"It's only through writing that I've ever been able to suppress life's personal disappointments. When I can't write I feel anxious and out of sorts and am easily riled, though I'm usually able to control my emotions..."
- Pramoedya Ananta Toer (The Mute's Soliloquy: A Memoir)
["Hanya dengan menulis aku mampu menekan segala kekecewaan peribadi hidup. Bila aku tidak menulis, aku merasa cemas & tidak keruan serta mudah gusar, walau selalunya aku bisa mengawal emosiku..."]

Friday, December 3, 2010

KETAGIHAN PALING SEMPURNA ADALAH... CINTA

"Love cannot be taken as logic because the truth is... love is logic."
Justify Full

Biar setinggi mana pun ilmu kita, sematang mana pun usia kita, sehebat mana pun pencapaian kita namun tiada apa yang dapat menandingi CINTA atau love, muhabbat, amo, al-hubb dan sebagainya; tidak kiralah apa jua cara sebutan, ia bergantung kepada keselesaan lidah kita menyebutnya sedangkan maksud tetap sama. Yang pasti, itulah satu-satunya faktor yang menyempurnakan diri kita walau serendah mana pun darjat juga kebesaran kita. Malah itu juga yang akan memburukkan kita walau setinggi mana pun pencapaian kita. Berikut antara persepsi negatif tentang ketagihan CINTA:

Cinta itu khayalan
Bertanya pada diri sendiri tentang kejadian kita sebagai manusia dan hakikat sebuah kematian, mana yang lebih mengkhayalkan? Jawapan pasti adalah kita sebagai manusia, kerana biar sehebat dan sesungguh mana pun kita berjuang untuk hidup pasti mati kekal satu kenyataan. Justeru layakkah kita sebagai manusia meletakkan cinta sebagai khayalan jika diri kita sendiri bukan satu kenyataan? Langsung disaat itulah kita harus memahami maksud 'mencintai diri sendiri sebelum mencintai orang lain', kerana kenyataan bermula dari diri kita dahulu baru mudah untuk kita menerima kenyataan bagi mencintai yang lain tanpa khayalan.

Cinta anjakan nafsu
Setiap manusia yang melihat cinta sebagai satu khayalan pasti teruja nafsu untuk memiliki seseorang yang mampu memberi kepuasan fizikal dan mentalnya. Walau apa cara sekalipun, dia yakin itu cinta walau jelas benar yang dicintai tidak langsung memberi harapan mutlak kepadanya. Malah manusia sebegini sudah sehabis buta dengan keyakinan hatinya sendiri dan mampu memanipulasi pemikiran orang lain untuk melihat cinta sebagai satu hukuman bukan anugerah. Mereka sebolehnya akan cuba menutup harapan orang lain untuk jatuh cinta dengan menanamkan semangat nafsu yang tinggi dengan cara halus. Penyudahnya kepada manusia sebegini? Terus melayari cinta melalui nafsunya dengan kematian menjadi janji pengorbanan jiwa. Kerana yang jelas, kematian seperti cinta adalah janji Tuhan kepada kita bukan sebaliknya.

Cinta memudaratkan
Cuba bilang kata sesama kita, bagaimana pasti kita melihat cinta sebagai satu kemudaratan sehingga kita menafikannya. Jelaskan? Tiada cinta akan menjadi mudarat, tidak sehingga yang jelas terpancar di hati sudah dilukai saat kita menafikan kewujudannya. Cinta tidak pernah memudaratkan, tidak sehingga akal cuba mencari logiknya perasaan hati kita namun gagal bila dikuasai ego yang tinggi. Jika akal mampu mempertimbangkan yang saksama dengan hati kita untuk meletakkan nafsu dikedudukan yang sewajarnya, dengan izin Tuhan pasti tiada yang akan memudaratkan. Seperti juga keinginan kita menikmati manisnya gula, jika diambil lebih daripada keperluan badan, lambat laun ia akan memudaratkan kesihatan diri. Saat semuanya sudah terlambat, yang manis bukan lagi tawar sebaliknya pahit yang harus ditelan mungkin bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga keturunan. Persis ibubapa yang memaksa anak mereka berkahwin demi darjat dan harta bukan pertimbangan jiwa yang saksama, sudahnya yang mudarat generasi seterusnya tersepit diantara kefahaman yang berbeza. Ketika itu mengapa mesti salahkan cinta? Kerana disetiap perbezaan agama, bangsa dan negara hanya cinta yang jelas menyatukan kita, selebihnya? Kepura-puraan yang memudaratkan!

Cinta persis dadah
Ketagihan paling sempurna adalah cinta, ketagihan paling tidak sempurna ialah dadah. Namun kedua-duanya jatuh di dalam kategori yang sama, ketagihan. Namun mengapa ketagihan cinta dilihat paling sempurna berbanding dadah? Kerana kewujudan cinta tidak terhasil melalui tumbuh-tumbuhan, cecair, serbuk, pepejal atau aroma kimia, sebaliknya ia wujud dari dalam hati kita yang mampu mencetuskan perasaan itu sekaligus menguasai akal. Jika kita redha, akal kita akan sentiasa kelihatan waras namun jika tidak, akal kita akan mula bergelut dengan perasaan sendiri dan tidak hairanlah ada yang mengambil alternatif dadah sebagai pengganti ketagihan yang sempurna.

Namun mampukah dadah mengatasi cinta? Jawapannya jelas terpancar di wajah para penagih dadah di seluruh dunia, tanpa cinta jiwa mereka kosong dan dadah memanipulasi kekosongan itu dengan mengstimulasi akal bagi mempertingkatkan keinginan seksual, khayalan yang nyata dan tidak hairan keyakinan diri yang tinggi. Seperti viagra, nikmatnya hanya pada nafsu yang lesu sedangkan cintanya mungkin pada viagra itu kerana menjadikan yang lesu kembali gagah.

Percayalah, cinta mampu melakukan lebih lagi berbanding dadah malah tidak mustahil ia mampu memotong segala nikmat yang mampu diberikan oleh dadah. Lagi ditolak cinta itu, lagi tersandung perjalanan kita, dan lebih banyak dadah diambil bagi menutup rasa cinta itu lagi menurunlah daya keupayaan diri kita untuk terus hidup. Kerana tiada ketagihan yang lebih sempurna selain ketagihan yang mampu menutup segala ketagihan lain yang memudaratkan, mengawal nafsu berlebihan dan menafikan kehebatan dadah... selain CINTA.

Menikmati ketagihan
Ketepikan sejenak hukum yang ada disekeliling kita dan fikirkan si dia yang hati anda cintai dan redha. Kemudian lihat di sekeliling anda dan rasai perubahannya, percayalah tiada lagi yang akan kekal sama seperti selalu jika cinta itu sedang memerahkan semula hati anda. Keterikatan itu juga yang akan menjadi jaminan hidup anda yang lebih sempurna.

Kesimpulan kesempurnaan

Takdir Allah tidak akan mampu kita duga bentuk kewujudannya, yang salah mampu jadi benar dan begitulah sebaliknya. Tetapi jika itu kehendak-Nya atas sesuatu kejadian, siapalah kita untuk menafikan kerana ujian Allah itu juga bererti cinta-Nya kepada kita dan penafian mungkin menjadikan Dia lebih murka, lantas ujian lebih berat terpasung di hati kita. Tiada hukum yang meletakkan cinta sebagai satu kesalahan kecuali jika ia terserlah dikuasai nafsu hingga memudaratkan kehidupan sejagat. Justeru berdamailah anda demi cinta yang ikhlas itu kerana ia mungkin mampu mendamaikan kehidupan dimana jua auranya bisa tercapai... insya-Allah.

Nota: Saya yang tidak sempurna berharap buruk baiknya kenyataan di dalam penulisan ini terpulanglah kepada persepsi masing-masing. Namun kesempurnaan sesuatu itu terletak pada rasa cinta kita... terima kasih.

No comments: