mena menjelma di idea masa membuat suntingan terakhir kertas kerja untuk pembentangan kami (kalau tidak, kekal 'MBA|Economy... :P). Hasilnya kami dapat markah 14/15 untuk projek ini. Syukur alhamdulillah...! ^_^

Sebagai tambahan, saya juga membantu rakan sekelas dari kumpulan lain untuk melakar konsep produk rekaan mereka. Ini hasilnya:

Ia adalah sebuah sudut kerja mudah-alih (portable office station).
Pembelajaran jadi lebih seronok kalau kita dapat selaraskan minat, kecenderungan & bakat kita ke dalam pendidikan yang sedang kita jalani. Yang penting, bukan hanya kita yang mendapat manfaatnya, kawan-kawan juga... itulah kepentingannya jadi Master. Muahaha~

No comments: