"It's only through writing that I've ever been able to suppress life's personal disappointments. When I can't write I feel anxious and out of sorts and am easily riled, though I'm usually able to control my emotions..."
- Pramoedya Ananta Toer (The Mute's Soliloquy: A Memoir)
["Hanya dengan menulis aku mampu menekan segala kekecewaan peribadi hidup. Bila aku tidak menulis, aku merasa cemas & tidak keruan serta mudah gusar, walau selalunya aku bisa mengawal emosiku..."]

Friday, May 15, 2009

ANUGERAH PEKOMIK 2009

Kali kedua menganjurkan aktiviti di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 (KLBF2009), Persatuan Komik (PeKOMIK) Malaysia kali ini julung kalinya mengadakan Anugerah PeKOMIK 2009 bagi memeriahkan lagi industri komik Malaysia. Jika Gempak Starz™ sudah menggondol pelbagai anugerah berprestij komik di luar negara seperti di China & Jepun, kali ini Ayour rasa sangat bangga sebab Gempak Starz™ dapat anugerah daripada orang kampung sendiri. Biarpun tidak berjaya menggondol anugerah utama tapi Alhamdulillah sebab sekurang-kurangnya Gempak Starz™ berjaya membawa pulang 5 anugerah termasuk dalam kategori Penerbit Komik Terbaik.

Bercakap mengenai anugerah komik ala² Anugerah Industri Muzik/AIM ni, biarpun ia baru pertama kali diadakan dalam dewan Kedah di PWTC yang tak seluas mana, tapi apa yang boleh Ayour katakan, ia 1 permulaan yang baik. Berbanding waktu taklimat/seminar dari jemputan² khas di tengahari, acara anugerah ni yang berlangsung sebelah petang berjaya memenuhkan dewan sampai ada yang terpaksa berdiri. Melihatkan kehadiran yang terdiri daripada pelbagai penggiat komik Malaysia membuktikan kita semua boleh bersatu bagi menjayakan industri komik kita sendiri. Syabas kepada PeKOMIK yang berusaha untuk memastikan ia sesuatu yang pasti.

PENGADILAN BERAT SEBELAH?
Tetapi saat nama² pemenang diumumkan untuk setiap 13 kategori yang diumumkan, jelas ramai yang tak berpuas hati dengan keputusan beberapa kategori yang dianggap berat sebelah. Ayour sendiri sebagai individu yang bergiat dalam bidang seni komik & berpengalaman menjadi juri profesional merasakan ia keputusan yang kurang arif & ada ciri² 'tolong kawan'.

Ada kategori yang menggunakan 50% keputusan undian di blog & 50% keputusan juri, tetapi yang menjadi persoalannya sekarang mengapa keputusan undian tertinggi & kedua tertinggi langsung tak menang tetapi keputusan undian blog ketiga tertinggi lak boleh menang?! Sedangkan sepatutnya para juri mengadili 2 keputusan undian blog tertinggi untuk dijadikan pemenang. Lainlah kalau sudah diletakkan syarat kemenangan harus berpihak kepada ciri² tertentu.

PUAN NORA ABDULLAH - BERUS EMAS
Pastinya yang menjadi kebanggaan Ayour & Gempak Starz™ ialah wujudnya anugerah khas, Berus Emas bagi menghargai penggiat seni komik yang teragung seperti Puan Nora Abdullah. Biarpun Puan Nora kini tidak melukis lagi atas sebab kesihatan diri tidak mengizinkan akibat kencing manis, namun minatnya terhadap industri ini tidak pernah luntur.

Ketika berucap selepas menerima anugerah ini, beliau tetap menunjukkan keprihatinannya terhadap industri dengan melahirkan rasa terkilan bila tidak ramai artis komik tempatan yang berminat melahirkan komik² Islam berunsur komersil selain yang wujud hanya untuk tujuan akademik.


Cuma satu sahaja yang Ayour agak terkilan ketika Puan Nora Abdullah naik ke pentas (itu pun selepas ditegur oleh Mr. Botak). Iaitu apabila tiada seorang penonton pun yang berdiri, mahupun MC yang prihatin meminta penonton berdiri, memberi rasa hormat kepada Puan Nora Abdullah ketika menerima anugerahnya. Hanya kami yang di belakang sebarisan Mr. Botak yang berdiri selepas diminta oleh Mr. Botak sendiri. Ayour berharap selepas ini jika ada anugerah sebegini, penilaian etika harus lebih dipertingkatkan & jangan asyik memikirkan etika 'pentingkan diri sendiri' kerana Puan Nora Abdullah adalah karyawan seni komik terulung wanita yang perlu dicontohi oleh artis² komik wanita yang lain di Malaysia.

Kesimpulannya, sudah menjadi lumrah sesuatu yang baru akan menerima kritikan yang pelbagai sedangkan yang lama juga tidak lari daripada kritikan. Anugerah PeKOMIK 2009 adalah satu percubaan baru yang bagus untuk industri komik Malaysia & ia perlu dicontohi oleh kita semua untuk memeriahkan lagi industri bagi melahirkan lebih ramai artis komik yang beretika serta dihargai.
Tahniah diucapkan kepada En. Azhar selaku presiden PeKOMIK & juga penggondol anugerah kedua terbanyak di sini selepas Gempak Starz™. Biarpun ramai yang sedang mempertikaikan kemenangannya dalam kategori Komik Terbaik 2009 melalui karyanya 'Liga Pendekar' terbitan PTS, namun apa yang harus dijadikan pengajaran di sini ialah untuk sentiasa memastikan ketelusan pengadilan. Mungkin ada pihak yang akan menyalahkan para juri profesional yang diantaranya terdiri daripada Dato' Lat & Jaafar Taib, 2 pengaruh industri yang cukup disegani, tetapi penganjur anugerah yang dilihat menjadi tulang belakang kepada komik 'Liga Pendekar' juga seperti wakil² penerbitan PTS & En. Azhar sendiri turut dikaitkan.

Jadi nasihat Ayour, untuk anugerah akan datang diharap Anugerah PeKOMIK harus dilihat bebas daripada pengaruh penerbitan tertentu selaku penaung utama kerana ia akan memberi kesan besar kepada maksud PeKOMIK itu sendiri yang pada dasarnya untuk penggiat² komik secara individu. Tapi tak salah untuk 'Liga Pendekar' menjadi komik terbaik kerana ia usaha menggalakkan lebih ramai menghasilkan komik berjiwa nusantara.

Trimas!

No comments: