"It's only through writing that I've ever been able to suppress life's personal disappointments. When I can't write I feel anxious and out of sorts and am easily riled, though I'm usually able to control my emotions..."
- Pramoedya Ananta Toer (The Mute's Soliloquy: A Memoir)
["Hanya dengan menulis aku mampu menekan segala kekecewaan peribadi hidup. Bila aku tidak menulis, aku merasa cemas & tidak keruan serta mudah gusar, walau selalunya aku bisa mengawal emosiku..."]

Sunday, August 16, 2015

KOMIK USTAZ DON: BIO 03

Sebelum novel grafik 'C.U.B.E:46' berada di pasaran tempatan pada September 2015, KUISCELL Sdn Bhd selaku penerbit dengan usahasama MALAYSIAN BIOTECHNOLOGY CORPORATION (BiotechCorp) memasarkan secara eksklusif (Harga: RM5 senaskhah) komik 'C.U.B.E: 46' Edisi Promo berjudul 'Di Sebalik Tabir... TERMA PEMBIKINAN KOMIK' sempena ASEAN BIOECONOMY 2015 (BIO MALAYSIA) Conference & Exhibition (17 - 19 Ogos 2015), bertempat di PWTC (Tun Razak Hall 4, Dewan Merdeka, Tun Hussein Onn & Tun Dr Ismail). Edisi ini terdapat 50 mukasurat (termasuk kulit depan) dan mengisi 32 muka surat terawal komik 'C.U.B.E: 46' separa siap yang mendedahkan 5 mukasurat lengkap (siap toning), 11 muka surat separa lengkap (siap inking), 16 muka surat belum siap (hanya penciling!) serta 4 mukasurat thumbnails yang merujuk kepada 32 mukasurat komik tersebut. Objektif Edisi Promo ini selain mempromosikan komik 'C.U.B.E: 46' yang bakal menyusul bulan hadapan, ia juga memberi sedikit pendedahan ringkas tentang 4 terma asas pembikinan komik (thumbnails, penciling, inking & toning). Memandangkan ia terhad, maka ia tidak akan diulang cetak.

Merujuk kepada update blog saya sebelum ini; 'KOMIK USTAZ DON: BIO 01' dan 'KOMIK USTAZ DON: BIO 02', update terkini ialah judul untuk komik Ustaz Don telah dimuktamadkan sebagai... 


Pada 27 Julai 2015 yang lalu, satu bengkel perbincangan berlangsung selama 6 jam di HQ BiotechCorp bagi membincangkan pelancaran komik ini dan salah satu daripadanya ialah Edisi Promo (seperti yang tersebut di atas) dan keputusan mutakhir untuk melihat Novel Grafik 'C.U.B.E: 46' Episod 1 menemui pembaca komik Malaysia sekalian pada SEPTEMBER 2015. 


Untuk makluman korang semua, projek ini adalah ilham bersama BiotechCorp dan juga KUISCELL dalam memanfaatkan medium komik sebagai bahan rujukan santai tentang bioteknologi kepada para penggemar komik sekalian. Ia sebagai salah satu alternatif memperluaskan kesedaran tentang bioteknologi kepada masyarakat dalam bentuk fiksyen namun terselit fakta-fakta yang bermanfaat. 

Mukasurat 19 komik (penciling) yang terdapat di dalam Edisi Promo sahaja!

Seperti yang pernah saya maklumkan, jalan cerita komik ini dikaryakan oleh Ustaz Don Daniyal manakala saya selaku pelukis dan penulis komiknya. Diterbitkan oleh KUISCELL, ia juga merupakan Hakcipta Terpelihara KUISCELL, justeru saya tidak mempunyai hak selain sebagai pelukis dan penulis komik ini yang bertanggungjawab dari segi kualiti serta pengisian. Jadi kalau ada sesiapa yang dok tanya pasal jualan atau pesanan, itu saya kena dapatkan maklum balas dari pihak KUISCELL dahulu. Insha-Allah, kita saling membantu dalam berkongsi maklumat, akan cuba diusahakan sedaya boleh. Buat sementara ni dari pihak saya, ni jer yang dapat saya maklumkan setakat yang boleh.  

Mukasurat 7 komik (inking) yang terdapat di dalam Edisi Promo sahaja!

Seperti yang sudah saya maklumkan dalam update sebelum ni, 'C.U.B.E: 46' dijadualkan untuk 3 episod novel grafik yang mana episod 2 kami rancang di pasaran menjelangnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2016, dan episod 3 dijangka di pasaran pada September 2016. Mengharapkan Episod 1 mendapat sambutan dari para peminat komik tempatan (juga dua episod seterusnya), insha-Allah semoga dipermudahkan, saya di sini akan cuba mencuba memberi yang terbaik untuk 'C.U.B.E: 46' dengan terus memperbaiki mutu kerja selagi boleh. #Berusaha!



Wednesday, June 17, 2015

FESTIVAL SENI KOMIK MALAYSIA

 http://cafkl.com/

Comic Arts Festival Kuala Lumpur (CAFKL) yang dianjurkan oleh Sequential Arts Youth Society (SAYS) adalah satu lagi alternatif di Malaysia selain Comic Fiesta buat para penggiat komik tidak kira peminat mahupun karyawan berkumpul dan berkongsi minat. Di CAFKL, tiada ada perbezaan darjat mahupun perkauman, apatah lagi perbalahan ideologi bangsa dan budaya. Kerana di CAFKL, matlamat utama yang saya nampak di sini ialah semua genre komik tidak kira bahasa dan gaya layak diperdagangkan kepada pengunjung. 


Mungkin ruang yang disediakan di CAFKL tidak segah Comic Fiesta yang boleh menampung hingga berpuluh ribu pengunjung, namun CAFKL saya lihat sebagai satu lagi pelantar hebat untuk tujuan perdagangan dalam industri komik tempatan. Malah dengan program berilmiah seperti PANEL dan ART DEMONSTRATION yang diselitkan dalam acara ini, menjadikan CAFKL bukan sekadar tempat kita mencari kepelbagaian komik tetapi juga sumber pengetahuan untuk tahu lebih dekat tentang Animasi, Komik dan Mainan (AKM). 


Kali ini CAFKL tidak dianjurkan di Annexe Gallery, sebaliknya di Level 4, Menara PGRM. Lokasinya agak terpencil dan ruang pameran juga kelihatan mendatar tidak seperti di Annexe Gallery yang bermain dengan sudut. Walaupun passport masuk kini bernilai RM12 (berbanding RM10 semasa pertama kali saya ke CAFKL), namun begitu semangat kemeriahan di CAFKL masih kekal sama. Bagi saya cukup bertuah dapat melabur RM12 kepada SAYS untuk sertai CAFKL walaupun sebagai pengunjung, sedangkan peserta lain yang berdagang di sini melabur hingga RM100 setiap gerai untuk memastikan industri komik kita terus berdaya saing dan maju. Syabas buat mereka!

 

Istimewanya di CAFKL ini ialah saya dapat lihat para karyawan komik yang paling dikenali kepada yang langsung tidak dikenali, namun bakat seni masing-masing hampir sama rata kehebatannya. Ada juga bakat seni komik yang kurang menarik perhatian saya untuk berbelanja, namun saya kagum dengan usaha mereka untuk memperbaiki kelemahan dan berdaya saing. 

 

Maklumlah, kita sebagai manusia punya citarasa masing-masing dan begitulah juga saya. Jika ada sesetengah menilai pasaran melalui permintaan usia, saya lebih suka memilih pasaran berdasarkan kualiti kerja dan sesuai untuk semua lapisan usia. Yang penting kena pandai promosi dan jangan kedekut mempamerkan bakat kepada orang ramai. Kerana ada orang sedang tersenyum bahagia hanya sekadar menatap hasil seni anda, dan jangan peduli kepada yang sedang menjeling dengki. 


Di CAFKL bukan sekadar komik sahaja diperdagangkan, tetapi juga segala barangan lain yang berbaur komik seperti poster, poskad, rantai kunci, kemeja T, peralatan melukis, hasil fotografi kreatif dan seumpamanya.


Namun apa yang paling membanggakan saya ialah kesungguhan para pengusaha komik ini untuk berdagang sendiri hasil kerja masing-masing dan beramah mesra dengan pengguna. Ia menjadi satu teras inisiatif bagi para usahawan komik mendidik diri sebagai peniaga dan melebarkan pengaruh kerja, tidak banyak walaupun sedikit tetap berguna kerana pengalaman itu mengajar kita lebih berusaha.


Saya ingin lihat SAYS membawa CAFKL lebih jauh pada konsep yang sama tetapi dengan kapasiti yang lebih luas. Mungkin sebagai permulaan, kita masih melihat CAFKL sebagai satu aktiviti indie namun lambat laun ia harus melalui proses matang ke ruang yang lebih mainstream; mencabar, bersaing dan komersil. Kerana jika kita ingin melihat industri komik kita maju seiring Amerika Syarikat, Jepun, Korea dan China/Taiwan, tiada jalan lain selain pendedahan kepada majoriti berbanding minoriti. Membuka minda bukan sahaja yang sudah minat komik, tetapi juga kepada yang belum meminati komik. 


Memang berat membawa perniagaan kita ke kapasiti yang lebih luas, kerana akan lebih banyak pemantauan yang perlu dilakukan dalam organisasi untuk perkembangan industri. Namun lebih baik membina kemajuan daripada terus terkongkong dalam tempurung kefahaman sendiri yang bertakuk di lekuk yang sama. Tidak salah menerima cabaran luar untuk kita lebih bersemangat bangkit membina cabaran sendiri, daripada menutup segala tingkap dan pintu berkurung di dalam rumah untuk melihat apa yang sudah lama tidak pernah ada barunya. 


Syabas saya ucapkan kepada SAYS dengan penganjuran CAFKL dan tahniah kepada semua karyawan yang melibatkan diri dengan acara ini, tidak kira dari mana pun anda. Semoga anda bakal menjadi masa depan Industri Komik Malaysia yang lebih cemerlang, dalam perniagaan seni komik yang lebih menguntungkan dengan kepelbagaian yang menyihatkan moral dan kreativiti rakyat Malaysia. 
 

Monday, June 15, 2015

MENGIMBAU NOSTALGIA... GILA-GILA

Saya tidak dewasa untuk memiliki bakat melukis kartun seperti para kartunis di majalah GILA-GILA, bagaimanapun saya membesar dengan majalah GILA-GILA. Malah kedatangan majalah kartun yang lain sekalipun tidak mampu mengalih kecenderungan saya untuk meminati majalah GILA-GILA. Semuanya kerana ketelitian seni lukisan yang dipamerkan dalam majalah tersebut oleh setiap kartunis dengan lawak yang kena pada watak-wataknya.

Kurator : Badrolhisham M Tahir
Tempoh Pameran : 14 April 2015 - 15 July 2015
  Kemasukan : Percuma
  Waktu : 10:00 pagi - 8.00 malam








Melangkah ke Galeri Petronas pada 16hb. Mac 2015 yang lalu sempena pameran 'LAGI-LAGI GILA-GILA', ia mengimbau kenangan saya bersama majalah ini. Semasa kecil tidaklah mampu saya membeli majalah komik sendiri tetapi saya akan ke rumah jiran saudara untuk membacanya. Sebab di situlah saya suka lepak membaca segala macam majalah komik awal 80-an termasuklah GILA-GILA.



Bila membaca majalah ini, payah untuk kita tidak berkenal rapat dengan karakter-karakter yang dipamerkan. Setiap satu punya cerita dan identiti tersendiri. Malah setiap watak tidak berganjak dari sifat tersendiri yang berbeza dari watak-watak lain dalam majalah yang sama. Ini membuatkan kita sebagai pembaca merasakan berbaloi memiliki sebuah majalah komik dengan kepelbagaian yang senang dibezakan. Dalam satu majalah, ia membawa kita kepada satu pengalaman kepada satu pengalaman yang lain tentang manusia dan kehidupan berunsurkan lawak.



Bercakap tentang seni komik, kecendurangan saya kepada majalah GILA-GILA banyak tertumpu kepada skil mendakwat dan mewarna para artisnya. Dari kulit majalah hinggalah ke isi, setiap karya membuatkan saya terpesona dengan ketekunan kerja yang dipamerkan. Tiada istilah cincai dalam setiap karya masing-masing, semuanya dilakukan dengan ertikata kesenian walaupun ia untuk sebuah majalah lawak. Tiada garis dengan ketebalan sumbang dan tiada pewarnaan yang tercalit kotor hingga sesat warna. Semuanya tampak sempurna!



Justeru melalui pameran ini, akhirnya saya dapat melihat sendiri karya asli mereka dan terbuktilah kerja mereka memang kerja orang seni. Sangat teliti, kemas dan bijak mengadunkan warna biar kena pada penceritaannya. Kerana ketika majalah ini sedang hangat di pasaran bukanlah zaman teknologi pengkomputeran yang maju, di mana semua mudah dilakukan dengan perisian-perisian grafik. Zaman GILA-GILA adalah zaman ketika semua kerja dilakukan secara manual; pen dan kertas, berus dan warna. Malah teks dalam bebelon dialog dan judul pun ditaip, dicetak dan ditampal atas lukisan itu sendiri. Pendedahan yang sangat eksklusif di pameran ini!

 

Di pameran itu sendiri saya dapat menghayati sedalam-dalamnya seni lukisan komik yang tinggi dengan keaslian bau kertas ditatah dakwat dan warna. Biar sudah berabad lamanya ia disimpan, keaslian masih pekat untuk dihargai oleh generasi baru.


Bukan sedikit pengalaman rakyat Malaysia dengan GILA-GILA, terlalu banyak dan nostalgianya terlalu dalam. Mungkin saya bukanlah seorang pengumpul tetapi sebagai seorang peminat komik dan karyawan komik sendiri, majalah GILA-GILA merintis ilham majalah kartun yang bukan setakat menghiburkan malah membolehkan kita menghargai seni dan mesej yang cuba disampaikan.

 

Saya sendiri tidak cenderung kepada lawak semata-mata kerana saya sukakan pendekatan yang lebih berisi tidak kira dalam apa genre pun. Majalah GILA-GILA mengisi keperluan itu dari semua aspek kehidupan warga tempatan di Malaysia. Ia tidak cenderung untuk sekadar mengikuti isu semasa, tetapi juga membangkitkan perlakuan manusia di semua sudut yang segan untuk kita ungkit tetapi GILA-GILA ada kaedah untuk menyampaikannya.



Menghadiri forum terbuka pada hari yang sama bersama tiga kartunis paling berpengalaman di majalah GILA-GILA iaitu Tuan Hj Zainal Buang Hussein, Tuan Saadon Ishak (Don) dan Tuan Tazidi Yusof (Tazidi) memberi saya lebih pengertian akan usaha mereka. Tuan Hj Zainal Buang Hussein adalah kartunis paling lama bergiat diikuti dengan Tuan Saadon Ishak dan kemudian Tuan Tazidi Yusof. Bila mendengar mereka berkongsi pengalaman cara kerja bertungkus-lumus untuk majalah GILA-GILA saling tidak tumpah seperti usaha saya dan pasukan majalah GEMPAK™ dahulu. Semuanya tentang peruntukan masa yang terhad dan pengisian yang sesuai dengan keadaan. Dan paling perlu diberi keutamaan, walaupun kerja kena siap cepat namun hasil kerja mesti mantap! 


Saya mengaku tidak ingat semua nama kartunis yang pernah bergiat untuk majalah GILA-GILA kecuali beberapa orang yang masih berusaha sehingga kini seperti Tuan Jaafar Taib (pengasas Creative Enterprise Sdn. Bhd.) dan yang hadir ketika forum tersebut, namun saya yakin ramai diantara kartunis-kartunis yang dikenali sekarang terinspirasi dengan kewibawaan mereka melalui GILA-GILA. Malah semua lapisan masyarakat tidak kira bangsa, pekerjaan dan kepercayaan juga ramai yang biasa dengan majalah GILA-GILA dari generasi ia mula diterbitkan sehinggalah ke generasi hari ini.

 

Bagi saya, jika kita ingin menjadikan melukis dan menulis ini sebagai kerjaya hidup kita, biarlah ia dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Jangan kerana ia sekadar sebuah karya kartun, kita sewenang-wenangnya mengenepikan nilai kesenian dalam melukis. Kelebihan seorang kartunis kepada saya ialah identiti mereka dalam menghasilkan sebuah karya yang cepat tetapi mantap! Maksud saya mantap itu ialah gaya bercerita menjadi dengan watak selamba kartun yang dilukis. Lukisan dan penulis seiring bergaya dengan kesenian yang tidak sengaja kita puji kerana kasihan, tetapi memang betul-betul kita puji kerana ia tiada kesumbangan selain keindahan.


Terima kasih saya ucapkan kepada semua para kartunis di majalah GILA-GILA kerana banyak memberi inspirasi, ilham dan keterujaan saya dalam menjadi artis komik. Terima kasih juga kepada kesenian mereka yang ikhlas, yang bukan sekadar untuk mencari keuntungan wang ringgit tetapi juga kepuasan diri dan pembaca khususnya. Terima kasih juga kepada Badrolhisam M Tahir dan Galeri Petronas atas pameran ini. Jika tidak ada pameran ini, sampai bila-bila pun saya tidak akan dapat melihat ketelitian kerja dan usaha berlipat-ganda mereka untuk menghasilkan yang terbaik sebagai sebuah majalah humor.


#LAGILAGIGILAGILA

Tuesday, May 5, 2015

KOMIK USTAZ DON: BIO 02

'C.U.B.E: 46' (judul masih belum dimuktamadkan) adalah sebuah komik yang bakal memaparkan isu bioteknologi di dalam masyarakat maju di tahun 2050. Sebagai artis komiknya, saya suka berkongsi sedikit pencerahan terkini akan usaha ini. Ia merupakan karya pendakwah terkenal Ustaz Don Daniyal dan bakal diterbitkan oleh pihak penerbitan KUISCELL​.

Dijadualkan untuk 3 siri dengan siri pertama sudah 40% dalam pembikinan, komik ini akan lebih berorientasikan gaya hidup Islam Nusantara di Malaysia. Ia sebagai menyahut kelainan identiti komik berbanding dari Jepun dan Korea Selatan untuk genre fiksyen fantasi-futuristik. Ia bukanlah sebuah komik yang sesak dengan keperincian atau berat dengan falsafah, pendekatannya lebih kepada mesej santai tentang kemanusiaan di era bioteknologi.

Harap pendedahan ini dapat dikongsikan bersama semua sebelum terbitnya kelak di pasaran, insha-Allah.


Mukasurat 15 (finalized) mengikut turutan thumbnail

Sunday, May 3, 2015

BABI-BABI CINTA



Oh babi-babi cinta...
Kasihmu memaksa
Dicintai yang terpaksa
Dihambat dijerat
Disondol dirogol
Beban perasaan
Kau yang perasan...
Wahai si babi-babi cinta!

Oh babi-babi cinta...
Murninya hatimu mencintai
Namun kejamnya kau
Bila ingin memiliki
Tanpa mengira
Perasaan sesiapa
Hanya perasan sendiri
Membawa ke mati
Lahanatnya kau...
Wahai si babi-babi cinta!

Oh babi-babi cinta...
Kuatnya cintamu celaka
Berundur seketika
Datang lagi bak puaka
Tidak dapat tidak
Tetapkan kau tebak
Mengalah tiada
Tetap mahukan dia
Selagi belum termiliki
Yang tidak mencintai
Keparat kau menjadi-jadi...
Wahai si babi-babi cinta!

Oh babi-babi cinta...
Percayamu bak orang gila
Yakin merubah hati si dia
Jatuh cinta padamu setia
Sampai sudah kau berusaha
Maut derita pun kau tidak kira
Selagi tidak padamu hatinya
Gigih berpawang sihir semua
Asal dapat kau cuba segala
Walhal sudahnya tetap sama
Haramjadah juga kau...
Wahai si babi-babi cinta!

Wednesday, March 18, 2015

HEBATKAN CINTAMU, TEMAN

Wahai teman, 

Jika kau jatuh cinta dengan seorang insan yang kuat kendirinya, lembut tingkahnya namun tegas tindakannya, berhentilah bermain perasaan dengannya. Berhentilah bermain drama cemburu-mencemburui. 

Kerana hati insan yang hebat walaupun ada cinta kepadamu tetap meluat diakhirnya sepi. Jika takut meluahkan, segeralah berpindah hati kepada yang lain kerana dia sudah lama menghindari. 

Kerana sehebat manapun insan yang kau cintai itu, namun hebatnya kau hanyalah bersangka-sangka semata, mundurlah kerana yang maju perlu jalan yang lebih terang kepada yang lebih bermakna. 

Makanya jika ingin dirimu hebat untuk mencintai yang hebat, ketepikan segala kesulitan yang sengaja dibuat kerana kurang yakin untuk bersemuka. Hadapilah segala kesulitan yang benar-benar bukan engkau punya angkara, apatah lagi dia. 

Masih punya masa...
Tetapi kalau memang dia yang terhebat tidak pernah mencintaimu, hanya kau sendiri yang merasa, sekurang-kurangnya kau telah mencuba...

Tanpa muslihat

Tanpa berpura-pura

Itu menjadikan kau yang terhebat di mata yang lainnya, yang lain terhebat di hatinya... 

hanya untukmu. 


Selamat mencuba.

DIHANTUI CINTA LALU

Kenapa ia datang tanpa diundang
Sukar dipantang payah dihalang
Sedarnya mata bertentang
Terus merasa sayang...

Jatuh ke hati menjadi cinta mati
Lalu dipisahkan jasad membawa diri
Lamanya menahan sakit tidak terperi
Hingga pernah lupa hasrat mencintai

Namun...
Malam ini kau datang lagi,
Menghantui! 

Wahai hati...
Hentikan perasaan ini
Kerana masing-masing sudah dipunyai

Wahai hati...
Tidak ingin selingkuh
Seadanya mahu kukuh

Wahai hati...
Yang lalu biar berlalu
Harap bertemu tidak fikir selalu

Tetap cinta...
Indahnya dihantui
Datangnya berbunga hati
Takutnya jatuh terikat mati
Yang ada bagaimana nanti?
Bila cinta lalu bertaut kembali.

Di sini aku ada dia,
Di sana kau ada dia,
Tabahlah jiwa kita bersama,
Tanggungjawab pada yang ada,
Kelak masa menentukan segala,
Ada jodoh bertemu semula,
Terpisah yang ada...
Terjalin yang lama. 

Semoga cinta tetap mekar berbunga
Di taman angker hati berpujangga.

Saturday, February 28, 2015

KOMIK USTAZ DON: BIO 01

Tak dinafikan saya ni memang salah seorang peminat Ustaz Don dan suka tonton rancangan beliau di TV Al-Hijrah. Tetapi tak pernah lak terfikir bahawa saya akan diberi peluang untuk melukis komik yang terhasil dari ilham beliau sendiri! Walaupun saya ni maklum bukanlah pilihan pertama, tetapi syukur alhamdulillah diberi peluang juga akhirnya. Jadi akan cubalah melakukan yang terbaik, insha-Allah.

#Berusaha! ^_^

 

Tanggal 12hb. Januari 2015 adalah hari saya dan rakan artis komik lain (Rani Ahmad/Wukong, Mohd. Ilham/Boy & Hana Shanani/Nani) dipanggil mengadap Ustaz Don bagi membincangkan projek komik beliau di pejabat Kuiscell. Saya dan yang lain dah siap-siap membawa contoh kerja masing-masing. Ustaz Don belek gak kerja-kerja kami tapi beliau lebih efisyen, dah research 'target' lebih awal. Tanpa banyak usul-periksa masing-masing dah punya tanggung-jawab yang perlu digalas. 

lakaran watak utama dibuat dahulu untuk cadangkan teknik outline & toning.
Lakaran asal karakter sidekicks; Qab & Zik sebelum diubah-suai...
Sidekicks berwajah baru... Qab & Zik selepas diubah-suai. ^_^
Saya punya tanggung-jawab ialah merealisasikan ilham Ustaz Don tentang konflik bioteknologi di tahun 2050. Jalan cerita semua dah ada, yang saya perlu buat ialah realisasikannya kepada sebuah karya komik. Jadi pada mesyuarat kali ke-2 (seminggu kemudian), kami meletakkan kata putus bahawa saya dipertanggung-jawabkan melukis 130 mukasurat untuk episod pertama dari tiga episod yang dipersetujui.


Dalam tempoh 2 minggu saya dapat siapkan thumbnails untuk 130 mukasurat tersebut, dan kini sedang dalam proses menyiapkan penciling dan inking untuk kesemua mukasurat tersebut sebelum masuk proses toning dan pengisian dialog kelak.
Apakah makhluk ni?! Nanti teman citerlah dalam komik tu. *wink*

No pressure... saya akan cuba menyiapkan karya ini secepat mungkin dan insha-Allah, selepas sebulan dua lagi dapatlah kiranya korang para peminat komik sekalian menyambutnya dengan hati yang terbuka. Jadikan ia sebagai sebahagian daripada koleksi komik-komik korang ya. Trimas!

Judul komik masih belum dimuktamadkan lagi jadi sebagai pendedahan pertama di blog ni, saya bagi teaser artwork... jadi korang dah boleh steady bayangkan ke mana hala tuju bioteknologi dalam citer komik ni kelak. ^_^

P/S: Projek-projek komik saya yang lain (seperti Putera Malar, L.I.F.E., Saving Echidna dan SALIGIA) di K.I.V. buat sementara waktu untuk memberi laluan kepada projek ni dulu. Sabarrr... ^_^"