"It's only through writing that I've ever been able to suppress life's personal disappointments. When I can't write I feel anxious and out of sorts and am easily riled, though I'm usually able to control my emotions..."
- Pramoedya Ananta Toer (The Mute's Soliloquy: A Memoir)
["Hanya dengan menulis aku mampu menekan segala kekecewaan peribadi hidup. Bila aku tidak menulis, aku merasa cemas & tidak keruan serta mudah gusar, walau selalunya aku bisa mengawal emosiku..."]

Sunday, August 28, 2011

1432/2011: SALAM MERDEKA RAYA, MALAYSIA!

Tahun 2011 memberi keunikan tersendiri kepada sebuah negara berteraskan Islam sebagai agama rasminya di Asia Tenggara. Ia tidaklah sebesar Indonesia atau sekaya Brunei, namun Malaysia di tahun ini meraikan kemerdekaan negara dalam keseronokan umat Islam menyambut kemenangan selepas berpuasa di bulan Ramadhan.


Dalam kemelut politik, pelbagai persepsi kemerdekaan cuba dipermainkan oleh sebahagian rakyat Malaysia sendiri (ada diantaranya di bawah pengaruh luar) atas alasan inginkan perubahan mengikut citarasa mereka. Namun kita perlu sedar dalam konteks rakyat bersatu, sejak 31hb. Ogos 1957, kemerdekaan telah memberikan kita banyak peluang untuk melakukan perubahan buat negara Malaysia yang dicintai ini.

Bila hari ini dilaungkan 1Malaysia, ia merupakan kesedaran buat kita bahawa kemerdekaan negara ini daripada pentadbiran asing ke pentadbiran tempatan dijayakan oleh pelbagai bangsa dengan diterajui oleh pakatan Melayu di bawah seliaan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Apapun erti kemerdekaan yang cuba dipersoalkan buat negara Malaysia, hari ini kita wajib berbangga dengan kebebasan yang ada, biarpun terhad masih banyak yang boleh kita praktikkan. Sebagai manusia, kita perlu sentiasa ingat bahawa kebebasan kita tetap terhad dalam peruntukan yang ditetapkan bagi menjamin keselamatan dan keamanan sejagat.

Bagi saya, konsep dijajah banyak persepsinya. Namun apabila ada yang beranggapan bahawa mentaliti kita masih dijajah, faktor itu terlampau subjektif untuk dijadikan tuduhan buat rakyat negara Malaysia. Kerana bagi saya minda kita sampai mati pun akan terus dijajah oleh pelbagai pengaruh tidak kira baik atau jahat. Penerimaannya terpulang kepada persepsi diri kita sendiri.
"Kemerdekaan kita bergantung kepada bagaimana kita ingin dijajah. Perspektif kehidupan sebagai manusia tidak akan pernah dapat lari daripada dijajah. Sama ada dijajah oleh budaya, agama mahupun bangsa."


Dengan adanya negara merdeka seperti Malaysia, rakyatnya mempunyai kebebasan dalam memilih penjajahan mereka sendiri. Jadi tidak timbul isu negara kita masih dijajah oleh orang luar, sebaliknya yang berpendapat sedemikian sebenarnya minda merekalah yang dijajah oleh orang luar.

"Kemerdekaan bererti bila kita mampu bebaskan pemikiran daripada keresahan dilanda masalah, bersifat terbuka dengan kegetiran hidup dan redha dalam setiap ujian yang melanda diri. Jangan jadikan kesengsaraan tanda kelemahan kita, kerana kepayahan adalah tanda usaha dan keamanan adalah tanda kejayaan. Lantas kita perlu ingat, kemewahan adalah kemerdekaan kita menjayai hidup tanpa kongkongan orang lain."

Justeru kembalilah mentafsir semula maksud merdeka buat negara kita serta diri sendiri dengan baik dan saksama. Jika orang luar sudah mulai menghargai bakat orang Malaysia, itu tandanya kita sudah berjaya menjajah mereka. Jika rakyat kita sudah boleh diterima bekerja secara profesional di negara asing, itu tandanya kita sudah berjaya menjajah mereka. Jika orang luar ramai yang berkeinginan untuk bekerja di negara kita, itu tandanya kita sudah berjaya menjajah mereka. Jika bahasa kita juga sudah mulai suka dipraktikkan oleh rakyat negara lain, tanda kita sudah menjajah.

Namun teladan kita di masa lampau, janganlah menjajah hingga memudaratkan tempat tinggal orang lain. Manusia perlukan tapak untuk hidup, sumber tenaga untuk berusaha dan perniagaan untuk maju. Sebuah negara yang dijajah dengan teruk tidak akan dapat menikmati semua itu. Jadi berfikirlah seperti seorang penjajah yang baik. Apa pun kita dan siapa pun kita, sentiasalah berfikiran positif bahawa kemerdekaan itu bukanlah bermaksud bebas daripada penjajahan sepenuhnya, sebaliknya ia bermaksud memerdekakan diri kita supaya dapat menjajah dan dalam makna yang lebih sesuai, mendominasikan prinsip kebebasan tersendiri di bawah naungan yang lebih demokrasi.
"Kita perlu ingat, demokrasi itu juga salah satu prinsip penjajahan... yang penting juruskan ia ke prinsip yang boleh dimanfaatkan oleh semua orang, termasuk yang ingin memanipulasikan sistem kebebasan menjajah yang merdeka."
Justeru di tahun ini, di mana sahaja anda menyambut Hari Raya Aidilfitri pastikan 31hb. Ogos 2011 (Hari Kemerdekaan Malaysia ke-54) diberikan ruang kepada kita oleh kita sebagai rakyat Malaysia untuk merayakannya. Selepas negara kita menang dalam ertikata merdeka daripada pentadbiran Britania Raya, di tarikh ini sebagai umat Islam khususnya, peribadi kita menang dalam ertikata merdeka daripada terus dijajah oleh minda bermegah hingga tidak mensyukuri nikmat Allah s.w.t ketika masih ada.
Jalinan setia senantiasa terpatri
Tidak pinta dibalas acapkali berbudi
Salam kasihku hulur di Aidilfitri
Moga persaudaraan ini kekal abadi

No comments: